Sambil menjamu selera, kamu berpeluang melihat persembahan pemuzik yang bergerak dari meja ke meja.
Pilihan aktiviti yang dilakukan juga pelbagai. Ada yang memilih untuk bersukan seperti bermain futsal, ada juga yang memilih untuk sekadar minum teh tarik bersama rakan.
Kebiasaannya, restoran mamak menjadi lokasi pilihan remaja untuk minum sambil berborak atau menonton perlawanan bola sepak.
Namun begitu, mungkin kerana suasana yang agak bising dan pilihan makanan terhad, ada yang memilih lokasi seperti medan selera.
Minggu ini, .com menjengah ke sebuah lokasi yang menjadi pilihan remaja untuk bersantai bersama rakan-rakan iaitu di Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Lokasi mirip medan selera itu menyediakan pelbagai jenis makanan, baik juadah tempatan, mahupun makanan barat.
Tidak terhad kepada makanan sahaja. Terdapat juga kedai yang menjual pakaian, bahan bacaan dan tempat mencuci kenderaan.
Sambil menjamu selera, bolehlah kamu melihat barangan atau pakaian yang boleh kamu beli untuk digayakan ketika keluar bersama rakan.
Tambah menarik, sambil menjamu selera di sini, kamu akan dihiburkan oleh kumpulan pemuzik yang bergerak dari meja ke meja untuk menghiburkan tetamu yang datang.
Sebut sahaja lagu yang dimahukan sebagai halwa telinga untuk dimainkan pemuzik tersebut, pasti permintaan itu akan ditunaikan.
Tambah istimewa, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk setiap lagu yang dipinta oleh kamu.
Selain daripada port untuk minum dan lepak, Rasta turut menyiarkan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris melalui skrin besar yang disediakan.
Kalau kamu sudah bosan menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak, cubalah tukar angin dengan menontonnya di Rasta.
Rasta dibuka bermula pukul 11 pagi sehingga 3 pagi setiap hari. Jom singgah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: