Jeti kayu sepanjang kira-kira 100 meter itu yang diperbuat daripada kayu dan papan nyata sudah agak usang dan kelihatan akan roboh bila-bila masa tapi lelaki ini seolah-olah tidak mempedulikan keadaan itu.
Sambil menolak bot ke tengah air, dia melompat ke dalam bot sebaik sahaja ikatan yang menambah bot terungkai.
Sambil menjawab panggilan telefon, dia tenang bergerak menaiki bot kemudian menghidupkan enjin .
Jelas sekali dia telah lama melakukan kerja-kerja tersebut kerana melihat kepada kemahiran dan gerak geri bersahaja mengendalikan bot, itulah rutin sehariannya.
Tidak jauh dari jeti tersebut , lelaki yang dimaksudkan, Hassan Abdul Karid mengusahakan projek akuakultur di Kampung Tanjung Perepat, yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Semporna.
Ketika bertemu dengannya di kampung berkenaan baru-baru ini , Hassan berkongsi cerita bagaimana projek penternakan ikan kerapu itu berjaya membuktikan bahawa usaha bersungguh selain minat mendalam menjadi pendorong kepada kejayaan.
Hassan, 36, bapa kepada lima anak berkata, dia memulakan projek akuakultur pada 2008. Pada peringkat awal , dia menternak udang dan ketam bermodalkan RM3,500.
"Saya cuba ubah nasib keluarga dengan projek ini sebelum bertukar kepada ternakan kerapu beberapa tahun kemudian, '' katanya yang menternak ikan kerapu begahak dan kerapu batang yang benihnya diperoleh daripada nelayan yang menjual kepadanya .
Hassan ditemui semasa sesi lawatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna ke projek berkenaan di Tanjung Perepat, baru-baru ini.
Turut hadir wakil PNK Semporna Suraidah Toreki.
Kegigihan Hassan memajukan projek tersebut mendapat perhatian LKIM dan menerus PNK Semporna, dia mula mendapat bantuan.
Sebagai ahli PNK, dia mahu menjadi pengusaha yang boleh dicontohi oleh rakan-rakan seangkatan lain bagaimana memajukan projek daripada peringkat kecil-kecilan hingga berjaya.
Dengan kemampuan tulang empat keratnya , dia mampu membangunkan projek akuakultur untuk menyara keluarga termasuk berjaya menghantar dua anak ke menara gading setakat ini.
Kelebihan yang dimilikinya hanyalah berusaha membangunkan ekonomi keluarga secara perlahan-lahan dan akhirnya ia berjaya mencapai peringkat yang boleh dibanggakan.
Pada 2010, Hassan menerima bantuan LKIM RM40,000 tidak termasuk sangkar ikan dan dia berjaya menambah sehingga ke 16 petak kesemuanya.
Setahun kemudian dia menambah enam petak sangkar lagi dengan kos keseluruhannya sebanyak RM60,000 termasuk kos membeli benih.
Menurutnya, selain benih dan infrastruktur , kos operasi projek banyak dilaburkan untuk makanan. Ini kerana katanya, sebanyak 100 kilogram makanan ikan diperlukan seminggu yang mana makanan diberi selang sehari.
Bagi mengelakkan kos operasi yang melambung dan kos makanan dapat dikurangkan dia pernah mencuba untuk mengurangkan kekerapan pemberian makanan dari dua hari sekali kepada dua kali seminggu.
"Saya dapati ikan (ternakan) saya makin kurus," katanya yang pernah menyertai kursus ternakan ikan di Sandakan.
Dalam pada itu, Hassan memberitahu, sejak memulakan projek secara serius sehingga ini dia mampu melaksanakan tiga pusingan ternakan atau kira- kira enam bulan bagi setiap satu pusingan.
Kali pertama sebanyak 650 kilogram, kedua (300 kg) dan tuaian ketiga sebanyak 450 kg dijual kepada peraih yang datang.
Ikan kerapu itu dijual apabila beratnya mencapai 500 gram seekor bergantung kepada spesies berkenaan. Kadangkala seekor ikan mencapai RM60 seekor atau mencecah RM125 sekilogram.
Meskipun harga ikan agak mahal, tetapi kos pembelian benih juga agak tinggi. Apatah lagi dia menggunakan sebahagian projek tersebut untuk ternakan kerapu hibrid.
Dalam pada, itu Hassan juga bercadang menambah kemudahan di projek sangkarnya itu yang masih belum mempunyai bekalan elektrik.
Menurutnya, projek pemasangan akan dimulakan sebaik sahaja projek membina semula jeti tersebut sap.
"Saya telah mengemukakan cadangan kepada LKIM menerusi PNK Semporna untuk memperbaiki kemudahan jeti di sini.
"Difahamkan cadangan tersebut sudah mendapat perhatian dan tender untuk pembinaan sudah dikeluarkan,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: