|
LAUT merupakan salah satu ciptaan Tuhan yang cukup istimewa. Dengan warna latar biru kehijauan, ia mampu membuatkan jiwa yang lara kembali tenang. Tiupan angin laut yang asyik dan mendamaikan membawa pelbagai definisi mengenai kehebatan alam ini.
Ramai yang cuba mengambil peluang untuk menjadikan laut sebagai platform yang mengujakan, sama ada sebagai hobi, rekreasi mahupun kerjaya yang berkaitan dengannya.
Bagi Ramasamy Menon, 64, kebahagiaan rumah tangga bersama isterinya, C. Vijayaletchumi, turut diisi dengan dengan keghairahan terhadap keindahan laut.
Setahun yang lalu, Ramasamy atau lebih mesra dengan panggilan Rama, memasang hajat untuk meneroka samudera. Tanpa pengalaman dan kemahiran, Rama terus berdaftar dengan Kelab Layar Diraja Selangor (RSYC) di Pelabuhan Klang.
"Saya sekadar mahu belayar. Pada usia muda dahulu, saya sibuk bekerja, membuka perniagaan dan mengumpul duit. Kini, saya perlu mengejar semula hobi dan minat yang tidak kesampaian ketika muda," kata Rama.
Di RSYC, Rama sempat berkenalan dengan pesara tentera Laut Turki, Kapten Ali Engin Senyuva, yang ketika itu bertugas sebagai koordinator. Bermula daripada pengenalan tersebut dan penglibatan dalam RSYC, Rama tidak melepaskan peluang untuk sama-sama belayar dengan rakan-rakan lain di kelab tersebut.
Selepas setahun menimba pengalaman dalam dunia pelayaran, Rama bersama Ali kini membuka peluang kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang tersebut, baik untuk tujuan rekreasi mahupun secara serius.
![]() |
|
KAPTEN Ali bersama Rama di Glenmarie Cove di pelabuhan Klang.
|
Rama amat yakin bahawa Ali yang memiliki rekod sebagai pesara kapten tentera laut dengan pengalaman lebih 20 tahun, mampu membawa kelangsungan minat dalam kalangan generasi semasa melalui kursus pelayarannya.
"Setakat ini, lebih 200 orang menghadiri kelas pengenalan pelayaran yang berlangsung dalam durasi sehari. Mereka sangat teruja malah menunjukkan keinginan tinggi untuk belajar ke peringkat yang lebih mendalam.
"Bagi kursus peringkat seterusnya, iaitu pengenalan kru, kami baru bermula dengan satu kumpulan yang terdiri daripada lima orang. Sebanyak 10 lagi kumpulan sudah mendaftar dan sedang menunggu giliran," kata Ali sambil duduk di atas kapal layar sepanjang 11.6 meter yang boleh memuatkan seramai tujuh orang.
Sambutan menggalakkan
Menurut Ali, kapal layar yang dibeli di Phuket, Thailand itu menjadi pusat kepada kursus pengenalan kru pertama kali diadakan pada 30 Ogos hingga 2 September lalu. Ia juga membuka peluang kepada para peserta menyertai Merdeka Race yang diadakan sempena sambutan Hari Merdeka.
"Mereka sangat bertuah kerana bukan sahaja belajar kemahiran secara praktikal malah dapat menyertai Merdeka Race yang belayar ke Pangkor dan kembali ke Pelabuhan Marina di sini," katanya.
Sambil duduk menghadap pengemudi kapal layar tersebut, Ali menunjukkan asas operasi kapal. Selaku kapal layar auto pilot, ia menunjukkan beberapa elemen penting iaitu radar arah angin, kedalaman air di bawah kapal dan kelajuan angin.
Di dalam perut kapal terdapat ruang memasak berserta dapur, tandas, bilik mandi, tiga ruang dengan dua tempat tidur masing-masing, ruang sofa, peti ais, ruang stok makanan dan ruang bacaan serta komunikasi.

RUANG dalaman kapal layar milik Rama yang lengkap dengan pakaian keselamatan dan kemudahan umum yang lain.
Ideal untuk lima orang pelajar, seorang pembantu dan Ali sendiri, kapal layar yang sama tetapi serba baharu boleh dibeli pada harga RM200,000 hingga RM250,000. Begitupun, beliau tidak mendedahkan harga kapal layar tersebut yang dibeli daripada seorang pemilik lain.
"Kapal layar ini sangat menjimatkan kerana sebahagian besar perjalanan anda menggunakan tiupan angin. Malah, ramai yang belayar sepenuhnya menggunakan angin!" kata beliau.
Ali yang menjalankan kursus pelayaran di Sekolah Pelayaran Malaysia (SSM) memberitahu, pihaknya diiktiraf dan sijil SSM diakui oleh International Yatch Training (IYT) iaitu sebuah badan pelatih kru pelayaran berpusat di Kanada.
"Buat masa ini, SSM adalah satu-satunya sekolah dengan pengiktirafan daripada IYT. Selain di Pelabuhan Klang, kursus pelayaran seperti ini turut ditawar di Langkawi dan Pulau Pinang oleh pihak lain. Di sini, kami mempunyai beberapa peringkat atau modul mengikut silibus IYT," jelas Ali.
Tambah Ali, mereka yang berminat menyertai kursus tersebut tidak memerlukan apa-apa syarat ketat. Mereka hanya perlu berusia 18 tahun ke atas, bukan pesakit jantung, tidak hamil dan mempunyai keghairahan terhadap pelayaran.
Impian ke Maldives
Bagi Rama dan isteri beliau, mereka memasang hajat untuk berlayar ke Pulau Maldives pada tahun hadapan.
Memadangkan mereka sudah pernah belayar bersama di sekitar pulau berdekatan Pelabuhan Klang dan sehingga ke Kuala Selangor, pasangan itu percaya hasrat ke Pulau Maldives mampu dicapai.
"Perniagaan saya sendiri ada kena-mengena dengan pelantar, jadi selain keghairahan terhadap laut, ia juga dekat dengan kerjaya saya. Oleh yang demikian, hati saya sangat terpengaruh dengan dunia pelayaran," katanya yang mempunyai perniagaan di Pulau Indah.
Tinggal di Glenmarie Cove, kawasan penginapan yang menyediakan lot parkir kapal air, di muara sungai, bapa kepada empat orang anak itu mengakui bahawa dia selalu bertukar hobi.

PANTRI kecil dan basin air, antara kelengkapan lain yang memudahkan perjalanan pelayar.
"Sebelum ini dia terlibat dalam sukan go-kart, marathon dan sebagainya. Saya hanya ikut dia bersama kerana ada kebanyakan masa kami kongsi minat yang serupa.
"Setakat ini, anak-anak kami tidak menunjukkan sebarang minat. Kini giliran mereka pula untuk sibuk membangun perniagaan," kata Vijayaletchumi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: