
MODEL menggayakan rekaan terbaharu pereka India Mukherjee dalam satu pertunjukan fesyen di New Delhi.
KETIKA seorang model melangkah penuh gaya di hadapan pancaran denyar kamera sambil diiringi lagu kumpulan U2, Sabyasachi Mukherjee meninjau tahap kemajuan kempennya untuk membawa sari keluar daripada almari pakaian ke pentas peragaan.
"Ramai wanita yang menganggap sari sebagai sesuatu yang sangat mundur dan tidak bergaya.
"Saya mahu beritahu dunia bahawa sari sangat cantik, mudah, unik dan eksotik," kata pereka busana dari India yang banyak memenangi anugerah itu.
Usahanya memodenkan sari menggunakan fabrik di luar kebiasaan seperti baldu putih namun pada masa sama mengekalkan bentuk pakaian ikonik itu menyemarakkan kebangkitan busana tradisional tersebut.
Lelaki yang berusia 38 tahun itu merupakan pereka fesyen paling berjaya di India kerana jenama yang dibawanya menjana keuntungan sehingga AS$11 juta (RM33.74 juta).
Wanita muda bekerjaya pada hari ini semakin melupakan sari kerana merasakan ia sukar dipakai dan tidak sesuai dengan gaya hidup yang sibuk.
Mukherjee yang mencipta nama melalui pakaian mini mula mendedikasikan usaha mereka pakaian sari berlisu, mudah diikat, dipenuhi sulaman dan manik.
"Ketika saya muda, saya lebih berminat kepada pakaian Barat. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mengetahui apa sebenarnya yang saya mahukan, iaitu mengembalikan busana India kepada rakyat India sendiri," katanya.
Pereka fesyen itu memulakan syarikat yang beribu pejabat di Kolkata dengan dua tukang jahit pada tahun 2001 dengan modal serendah AS$400 (RM1,227) yang diperoleh daripada kakaknya.
Rekaannya menjadi terkenal dengan pantas dalam lingkungan fesyen India kerana beliau menggunakan tekstil asli dalam mereka bentuk pakaian mini yang kemudiannya dijual di gedung terkemuka London seperti Selfridges.
Walaupun kini beralih tumpuan, popularitinya tidak berkurangan bahkan pertunjukan fesyennya baru-baru ini dipenuhi dengan pengunjung.
Selepas seorang aktres Bollywood memakai sari di atas pentas peragaan, giliran beberapa orang model muncul dengan sari berlisu yang dilitupi renda dan aksesori lain seperti kasut tumit tinggi.
Ujar Mukherjee, itu semua merupakan sebahagian usaha untuk menarik pelanggan muda dan lebih mempunyai kesedaran fesyen.
"Saya sukakan sesuatu yang asli. Saya gemarkan sari tradisional tetapi saya perlu bermain dengan sari untuk membuatkan ramai terpesona dengan sedikit modifikasi," katanya.
Dia turut mendapat menembusi pasaran Bollywood dalam kempen mengembalikan semula ketuanan pakaian itu dalam almari pakaian wanita India.
Selain mereka pakaian yang digayakan oleh bekas Ratu Cantik Dunia, Aishwarya Rai dan Vidya Balan di karpet merah, Mukherjee turut mereka pakaian untuk digayakan dalam beberapa filem Hindi.
Menurut Shefalee Vasudev, pengarang dan pengasas majalah Marie Claire India, Mukherjee merupakan seorang yang berpandangan jauh dalam fesyen.
"Dia sedar bahawa dalam ribut kegemilangan dan jenama antarabangsa tiada apa yang akan benar-benar menonjol.
"Jika semua orang memiliki Louis Vuitton dan Hermes, mereka memerlukan sesuatu yang berbeza untuk menarik perhatian ramai," katanya.
Hari ini, sari buatan Mukherjee dijual pada harga serendah AS$130 (RM399) sehingga AS$9,620 (RM29,507), janaan hasil yang merupakan 50 peratus daripada keuntungan yang diperolehnya.
Di salah sebuah gedung Mukherjee di Delhi, sari yang diperbuat daripada kain kapas, sutera, tulle dan organza dipamerkan berlatarbelakang India pada zaman lampau dengan puluhan jam antik dan gambar vintaj di dindingnya.
Penuh nostalgia
"Sari tradisional sangat sukar untuk difahami dan digayakan. Sangat leceh memakainya. Blaus lebih ringkas dan mudah dipakai.
"Kadangkala ia sudahpun diikat dengan lisunya yang mana anda hanya perlu menyangkutnya di pinggang dan semuanya siap. Jadi pakaian seperti ini amat memudahkan," kata seorang pelanggan tetapnya, Kirti Sharma, 26, yang mengakui mempunyai koleksi sari Mukherjee.
Mukherjee merancang untuk membuka lebih banyak gedung pakaian di seluruh India sebagai tambahan kepada empat kedai yang dimilikinya.
"Ia satu kesilapan besar kepada pereka fesyen India untuk tidak mengendahkan sari. Jenama Barat boleh memusnahkan persaingan tempatan dengan memasuki pasaran kita," katanya.
Sejak beliau menjadikan sari sebagai tumpuan utama, beberapa pereka fesyen India turut bereksperimen dengan busana itu menggunakan fabrik lycra dan kulit.
"Kita tidak begitu selesa dengan pakaian singkat dan pakaian dalam seksi bewarna hitam. Jika kita selesa memakainya, kita mesti memiliki nilai India di dalamnya," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: