Sebelum menjadi juara F1 sebanyak tujuh kali, Micheal Schumacher memulakan kerjaya sebagai pemandu kereta lumba dengan memandu go-kart yang direka bapanya sendiri. Setelah 10 tahun terlibat dalam sukan go-kart, beliau akhirnya muncul sebagai juara dunia remaja Jerman. Micheal Schumacher memenangi kejuaraan dunia pertamanya sebagai pemandu F1 selepas tiga tahun menyertai go-kart.
Meskipun go-kart boleh dilabelkan sebagai 'sukan orang kaya' kerana memerlukan perbelanjaan besar, namun jangan jadikan perkara itu sebagai alasan untuk mematikan impian kamu. Buat kamu yang berminat untuk menyertai sukan ekstrem ini, tetapi masih ragu kerana bimbang pelajaran bakal terabai, jom baca hasil temu ramah .com bersama pemandu go-kart terbaik Malaysia yang mungkin seusia atau lebih muda daripada kamu.
Mana tahu, melaluinya kamu mendapat semangat untuk meneruskan cita-cita menjadi pemandu F1 dan seterusnya, mengharumkan nama negara ke peringkat dunia. Setiap kejayaan pastinya bermula dengan langkah pertama. Pesanan .com, jangan takut memulakan langkah pertama ke arah impian tersebut walaupun untuk mencapainya bukan suatu kerja yang mudah!
NAZIM AZMAN
MELIHAT anak kecil ini riang bermain air bersama teman-teman lain, membuatkan penulis terlupa seketika dia baru sahaja merangkul juara keseluruhan Rotax Mikro Max (kategori kadet) Malaysia.
Lebih membanggakan, Nazim Azman berjaya menduduki tangga ketiga peringkat Asia untuk kategori sama di kejohanan Cabaran Rotax Max Challange Asia dan Malaysia yang berlangsung di Sepang pada minggu lalu.
Siapa sangka, kanak-kanak berusia 11 tahun itu baru sahaja berjinak-jinak dalam sukan go-kart mulai Januari lalu.
Bagi saya, sukan go-kart penuh cabaran dan kerana itu saya tertarik untuk mencuba sukan ini. Daripada sekadar mencuba, akhirnya saya jatuh cinta terhadap sukan ini.
Mungkin disebabkan saya dan bapa berkongsi minat yang sama dalam dunia pemotoran menyebabkan bapa begitu memahami hobi baru saya ini," katanya.
Sementara itu, Tan Sri Azman Yahya iaitu bapa kepada Nazim, berkata, mereka sekeluarga sentiasa menyokong minat anaknya itu.
Baginya, hobi baru anaknya itu juga secara tidak langsung mendidik Nazim menjadi lebih positif, berdisiplin dan menepati waktu.
NAZIM AZMAN
11 tahun
COMMA Motorsports
NIK AZRI SYAZWI NIK HAMDAN
PENYERTAAN dalam dunia go-kart masih setahun jagung, tetapi pencapaian yang diperolehi sememangnya boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.
Nik Azri Syazwi Nik Hamdan, 18, mulai mengenali sukan go-kart ketika berusia 15 tahun setelah didedahkan oleh rakan bapanya.
Selain cabaran yang perlu ditangani ketika berlumba, katanya, minat yang mendalam terhadap jentera pemotoran membuatkan dia memilih untuk serius dalam bidang ini.
Memandu go-kart bukan sekadar menekan minyak. Paling penting bermain go-kart ini perlu mengetahui cara mengendalikan dan memahami fungsi jentera itu.
Saya tidak menafikan sukan ini adalah sukan yang mahal, tetapi perkara ini tidak menjadi halangan kepada saya untuk beraksi di litar.
Selain mendapat suntikan dana daripada bapa, saya juga mendapat tajaan daripada PBJV Group.
Melalui tajaan seperti itu, bolehlah saya menyertai perlumbaan di luar negara bagi menguji kemampuan sebenar saya," katanya yang bakal mewakili Malaysia pada Kejohanan Dunia Rotax Max untuk katogeri Rotax Senior.
NIK AZRI SYAZWI NIK HAMDAN
18 tahun
Pasukan CRG Zanardi
PADA pertemuan itu, .com berkesempatan menemu ramah seorang lagi wakil Malaysia yang akan beraksi di Portimao, Portugal pada akhir November ini untuk kategori Rotax Junior, Syazwan Mohd. Noor, 16.
Menurut pelajar Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya itu, pertama kali dia memandu go-kart ketika berusia tujuh tahun.
Bagaimanapun, ketika berusia 11 tahun, dia mengambil keputusan untuk berhenti bermain go-kart kerana ingin memberi tumpuan kepada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Setelah berhenti sepenuhnya daripada dunia go-kart selama tiga tahun, Syazwan kembali beraksi di litar.
Apabila saya melihat sukan go-kart semakin banyak saingan di negara ini, saya berasa tercabar.
Minat yang saya pendam selama ini, kembali membara untuk berada di litar seperti kawan-kawan lain.
Lebih-lebih lagi, setelah saya mengambil keputusan untuk menjadikan sukan pemotoran ini sebagai karier pada masa hadapan.
Jika tidak menjadi pelumba pun, saya berharap dapat menjadi jurutera pemotoran pada suatu hari nanti," katanya yang hanya menjalani latihan pada hujung minggu sahaja.
SYAZWAN MOHD. NOOR
16 tahun
Pasukan Rook Racing
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: