Master Chef bukan kejar glamor
Master Chef bukan kejar glamor
HASIL penangan rancangan MasterChef Malaysia yang disiarkan di Astro, semua orang kini ‘gila’ memasak.

Program realiti masakan membabitkan peserta amatur itu berjaya mengubah landskap dunia penyiaran yang selama ini didominasi rancangan berbentuk nyanyian dan hiburan.

Menerusi MasterChef jugalah, kelibat tiga juri berpengalaman, Chef Mohd Johari Edrus, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran Hassan semakin mendapat perhatian masyarakat.

Bergelar chef selebriti, ketiga-tiga mereka bagaimanapun menepis dakwaan kemunculan mereka dalam program itu hanya untuk mengejar populariti.

Kesemuanya senada. Bukan limpahan populariti dimahukan, sebaliknya ilmu yang ada ingin dikongsi bersama dalam usaha melahirkan lebih ramai chef pelapis.

Sebagai chef yang paling lama dalam MasterChef, Chef Johari atau Chef Jo sendiri lebih gemar bersikap 'low profile'.

"Saya terlibat dalam MasterChef pun kerana mahu berkongsi ilmu dengan peserta. Ini bukanlah kali pertama saya muncul dalam program masakan di kaca televisyen. Jika mahu glamor, dari dulu lagi saya boleh dapat, tetapi saya bukanlah individu yang gemarkan publisiti," katanya.

Bagi Chef Adu, walaupun sudah ada peminat yang menegurnya ketika terserempak di luar, dia langsung tidak terfikir soal mahu glamor.

“Dari awal pembabitan dengan MasterChef, saya hanya mahu masyarakat menilai hasil kerja saya. Mungkin masyarakat sudah mengenali saya, tetapi bukan itu matlamat utama," katanya.

Sementara itu, Chef Zubir turut mengharapkan peserta MasterChef tidak menjadikan program itu sebagai loncatan untuk mengejar glamor semata-mata.

“Selepas musim pertama, peserta MasterChef mula dikenali masyarakat. Masuk musim kedua, saya lihat ada peserta yang seolah-olah cuba meraih populariti.

“Bagi saya, niat perlu betul. Jika serius hendak berjaya dalam bidang ini, tunjukkan bakat anda. Itu yang akan pergi jauh,” katanya.

Papa Jo dituduh kekwat

Perwatakannya mungkin dilihat agak serius, hakikatnya Chef Jo yang juga dikenali dengan panggilan Papa Jo seorang yang mesra dan mudah didekati.

Bagaimanapun, nama Chef Jo pernah terpalit kontroversi pada musim pertama apabila sebuah akhbar menyiarkan artikel kononnya dia enggan ditemu ramah wartawan.

Biarpun agak kecewa dengan kenyataan yang tidak berasas, Chef Jo enggan memanjangkan provokasi yang timbul akibat salah faham itu.

Malah, dia juga tidak berkecil hati apabila diberikan gelaran chef 'muka ketat' oleh peserta hanya kerana sukar melemparkan senyum.

"Inilah perwatakan sebenar saya di dalam atau di luar program. Saya tidak suka berdrama dan hanya bercakap bila perlu.

"Setiap orang ada penilaian tersendiri. Jadi, saya tidak mahu ambil hati sangat," katanya mesra.

Chef Zubir 'tapis' komen

Antara perkara dinanti-nantikan penonton MasterChef tentunya komen juri terhadap masakan peserta.

Meskipun kadang kala komen dilontarkan Chef Zubir agak 'pedas', jelasnya, dia terpaksa 'menapis' komen agar tidak menyinggung perasaan peserta.

"Mungkin ada penonton membandingkan rancangan ini dengan terbitan luar negara di mana jurinya lebih agresif.

"Bagaimanapun, kita tidak bolehlah meniru mereka. Masyarakat Malaysia tinggi budi bahasanya,jadi ketika menilai masakan peserta saya perlu memastikan sesuai dengan sensitiviti peserta dan penonton," katanya yang memiliki Restoran Barat di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Jual restoran demi akidah

Berbanding dua chef lain, Chef Adu merupakan juri paling ‘junior’ dalam program ini. Pada mulanya, dia hanya diundang sebagai chef jemputan pada musim pertama.

Ditawarkan menjadi juri untuk MasterChef Selebriti, khidmat anak kelahiran Kluang, Johor ini diteruskan pada MasterChef musim kedua walaupun dia mengakui cepat gementar apabila berdepan orang ramai.

Menurut Chef Adu, tawaran itu diterima setelah dia menjual restoran miliknya, Champor Champor yang beroperasi di London, tahun lalu.

"Saya akui bukan mudah untuk mengusahakan restoran sendiri apatah lagi di London yang terdapat lebih 8,000 restoran.

"Lebih 10 tahun membina reputasi di sana, saya terpaksa melepaskan restoran itu kerana percanggahan dengan pengurusan restoran yang mahu menjual makanan tidak halal.

"Walaupun rasa sayang, saya rela demi mempertahankan akidah sebagai penganut agama Islam," katanya yang sudah mempunyai perancangan untuk mengusahakan restoran lain.

Tabik peserta amatur

Mengulas secara keseluruhan prestasi 24 peserta yang menyertai MasterChef musim ini, ketiga-tiga chef sepakat mengangkat ibu jari.

Jelas Chef Jo, sebagai peserta amatur, teknik memasak ditunjukkan mereka melebihi standard yang ditetapkan barisan juri.

“Mungkin ada kekurangan di sana sini dan kita juga faham bahawa mereka masih baru dalam bidang ini.

“Namun, kebolehan ditonjolkan peserta amat mengagumkan. Saya yakin mereka akan menunjukkan sesuatu yang luar biasa daripada peserta musim lalu,” yakininya.

Pendapatnya disetujui Chef Zubir yang begitu teruja melihat ramai peserta muda berjaya melangkah ke Top 24.

“Saya bangga kerana mereka sudah menunjukkan bakat memasak pada usia yang masih muda. Ada antara mereka baru berusia belasan tahun.

“Setiap peserta membawa impian masing-masing, maka saya harap mereka dapat membuktikan mereka sememangnya layak berada di gelanggang MasterChef,” katanya mengakhiri perbualan.