Thursday, October 4, 2012

Kualiti, hala tuju filem pendek tempatan



PIHAK Academy of Motion Pictue Arts and Sciences telah meletakkan syarat dan label bahawa karya lakonan yang berputar kurang daripada 40 minit termasuk kredit akhirnya merupakan suatu filem pendek.
Syarat itu mencetuskan kepada gerakan pengkarya filem pendek sejak kemunculan naskhah Arrival of a Train at La Ciotat Station pada tahun 1895, hasil arahan dua sutradara legenda, Auguste dan Louis Lumiere.
Semenjak itu, industri filem pendek berkembang dan melahirkan variasi filem pendek menerusi pelbagai eksperimen genre, teknik dan struktur cerita.
Jika dilihat perkembangan filem pendek di Malaysia pula, realiti yang berlaku menunjukkan ia rata-rata dipelopori golongan pelajar yang menghasilkan naskhah seni sedemikian untuk tugasan akhir di institusi pengajian tinggi tempat mereka menimba ilmu.
Contoh paling jelas antaranya filem kontroversi Comolot yang pernah diterbitkan pada tahun 2008 oleh pelajar tahun akhir Akademi Seni Negara dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Ia mengisahkan tentang kehidupan pasangan gay dalam komuniti masyarakat di Malaysia.
Biarpun karya seni lakonan itu tidak banyak bermain teknik seni dalam menghasilkan sebuah karya filem pendek malah jalan ceritanya juga ringkas, filem pendek itu nyata mendapat respons daripada audiens atas nama kontroversi.
Perkara paling jelas dilihat di sini, filem pendek kebanyakannya bukan dibikin untuk tujuan komersial (jika ditolak filem pendek berasaskan iklan), kerana pada kebiasaannya ia menyampaikan mesej terarah kepada kritikan sosial merangkumi aspek seks, politik, agama dan bangsa.
Perkara asas yang diambil kira dalam pembikinan sesebuah filem pendek sekarang sudah tentu elemen bebas bereksperimen. Filem pendek juga bukan dibikin untuk tujuan mengaut untung serta berasaskan modal yang minimum.
Short Shorts
Justeru, sejauh mana hala tuju industri filem pendek tempatan dalam arus semasa?

AKTOR Itali, Ettore Nicoletti (kiri) turut berlakon dalam filem pendek arahannya, The Padlock.


Menjawab isu yang diutarakan, kata wakil penganjur Short Shorts Film Festival & Asia in Malaysia 2012, Bea Tanaka, secara jujur dia melihat perkembangan industri filem pendek di Malaysia bercambah ke arah lebih progresif berbanding sepuluh tahun lalu.
“Persaingan dilihat datang daripada golongan pelajar yang kreatif dan banyak berimaginasi untuk menyalurkan idea ke dalam filem pendek terutama penuntut tahun akhir di institusi pengajian tinggi.
“Cuma subjek utama yang masih kurang dititikberatkan adalah kupasan universal mengenai sesuatu topik. Maksudnya kebolehan sesebuah karya filem pendek itu difahami oleh penonton dari negara-negara lain perlu digilap.
“Maka disebabkan itu, pihak kami dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyediakan platform kepada mereka (pelajar) untuk mempamerkan hasil kreativiti filem pendek dan dipertandingkan ke peringkat antarabangsa,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Short Shorts Film Festival & Asia di Malaysia 2012 (SSFFA 2012) di Finas, Ulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Menerusi festival yang berlangsung selama dua hari itu, sebanyak 22 buah filem dari pelbagai negara seperti Kanada, Poland, Itali, Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Perancis, Iran, Sepanyol, Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia dipertandingkan.
Antara judul-judul produksi terbabit termasuklah Friend Request Pending, The Soundman’s Love, A Shadow of Blue, Mo Ikkai, Road Is Closed, Mother Groom dan The Padlock.
Festival kali ketiga itu tambah Bea, turut membuka peluang karyawan dan pelajar perfileman berkongsi pengalaman dalam pelbagai aspek pembikinan filem pendek dari dalam dan luar negara.
Jelas Bea, prospek cerah dilihat daripada penyertaan negara Perancis dan Jepun pada kali ini dengan lebih 100 penyertaan diterima daripada para penerbit filem pendek negara matahari terbit itu.
Mo Ikkai
Menyingkap sejarah awal penganjuran festival itu, ia mula diperkenalkan di Harajuku, Jepun pada tahun 1999 dan mendapat pengiktirafan secara rasmi sebagai satu acara Academy Award oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences.
Pemenang anugerah Grand Prix festival ini secara automatik layak dicalonkan dalam senarai Top 5 kategori filem pendek terbaik untuk merebut trofi Oscar pada majlis Academy Awards tahun berikutnya.
TULANG belakang Short Shorts Film Festival & Asia di Malaysia 2012 yang juga penganjur acara tersebut, Yasu Tanaka (kiri) dan isterinya, Bea Tanaka.


Penganjuran kali ini menyaksikan naskhah berjudul, Mo Ikkai garapan Atsuko Hirayanagi memenangi anugerah Grand Prix sekali gus melayakkan wakil dari Jepun itu bertanding untuk merebut Oscar kategori Filem Pendek Terbaik pada majlis Academy Awards tahun 2013.
Mo Ikkai mengisahkan kepulangan seorang lelaki ke kampung halamannya di Tokyo dan bertemu dengan roh ibunya yang telah meninggal dunia. Hilang dalam landskap memorinya sendiri, dia didampingi oleh roh tersebut buat terakhir kali.
Turut bertanding dalam festival SSFFA 2012, tiga wakil tempatan menerusi naskhah berjudul The Apprentice, Hari Jadi dan Di Kalangan Kita.
Cabaran
Tertarik dengan sebuah naskhah yang memaparkan kehidupan seorang bapa meraikan hari jadi anaknya setiap tahun walau tanpa kehadiran insan tersayang yang dirai, Pengarah filem pendek Hari Jadi, S.T Bala berkongsi buah idea menghasilkan filem itu.
Katanya, Hari Jadi merupakan sebuah subjek universal yang boleh difahami penonton dari luar Malaysia.
Malah, filem yang dihasilkan dengan kos RM18,000 itu merupakan filem pendek tanpa suara garapannya yang pertama sejak berkecimpung dalam dunia pengarahan lebih 15 tahun lalu.
“Apabila faktor kos perlu diambil kira ketika menyiapkan sesebuah karya, tekanan untuk menghasilkan karya bermutu datang berganda.
“Kita perlu mempertimbangkan pemilihan pelakon, teknikal dan proses suntingan yang adakalanya memakan kos tinggi,” ujarnya yang berjaya menyiapkan filem pendek itu dalam tempoh dua hari.
Keseluruhannya, industri filem pendek tempatan perlu diberi peluang untuk berkembang. Anjakan elemen seni dalam sesebuah filem pendek juga perlu diteliti dan diperhalusi, bukan hanya tangkap muat. Begitu pun, kita masih perlu bertempur dengan isu keterbukaan dan sensitiviti masyarakat kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: