Filem pendek membentuk paradigma supaya penontonnya berfikir secara kritis dan melihat lebih mendalam intipati mesej yang ingin disampaikan bukan sekadar luaran saja.
Disebabkan itu, kebanyakan penggiat filem pendek banyak bereksperimentasi dalam menyampaikan wacana idea.
Eksperimen yang dimaksudkan boleh datang secara olahan jalan cerita, mainan lampu, sudut kamera dan genre yang menjadikan sesebuah karya itu dipandang sebagai naskhah seni.
Namun, tidak dinafikan ada juga filem pendek yang dihasilkan dalam skala bajet yang besar tapi tidak dapat ditayangkan atau dipertandingkan dalam festival berikutan kontroversi.
Kontroversi pula mungkin timbul dari sudut agama, bangsa, politik, seks dan kebanyakannya merangkumi kritikan sosial.
Berikut disenaraikan beberapa buah filem pendek yang mencipta kontroversi namun masih mendapat perhatian ramai hingga kini.
Comolot (2008)
Sinopsis: Filem yang dihasilkan oleh pelajar Akademi Seni Negara dan Warisan Kebangsaan (Asawara) itu ditayangkan sempena Festival Kesenian dan Muzik (ajuran Rantai Art Event). Menceritakan kasih sayang sesama lelaki bernama Danial (lakonan Remy Ishak) dan Aiman (Quairel). Namun, Danial memilih Aiman walaupun dipaksa berkahwin dengan Juwita (Amiera Sulaiman).
Kontroversi: Sebuah kritikan sosial terhadap golongan gay dan cara hidup pasangan yang berlandaskan orientasi seksual berbeza daripada golongan heteroseksual. Filem pendek itu turut menampilkan aksi berahi pasangan gay.
Chukang (2010)
Sinopsis: Filem arahan Shuhaimi Lua Abdullah ini dihasilkan selepas fenomena filem bebas Bukak Api. Filem berdurasi 18 minit itu memaparkan realiti kehidupan golongan lelaki yang terjebak dalam kancah pelacuran sejenis dengan berselindung di sebalik bisnes rumah urut. Ia menampilkan Roslan Shah, Ifa Raziah, Rosnan Rahman dan Azam Pitt sebagai pelakon.
Kontroversi: Pemaparan isu golongan gay dan sisi gelap rutin kehidupan tukang urut lelaki.
Malaikat di Jendela
(2004)
Sinopsis: Kisah mengenai seorang jururawat kampung bernama Hamidah (Ning Baizura) yang berjuang untuk hidup setelah anak dan suaminya meninggal dunia akibat AIDS. Struktur emosi dan fizikal kehidupan Hamidah diceritakan secara voice-over oleh anaknya sebagai metafora ‘malaikat’ yang sedang memerhati dan berbicara dari suatu sudut metafizikal jendela.
|
|
Kontroversi: Kontroversi timbul gara-gara judul yang dipilih oleh pengarahnya, Osman Ali menggunakan perkataan ‘malaikat’. Filem berdurasi 30 minit itu turut menampilkan be pelakon Haeryanto Hassan, Shoffi Jikan dan Saliza Ali.
Fitna (2008)
Sinopsis: Sebuah filem berdurasi 16 minit yang ditulis seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders. Fitna bermaksud percanggahan dan perpecahan antara manusia dan dalam filem itu memaparkan beberapa potongan ayat suci al-Quran yang diselang-selikan dengan gambar serangan pengganas termasuk pengeboman World Trade Centre pada 11 September 2001, selain penghinaan terhadap ilustrasi gambar Nabi Muhammad S.A.W.
Kontroversi: Filem yang menampilkan pandangan kritis terhadap agama Islam dan al-Quran yang dikatakan menggalakkan keganasan dan peperangan. Fitna dikatakan cuba menyampaikan mesej anti-Islam dan pertahankan kebebasan sejagat.
The Kiss (1896)
Sinopsis: Ramai yang terkejut apabila adegan bercium antara dua bintang sensasi Broadway ketika itu May Irwin dan John Rice ditayangkan berulang kali sekali gus menjadikan filem pendek arahan William Heise itu antara yang paling popular. Tambahan, ia ditayangkan secara komersial kepada orang awam. Aksi ciuman sepanjang 47 saat itu diambil daripada sebuah pementasan teater, The Widow Jones.
Kontroversi: Filem itu menyebabkan kegemparan yang memalukan dan sebarang berita mengenai filem itu tidak dibenarkan ditulis di akhbar. Selain itu tindakan undang-undang dikenakan di lokasi filem tersebut ditayangkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: