Wednesday, October 3, 2012

Kebanggaan LGM

LGM boleh berbangga dengan kejayaan penghasilan mesin ARTS untuk membantu kerja-kerja penorehan.
LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) merupakan sebuah agensi yang bertanggungjawab membantu pembangunan dan permodenan industri getah negara dalam semua aspek.
Bermula daripada penanaman, pengeluaran dan pemprosesan getah mentah kepada pembuatan dan pemasaran getah serta produk getah.
Di wujudkan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, LGM merupakan hasil gabungan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Lembaga penyelidikan Kemajuan Getah Malaysia (MRRDB)dan Lembaga Pasaran dan Pelesenan Getah Malaysia (MRLEB).
Antara fungsi utama LGM adalah melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hal berkaitan pengeluaran getah, pemprosesan dan pembuatan produk getah.
Selain itu, agensi tersebut juga melaksanakan pemindahan teknologi dan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada penanam, pemproses dan dan pengilang produk getah.
Malah, LGM turut memantau senario bekalan dan permintaan getah serta barangan getah dunia, promosi pasaran dan untuk menasihati kerajaan mengenai perlaksanaan dasar-dasar sesuai untuk memastikan kecekapan dan persaingan industri.
Dalam pada itu, LGM turut menyediakan khidmat kaji runding kepada pihak industri termasuk sektor huluan dan hiliran industri getah yang meliputi berbagai aktiviti daripada menjalankan kajian kemungkinan ke atas penanaman getah, reka bentuk kilang dan penganjuran persidangan antarabangsa.
Segala perkembangan di rantau Asia mahupun dunia turut diperolehi melalui persidangan yang disertai mahupun di anjurkan oleh LGM.
Justeru itu, pada tahun 2012, LGM sekali lagi akan menganjurkan persidangan atau Persidangan Ekonomi dan Teknologi Getah Antarabangsa (IRTEC) 2012.
Persidangan berkenaan yang diadakan di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, bertemakan Mengekalkan Persaingan Menerusi Teknologi Inovasi.
LGM dalam satu kenyataan mengharapkan persidangan tersebut menjadi landasan untuk bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran antara pemain-pemain industri getah yang terkemuka dunia.
Selain itu, perbincangan dan pertukaran pendapat antara peserta dan pembentang juga diharap dapat membuka mata semua pihak yang terlibat dalam menghadapi isu serta cabaran industri getah masa kini.
LGM menyasarkan penyertaan daripada pengurusan dan pemain utama industri getah negara, pembuat, pemproses, pengeksport, pedagang serta pembuat polisi.
Seterusnya badan-badan kerajaan yang terlibat, ahli akademik dan individu korporat yang berminat.
Sementara itu menurut Pengerusi LGM, Datuk Wira Ahmad Hamzah, sempena persidangan berkenaan beberapa teknologi terkini dalam industri getah akan diperkenalkan
''Antara teknologi yang dilancarkan adalah Automatic Rubber Nursery Machine.
''Seperti yang kita maklum, nurseri getah adalah satu komponen penting dalam sektor huluan getah. Dengan kemajuan teknologi terkini, konsep automasi dan mekanisasi adalah pendekatan yang amat perlu untuk menyelesaikan masalah bergantung kepada tenaga buruh dan untuk mengoptimumkan produktiviti,'' kata pada majlis Malam Mesra Media LGM 2012 yang diadakan baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Salmiah Ahmad.
Ahmad berkata, pengisian polibeg secara automatik akan menjadi penyelesaian kepada meningkatkan produktiviti penanaman, penyediaan bahan dan juga memastikan konsistensi kualiti bahan tanaman.
Teknologi lain termasuk mesin penanaman automatik untuk benih getah yang dibangunkan untuk mengatasi isu pergantungan kepada tenaga buruh.
Teknologi berkenaan selaras dengan projek NKEA untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan aktiviti penanaman.
Teknologi lain termasuk kenderaan mengangkut susu getah yang merupakan satu inovasi untuk memudahkan kerja-kerja dalam bidang pengumpulan susu getah.
Inovasi berkenaan dapat meningkatkan pengeluaran susu getah untuk memenuhi keperluan pengilang dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Dalam pada itu , LGM merancang menubuhkan pusat penyelidikan bertaraf dunia dengan mencadangkan pembangunan pusat kecemerlangan (CoE) getah untuk menyediakan lonjakan paradigma dalam pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.
CoE akan berperanan menyediakan platformmemupuk interaksi berkesan dan kerjasama dalam kalangan penyelidik LGM dengan institut penyelidikan luar dan universiti antarabangsa.
Pembangunan CoE merupakan salah satu strategi jangka panjang LGM bagi memastikan penggunaan berkesan dan menyeluruh sumber-sumber R&D dengan kemudahan yang optimum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: