Wednesday, October 3, 2012

Jasa pemandu pelancong veteran


MESKIPUN sudah mencecah usia 95 tahun, Ponce sentiasa bersemangat melakukan tugas sebagai pemandu pelancong di pusat peranginan The Breakers.


TIADA tempat yang dapat menandingi kisah kebangkitan pusat peranginan The Breakers dan tiada siapa yang tahu mengenai resort itu lebih daripada James Augustine Ponce.
Selepas 60 tahun berkhidmat sebagai petugas kaunter hadapan, Ponce, 95, masih setia dengan kerjaya itu. Sebagai orang yang arif mengenai sejarah resort tersebut, dia muncul pada setiap hari Selasa untuk mengiringi tetamu menjelajah kawasan berkenaan.
Ponce mengenakan pakaian sesuai dengan peredaran zaman iaitu blazer merah, topi Panama dan tongkat berkilat. Berbekalkan pengalaman yang ada, dia akan membawa pengunjung meneroka keseluruhan destinasi percutian terkenal di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu.
Seni bina Roman
Pusat peranginan yang juga dilengkapi Hotel The Breakers itu dibina pada kurun ke-15. Ia memiliki siling fresco dan lantai berjubin yang dipengaruhi seni bina Roman.
Menghabiskan banyak waktu dalam hidupnya di sana, Ponce mengakui sejarah bangunan itu seolah-olah mewakili keseluruhan hidupnya.
"Ia lebih daripada sebuah hotel buat saya," kata Ponce yang kini bertugas sebagai pemandu pelancong di pusat peranginan berkenaan.
Sambil membawa sekumpulan pengunjung mengelilingi dewan, ruang khas dan lorong The Breakers, Ponce akan menceritakan lebih daripada sekadar siling dan lampu candelier.

THE BREAKERS pernah dikunjungi figura ternama termasuk Puteri Diana dan mantan wanita pertama AS, Eleanor Roosevelt.


Selain itu, dia turut bercerita tentang kisah bintang legenda seperti Bette Davis hinggalah ke mantan Wanita Pertama AS, Eleanor Roosevelt.
"Kami gemar meninggalkan nama," ujarnya.
Hotel The Breakers dibuka buat pertama kali pada tahun 1896 dengan nama lain oleh Henry Flagler yang merupakan taikun minyak dan landasan di selatan perairan Florida. Nama Flagler tidak terlepas daripada mulut Ponce sepanjang lawatan tersebut dan dia akan bertafakur sebentar apabila melalui potret lelaki itu.
"Itulah Flagler," katanya dengan nada perlahan dan sayu.
Kawasan pusat peranginan The Breakers pernah terbakar dua kali pada tahun 1903 dan 1925. Ponce memberitahu, punca kebakaran itu berlaku apabila isteri Datuk Bandar Chicago ketika itu terlupa untuk menutup suis seterika di bilik hotel.
"Wanita Chicago sering diingatkan mengenai kejadian itu," seloroh Ponce sambil disambut hilai ketawa kira-kira 30 pelawat.
Ponce memberitahu, kejadian itu berlaku ketika dia masih kanak-kanak namun The Breakers dibangunkan semula dengan seni bina yang lebih menarik dalam tempoh setahun.
Ponce mula berkhidmat di hotel itu pada tahun 1952 selepas menamatkan khidmatnya selaku tentera laut pada Perang Dunia Kedua.
Lelaki itu melakukan pelbagai kerja di situ sehingga dia menjadi pengurus hotel pada tahun 1977. Walaupun bersara pada tahun 1982, tetapi dia bagaikan tidak boleh berpisah dengan pusat peranginan tersebut.

PONCE (berdiri) tidak jemu memberi penerangan tentang kehebatan hotel tersebut kepada pengunjung.


"Dia mempunyai perspektif yang tidak dimiliki oleh orang lain. Dia mengetahui sejarah orang besar yang datang ke sini seperti pihak istana, presiden, pelakon filem dan lain-lain," ungkap Pengurus Hotel, Kirk Bell.
Tanyalah apa sahaja mengenai pusat peraginan atau hotel itu, Ponce pasti boleh menjawabnya. Namun, apabila ditanya mengenai kawasan yang paling digemari di pusat peranginan berkenaan, dia mempunyai masalah untuk menjawabnya.
"Kecantikan bangunan di sini sangat klasik dan ia begitu sukar untuk dikatakan," tuturnya.
Setiap kali melangkah ke ruang lain, Ponce sentiasa mempunyai anekdot yang berlainan walaupun penjelajahan itu tiba di penghujungnya.
"Adakah anda mempunyai masa untuk mendengar cerita pendek saya?" soalnya.
Bagi pengunjung yang sentiasa teruja dengan ceritanya, mereka cuma perlu berdiri atau bersandar sebentar untuk mengetahui sejarah bangunan itu lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: