|
KOLABORASI sukan dan fesyen sudah sinonim di peringkat antarabangsa. Gabungan menarik itu bagaimanapun belum menemui pintu peluang untuk direalisasikan di negara ini.
Langkah yang diambil Elite Boxing Malaysia Sdn. Bhd. menandakan permulaan kerjasama unik antara industri sukan dan fesyen tanah air. Menjadikan Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) sebagai rakan rasmi acara, persatuan yang diketuai pereka fesyen prolifik, Bon Zainal itu menerima pelawaan tersebut tanpa gentar.
“Ketika kami dihampiri pihak Elite Boxing untuk bekerjasama dalam acara sukan ini, saya tidak berfikir lama untuk bersetuju. Gabungan fesyen dan sukan adalah satu idea bijak dan wajar dilaksanakan di Malaysia.
“Anda bakal melihat pemandangan yang luar biasa pada acara sukan. Hadirin akan datang berpakaian eksklusif dan kemas ibarat pergi ke majlis anugerah,” ujar Bon Zainal ketika ditemui pada sidang media acara Fashion Fighter di Butter Factory, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fashion Fighter, Thailand VS Asia - The Best of Malaysia bakal menyaksikan tujuh perlawanan tinju membabitkan 14 atlet muay Thai dari Thailand, Iran, Malaysia, China, Brazil dan New Zealand.
Acara yang bakal disiarkan di lebih 100 negara dengan kerjasama media rasmi seperti ESPN, Starsports, Eurosports, TGN, Astro dan lain-lain akan dijalankan di Sunway Pyramid Convention Centre pada 9 Oktober ini.
Apa yang menarik, sebelum perlawanan bermula penonton berpeluang melihat barisan selebriti tanah air berjalan di karpet merah menggayakan rekaan busana di bawah kelolaan BDA.
“Kami mengangkat batik sebagai tema dalam mereka pakaian sempena acara ini. Memandangkan batik adalah warisan kebangsaan, kami cuba menampilkan kehebatannya dalam membentuk persalinan eksklusif sekali gus menjadi satu bentuk promosi kepada orang luar.
|
|
“Selaku pereka fesyen rasmi bagi acara ini, saya amat berbangga kerana dapat melibatkan diri dalam kerjasama bersejarah ini,” luah Amir Luqman yang memberitahu terdapat hadiah bagi pemenang pakaian terbaik lelaki dan perempuan serta rekaan terbaik.
Atlet Malaysia
Perlawanan utama pada hari tersebut bakal menyaksikan juara The Challenger Muay Thai, Madsua Lamai dari negara Gajah Putih berdepan dengan juara dunia Muay Thai Grand Extreme, Mosafa Abdollah yang mewakili Iran.
Kategori The Best of Malaysia mempertaruhkan barisan atlet muay Thai tempatan yang bukan calang-calang. Kapten pasukan Malaysia, Mohd. Ali Yaakob akan menentang juara Isaan Region, Petchumphol KiatBundit.
Faizal Ramli pula akan berdepan seorang lagi jaguh Thailand, yang memakai gelaran Armin Black Dragon Swiss. Seorang lagi peserta tanah air, Amin PDRM akan menentang Yaya Merican.
Wakil tunggal atlet wanita Malaysia, Ella TNT perlu membenamkan ketakutannya apabila berdepan dengan peserta New Zealand, Genah Muayfit.
Pertandingan berprestij itu akan diacarakan oleh pelakon jelita, Diana Danielle yang akan bergandingan bersama Fay Hokulani.
Tiket telah pun mula dijual menerusi laman web www.ebmalaysia.com.my yang menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus. Ia juga boleh didapati dalam laman web http://redtix.airasia.com/Events/
MuayThai/.
Empat jenis tiket yang dijual adalah pada harga RM88, RM158, RM228 dan RM388.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: