Tuesday, October 2, 2012

Insiden Dihempap Lampu, Alyah Masih Fobia

Alyah ketika mengadakan persembahan pada Konsert Kemuncak Suria FM 2012 di Dataran Putrajaya, malam sabtu lalu.
PUTRAJAYA: Kecederaan bahagian belakang badan penyanyi Alyah akibat dihempap sebuah lampu acara (spotlight) pada 14 September lalu menyebabkan dia berasa fobia sehingga hari ini.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 31, berkata, insiden yang berlaku pada majlis rumah terbuka Hot FM di Sri Pentas, Petaling Jaya itu membuatkan dia berasa takut dan gelisah ketika berada di lokasi sesebuah persembahan.
“Saya jadi fobia dan trauma sehingga hari ini kerana insiden itu. Perasaan kurang selesa dan takut-takut itu akan datang secara automatik apabila saya berada di belakang pentas atau lokasi sesebuah persembahan.
“Kemalangan itu pun berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka namun saya sedang cuba mengatasi ketakutan itu,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini.
Pada kejadian 14 September lalu, penyanyi yang sedang popular dengan Kau Yang Terindah itu dikejarkan ke Pusat Perubatan KPJ Damansara dekat sini selepas sebuah lampu acara terbalik lalu terjatuh ke atas belakangnya pada majlis rumah terbuka berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu, lampu yang ditempatkan di ruang legar stesen penyiaran untuk acara tersebut dikatakan telah dilanggar oleh seseorang menyebabkan ia terjatuh atas badan Alyah.
Ditanya mengenai status kecederaan itu, Alyah berkata, dia masih lagi menjalani pelbagai proses pemulihan walaupun keadaannya beransur baik.
“Saya masih lagi menjalani proses fisioterapi dan rawatan tradisional cara Cina. Alhamdulillah, kecederaan itu tidak serius dan tidak mengakibatkan saya menjadi lumpuh seperti didakwa.
“Pada awalnya, saya kerap bergantung pada ubat penghilang kesakitan tetapi keadaan bertambah baik sekarang,” katanya.
Mengenai perkembangan hubungannya dengan pengarah muzik Datuk Ramli MS, Alyah berkata, dia tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu pada waktu ini kerana mahu memberikan keutamaan kepada urusan kerjaya dahulu.
“Hubungan itu memang masih ada, cuma saya tidak mahu bercerita lebih lanjut kerana belum ada perancangan atau hala tuju tertentu.
“Saya mahu memberikan tumpuan kepada persiapan untuk rakaman album baru dan mini konsert yang dijangka berlangsung pada awal tahun depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: