|
|
LELAKI ini telah 13 kali terlibat dengan aktiviti korban di Kemboja, namun, Wan Mohd. Zukri Che Mat Zin, 50, tidak dapat melupakan pengalaman pertama kali melakukan ibadat itu di negara tersebut pada tahun 1996.
“Saya membawa bersama kain sejadah dan minyak atar untuk dihadiahkan kepada imam surau dan masjid di perkampungan Melayu Champa di Wilayah Kampung Cham, Kemboja.
“Semasa hari ibadat korban tiba, saya terkejut melihat mereka mencalit minyak atar itu di badan lembu yang hendak dikorban.
“Bukan itu sahaja, mereka turut menutup badan lembu itu dengan sejadah yang saya hadiahkan.
“Rupa-rupanya perbuatan itu salah satu cara mereka bersyukur kerana di negara itu daging lembu atau kambing hanya boleh dinikmati setahun sekali.
“Namun, saya bersyukur beberapa tahun kebelakangan ini banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masjid di Malaysia yang melakukan ibadat korban di negara itu,” katanya.
Tambah Wan Zukri, penduduk Islam Kemboja banyak mengadakan majlis kenduri kahwin hasil sumbangan daging korban sempena Aidiladha itu.
Miskin
“Majoriti mereka hidup miskin kerana bekerja sebagai pesawah dan petani dengan pendapatan bulanan tidak lebih RM10 sehari.
“Mereka juga masih hidup tanpa kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan tandas yang daif.
“Keadaannya sama seperti Malaysia pada 50 tahun dahulu,” ujarnya.
Pengarah Korban Kasih Ummah 1433 Hijrah kendalian Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Tuan Yaacob Tuan Sof, berkata, program sedemikian bermula sejak 14 tahun yang lalu.
Sebanyak 15 buah negara telah direntasi untuk tujuan itu antaranya Lebanon, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Kemboja serta Vietnam.
“Ini bukan bermakna kami meminggirkan individu atau keluarga miskin di Malaysia. Kami hanya memberi lebih tumpuan di negara yang umat Islamnya hidup di bawah paras kemiskinan selain menghadapi konflik peperangan.
“Rakyat Malaysia sebenarnya lebih berkemampuan kerana jumlah haiwan yang dikorbankan di masjid dan surau kini lebih daripada mencukupi.
“Malah, seringkali lebihan bahagian lembu dan kambing seperti kepala dan ekor dibuang begitu sahaja,” ujar Yaacob.
Teruja bercerita mengenai program korban tahun ini, pihak Ikram menyasarkan sebanyak 550 ekor lembu dan kambing untuk ibadat korban kali ini.
Lokasi utamanya ialah Palestin, Myanmar dan Vietnam.
Bagi menjayakan program tersebut, Ikram melantik wakil di negara terbabit atau bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana.
“Mereka perlu menghantar laporan selain gambar yang menunjukkan aktiviti itu dilakukan. Sekiranya gagal, kita tidak akan bekerjasama lagi dengan NGO terbabit pada masa hadapan.
“Alhamdulillah setakat ini tiada masalah kerana soal berkaitan agama ini tidak boleh diambil mudah,” tegasnya.
Yaacob sempat menceritakan pengalamannya melakukan ibadat korban bersama umat Islam di Vietnam tahun lepas.
Katanya, keadaan minoriti umat Islam di negara itu agak menginsafkan.
Makanan mewah
“Ada yang masih menggunakan kereta lembu sebagai pengangkutan utama. Malah, motosikal dianggap kenderaan mewah yang hanya dimiliki oleh orang berada.
“Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan dan petani,” katanya merujuk sebuah perkampungan umat Islam yang terletak sejauh 400 kilometer dari ibu negara Vietnam, Ho Chi Minh.
Ujarnya, daging korban ibarat makanan mewah yang eksklusif dinikmati semasa Aidiladha.
“Haiwan korban itu selalunya dibela oleh penduduk kampung sendiri kerana mereka tidak mahu bergantung kepada sumbangan daripada masyarakat luar semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram, Nahar Md. Nor berpendapat, masih ada segelintir rakyat Malaysia yang perlu dibantu.
“Sebenarnya ada perkampungan yang umat Islam nya hidup dalam kemiskinan.
“Ada juga golongan miskin bandar yang belum dikenal pasti,” katanya.
Nahar juga berpendapat ramai umat Islam Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Kemboja yang bekerja di negara ini perlu dibantu.
“Mereka bekerja dengan gaji yang murah selain menetap di bilik sewa yang sempit.
“Cuma bantuan itu tidak sampai kerana ada segelintir daripada kita yang bermain sentimen perkauman dan bangsa sedangkan Islam itu hanya satu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: