Sunday, October 21, 2012

Guba tidak tumpang populariti


GUBA menegaskan bahawa tiada isu menumpang populariti apabila dia berduet dengan Yuna mahu pun Diana Danielle. Semuanya berlaku kerana keserasian.


MELODI lagu-lagu daripada album pertama jejaka ini kedengaran sedikit berbeza. Guba atau nama sebenarnya Gabrial Robert tampil dengan irama lebih segar berbanding album penyanyi lain di pasaran.
Kata jejaka berumur 28 tahun itu, lagu-lagu mendayu yang dimuatkan dalam album Guba: Hilang itu berkonsepkan irama pop alternatif.
Benar, jika kali pertama mendengar lagu-lagu seperti Purple River, Oh Please, You and Me dan Aku Pergi itu, melodinya kedengaran bervariasi. Tetapi lenggok suara Guba itu kedengaran persis penyanyi Yuna. Dia turut mengakuinya.
"Boleh dikatakan lagi-lagu saya seperti Yuna versi lelaki. Sengaja saya memberi variasi kepada album ini kerana rasanya belum ada lagi penyanyi lelaki lain di negara ini yang membawakan lagu berentak sedemikian.
"Lagi pun boleh dikatakan bahawa rentak sebegini masih baharu di negara kita. Rentaknya juga santai," kata Guba semasa sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Dia yang kini turut berkhidmat sebagi pegawai perhubungan awam (PR) di sebuah institusi pengajian tinggi itu tampil dengan lapan lagu Inggeris dan dua lagu berbahasa Melayu.
Guba bertuah kerana pantas diberi peluang untuk menghasilkan album sendiri. Apatah lagi pada saat ini penyanyi lain sekadar berani mempertaruhkan lagu dalam bentuk single.
Kebolehan mencipta lagu membuka peluang besar untuk dia tampil dengan sebuah album penuh dengan sepuluh buah lagu itu.
"Saya akui bahawa trend penjualan album penuh pada ketika ini begitu teruk. Bagaimanapun jika tidak cuba, kita tidak akan tahu kelebihan kita.
"Lagipun kesemua lagu dalam album ini merupakan koleksi ciptaan saya sendiri. Ada lagu yang disiapkan dalam tempoh sepuluh minit sahaja iaitu yang berjudul Did We," katanya yang gemar mencipta lagu ketika pulang dari kerja.
Lebih istimewa apabila Guba menampilkan penyanyi antarabangsa Yuna untuk berduet dalam lagu You're So Fine dan pelakon Diana Danielle menerusi duet dalam lagu A Beauty Company.
Bersedia untuk dilabel sebagai mahu menggunakan populariti dua nama besar tersebut sebagai platform pantas mencipta nama, Guba tampil dengan alasannya.
"Sebenarnya tidak timbul soal menumpang populariti Yuna dan Diana Danielle di sini. Saya berduet dengan mereka pun disebabkan keserasian antara kami.
"Secara peribadinya saya tidak mengenali mereka, tetapi keputusan itu juga atas sebab pilihan oleh syarikat rakaman, Laguna Music," jelas pemegang ijazah dalam bidang perniagaan itu.
Mengakhiri bicara Guba berkata, dia sekadar mencuba nasib untuk menjadi penyanyi kerana minatnya lebih terarah kepada penciptaan lagu. Namun begitu dia tetap memilih untuk membahagikan masa di antara kerjaya sebagai pegawai seranta dan penyanyi.
Sehingga kini anak bongsu daripada enam beradik itu telah mencipta sebanyak kira-kira 60 buah lagu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: