Sunday, October 21, 2012

Eja anggap diri budak tadika

BERSAMA-SAMA Lisa Surihani, Azizah Mahzan, Radhi Khalid, Esma Daniel, Nazim Othman serta pelakon tambahan yang lain, itu pasukan terbaik di mata Eja.


GELORA lautan boleh sahaja dilawan armada perkasa namun tiada yang dapat berlawan dengan takdir. Sekilas pandang, pernyataan itu terlalu besar untuk dicondongkan kepada situasi yang sedang menjadi rutin jelitawan bernama Siti Shahrizah Saifuddin ketika ini.
Umum tahu dia menjadi 'orang ketiga' namun kuatnya hati wanita itu, segala cabaran mahu ditepis tanpa mudah mengaku kalah. Skeptikal umum tentang masalah dalaman dan kekalutan dalam naskhah teater Tun Dr. Siti Hasmah juga mahu dibuang jauh dari kotak fikirannya.
Berbaki kurang daripada 30 hari sesi latihan menjelang hari pertama untuk ditatap sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, dia melalui saat yang diibaratkan sebagai sesi prasekolah. Sementelah, watak isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu watak sulung yang membawanya ke dunia teater.
"Saya selalu dianggap sebagai jiran yang anti sosial oleh penerbit teater ini, Datin Paduka Umie Aida. Kami berjiran tapi saya jarang bertemu mesra dengannya. Ketika dia menelefon saya untuk menawarkan watak berkenaan, saya kaget. Umie mahu berjumpa dan berikan saya skrip teater itu. Saya pula langsung tidak tahu apa-apa perkembangan tentang teater berkenaan.
"Dalam masa saya masih berkira-kira untuk membaca skrip terlebih dulu, Umie memberi isyarat agar jawapan yang bakal keluar dari mulut saya ialah jawapan yang dia mahukan," tenang Eja bercerita susur titik yang membawa dirinya memasuki pasukan teater yang diterajui oleh Erma Fatima itu.
Meletakkan dirinya sebagai gelas kosong yang hari demi hari diisi titis-titis air sebagai penghilang dahaga ilmu, kata Eja, amanah yang terjunjung atas batu jemalanya itu juga disifatkan sebagai takdir dan peluang yang tidak mampu dibayar oleh wang ringgit.
"Saya anggap peluang ini sebagai takdir yang telah tertulis untuk saya. Ia sebuah rezeki dan pengalaman berlakon bersama pasukan teater ini satu anugerah yang tidak ternilai. Saya diberi keyakinan untuk watak itu, kenapa mesti saya sendiri perlu berasa tidak yakin terhadap diri sendiri. Jadi saya terima semua tunjuk-ajar sewaktu sesi latihan.
"Vokal dan lenggok cakap saya yang mendayu-dayu kena pancung habis. Saya cuba sedaya-upaya, selebihnya semoga urusan ini dipermudahkan Allah SWT," lenturnya hampir meluluhkan perasaan.
Pilihan ketiga pilihan terbaik

PERCAYA kepada takdir dan rezeki yang memihak untuknya, Eja sahut cabaran untuk jiwai karakter Tun Siti Hasmah biarpun sebelum ini nama Erra Fazira dan Sofia Jane menjadi pilihan pertama dan kedua.


Hampir 16 tahun dalam industri juga, Eja sudah cukup membuktikan dirinya sebagai anak seni. Deretan drama televisyen berupa drama bersiri mahupun telemovie, bahkan terpilih ke dalam senarai aktres terbaik Malaysia dalam Festival Filem Malaysia menerusi Janin, namun untuk teater yang akan berkampung di Panggung Sari, Istana Budaya itu, namanya muncul sebagai pilihan ketiga. Itupun, selepas pilihan pertama, Erra Fazira dan Sofia Jane menarik diri.
Kedua-dua pelakon itu miliki pesona dan profil tersendiri, kedua-duanya juga pernah melakar nama indah di kanvas perfileman dan teater tanah air. Namun, atas beberapa masalah, kedua-duanya tidak kesampaian untuk memecah tembok menzahirkan watak bekas wanita pertama negara itu.
"Tidak adil untuk saya bercakap tentang apa yang berlaku kepada dua pelakon berkenaan. Benar saya pilihan ketiga tetapi fikiran saya menolak untuk memikirkan susun atur tersebut. Kalau difikirkan akan menambah tekanan. Lebih baik saya ambil positif.
"Setahu saya, Lisa juga bukan pilihan pertama, Erma Fatima dan Esma Daniel juga bukan pilihan pertama. Pendek kata, kebanyakan nama dalam pasukan teater ini bukanlah pilihan pertama, tapi inilah pilihan yang terbaik," katanya sedar jika selalunya peluang berpihak kepada nama yang sama, tiada kelainan dapat disaksikan.
Tambah Eja: "Cuma jangan terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sekiranya persembahan saya nanti tidak sampai ke tahap yang diimpikan, itu tidak bermakna saya gagal.
"Saya tak kisah dikritik, bahkan saya mohon, tegurlah dan dan kritiklah saya. Cuma janganlah kecam saya sehingga saya terduduk."
Meneruskan nota hatinya untuk dipaparkan sebelum lakonannya diperlihatkan, Eja menjelaskan banyak sebab yang menyokong pilihannya untuk menyahut tawaran melakonkan watak Siti Hasmah.
"Saya terima watak ini atas banyak sebab, terutamanya kerana Umie, Erma dan Normah Nordin sebagai jurulatih lakonan. Sudah tentu juga kerana teater itu sendiri yang bercerita tentang wanita ulung negara.
"Setiap kali melintasi dan datang menyaksikan kerja orang lain, saya cuma tertanya-tanya tentang peluang untuk saya berlakon di sini (Istana Budaya). Alhamdulillah, Allah SWT telah mendengar doa saya dan peluang ini tidak harus saya lepaskan.
"Saya juga mahu mencabar diri saya untuk berdepan dengan khalayak yang ramai. Satu tahu, itu kelemahan utama saya. Saya jenis yang tidak pandai berurusan dengan orang ramai dalam satu-satu majlis."
Pinta aktres berusia 40 tahun itu, janganlah dirinya dibandingkan dengan Erra mahupun Sofia.
"Erra seorang primadona filem Melayu, Sofia pula pelakon yang cukup berpengalaman. Kami dalam liga yang berbeza. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri untuk fikirkan perkara itu," katanya yang semakin tenang selepas selepas beberapa minggu menjalani latihan.
Gerun berdepan 9 November
Tiga minggu menjalani latihan, banyak yang telah dikutip. Selain skrip yang dibekalkan, itu pun baru sahaja diberikan skrip terakhir beberapa hari lalu, Eja turut membuat rujukan peribadi untuk mengenali dan mendalami watak sebenar yang dipegangnya.

MEMASUKI usia 40 tahun kematangan sifat kewanitaan dan keibuan Eja tambah meyakinkan bahawa aktres yang pernah digelar ratu bulu mata palsu satu ketika dahulu itu pilihan terbaik untuk merealitikan wajah Tun Siti Hasmah di pentas Istana Budaya pada 9 hingga 19 November nanti.


"Saya baca buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya juga 'google' untuk cari maklumat-maklumat berkaitan, tengok dalam YouTube. Mujurlah sempat juga bertemu dengan Siti Hasmah baru-baru ini. Saya hanya nampak dan kenal beliau dari jauh, saya katakan pada diri saya, tiada sesiapa pun yang dapat menjadi Tun selepas ini. Apa yang akan saya persembahkan nanti hanyalah Siti Hasmah seperti yang dibayangkan setepat yang mungkin," katanya.
Daripada 74 babak keseluruhan, 64 daripada babak dalam teater tersebut melibatkan lakonannya.
"Harap penonton tidak muak nanti," tutupnya ketawa sambil tidak mahu membohongi diri bahawa jauh di hati yang terdalam, dia menyimpan gugup dan gerun berdepan teater berprofil tinggi itu.
Memetik kata-katanya di awal perbualan, 'seandainya lakonan itu sesuatu yang bakal memberikan kesan ke jiwa penonton, itu sudah satu ibadah saya untuk masyarakat.'
Jika Eja berjaya memberi interpretasi yang paling tepat menghampiri lahiriah dan batiniah Siti Hasmah sepanjang 9 hingga 19 November nanti, gambaran itu bakal jadi riwayat hidup yang memberi impak. Bukan sahaja kepada penonton bahkan kepada pemilik riwayat itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: