|
PENGALAMAN menjadi kolumnis sejak berumur 14 tahun di salah sebuah akhbar tanah air menjadi bekalan buat Amir Muhammad, 39, untuk terus berkarya dalam arena penulisan tanah air.
Amir yang terkenal dengan buku yang bertajuk 120 Malay Movies, KL Panorama dan Rojak itu menzahirkan idea segar dalam setiap karyanya untuk dijadikan bahan bacaan rakyat Malaysia walaupun ada pihak yang mempertikaikan kredibiliti karya beliau.
Walaupun tanpa karya terbaharu, langkah Amir semakin panjang dewasa ini apabila dia mula membina empayar syarikat penerbitan yang mula beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.
Penerbitan Buku Fixi kini bukan lagi satu nama asing dalam kalangan peminat novel dan cerpen, malah ia berjaya mencungkil bakat penulis-penulis baharu.
Buku Fixi yang diasaskan oleh Amir merupakan salah sebuah syarikat penerbitan alternatif yang telah menakluki pasaran buku Malaysia, malah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap karya yang dihasilkan.
Pembaca Malaysia dan novel cinta
Penerbitan alternatif pada dasarnya merujuk kepada penerbitan yang bersifat lebih telus terutama dari segi aspek penggunaan bahasa serta idea yang diketengahkan.
Apa yang membezakan penerbitan alternatif dengan buku terbitan kebanyakan syarikat besar arus perdana ialah modal, kuantiti cetakan dan pasaran.
Bagi Amir, idea untuk menghasilkan syarikat Buku Fixi muncul setelah dia menghadiri sebuah majlis yang berkisar mengenai perjalanan dan senario industri buku di Malaysia tidak lama dahulu.
"Dalam majlis itu, saya mendapat satu statistik bahawa sembilan daripada 10 novel bahasa Melayu yang terlaris di Malaysia adalah novel cinta. Pada saat itu juga soalan yang berputar di dalam benak fikiran saya adalah apakah tiada bahan bacaan lain yang dibaca oleh rakyat Malaysia selain daripada novel cinta?
"Saya bukan mahu lari daripada realiti keinginan masyarakat di Malaysia. Saya cuma mahu bahan bacaan mereka tidak tertumpu terhadap satu genre sahaja, sebaliknya perlu lebih variasi," ujarnya.
Tambah Amir lagi, buku-buku penerbitan alternatif juga menekankan aspek kejujuran dan situasi persekitaran terkini dalam penulisan. Ia dilihat lebih dekat dengan jiwa pembaca walaupun kebanyakan karya hanya imaginasi serta fantasi penulis.
Antara karya Buku Fixi yang telah berada di pasaran ialah Ngeri, Dosa, Licik dan Kelabu. Dua buah karya Buku Fixi iaitu Zombijaya dan Pecah turut menangkap pembikin filem tanah air apabila jalan cerita dua karya itu telah diangkat ke arena perfileman negara.
Matlamat asal pejuang-pejuang penerbitan itu adalah untuk mengembangkan idea-idea baharu yang jarang diketengahkan dalam arena penulisan negara.
Tidak tertumpu kepada penghasilan novel dan cerpen sahaja, buku kompilasi pantun, sajak dan puisi turut menjadi madah penerbit alternatif untuk mengembalikan nostalgia lama dengan cara baharu serta moden.
Menurut Amir, Buku Fixi kini telah mempunyai 20 buah karya yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap karya.
"Seperti yang kita tahu, remaja masa kini meminati bahan bacaan bahasa Inggeris dan antara matlamat saya adalah untuk mengajak serta memperkenalkan kepada mereka bahan bacaan bahasa Melayu.

PENERBIT buku turut mengadakan sesi pelancaran buku terbaharu mereka di Pasar Buku Boco baru-baru ini.
"Bagi saya, tiada paksaan untuk pembaca memilih bahan bacaan mereka kerana saya berpegang teguh kepada prinsip demokrasi. Saya hanya menyediakan medium kepada mereka," ujarnya yang turut mempunyai dua buah karya dokumentari bertajuk Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.
Siri jelajah
Kewujudan syarikat penerbitan alternatif itu juga tidak bercita-cita untuk menyaingi syarikat-syarikat penerbitan buku gah tanah air, sebaliknya cuba mengumpul kelompok pembaca baharu yang dahagakan bacaan segar.
Buku Fixi ternyata tidak bersendirian apabila pergerakan atau perjuangan syarikat itu yang boleh dianggap satu usaha alternatif, turut disertai beberapa syarikat penerbitan lain seperti Sang Freud Press, Moka Mocha Ink, Selut Press dan Lejen Press.
Sementara itu, penerbit Lejen Press Shahrul Naim Amin, 26, pula memberitahu penerbitan buku alternatif masih dalam pembinaan asas yang kukuh dan semakin mendapat tempat di hati peminat buku tanah air.
Baginya yang mula membina empayar Lejen Press sejak tahun lalu dengan tiga judul buku iaitu Kitab Terfaktab, Sperma Cinta dan Awek Chuck Taylor beranggapan bahawa walaupun penerbitan buku alternatif semakin berkembang, dia masih menganggap pasaran untuk penerbitan buku alternatif ini amat terhad.
"Kami tidak bergantung kepada hasil jualan di kedai-kedai buku sahaja kerana kebanyakan gedung buku tidak memasarkan buku-buku kami. Oleh itu, kami mengadakan siri jelajah ke pesta buku dan universiti di seluruh tanah air dengan menamakannya sebagai siri Jelajah LejenFixi.
"Melalui siri jelajah ini, kami tidak berdiri di atas kaki sendiri. Kami turut membawa buku-buku daripada syarikat penerbitan alternatif yang lain untuk dipromosikan kepada remaja," ujarnya.
Lejen Press juga tidak cerewet dalam pemilihan setiap manuskrip. Syarikat penerbitan itu sedia menerima manuskrip daripada orang ramai asalkan gaya penulisan bebas serta menarik.
Penulis-penulis yang bernaung di bawah payung Lejen Press terdiri daripada pelajar universiti dan golongan yang telah berkerjaya dan profesional. Kebanyakan daripada mereka mula mencungkil bakat penulisan di laman blog kemudian mula mencuba cerpen atau novel apabila mendapat tawaran daripada pihak penerbitan.
Cabaran awal
Bagi penerbit buku alternatif Selut Press, Nurul Asyikin Abdul Hamid atau nama penanya Aloy Paradoks, dia mengakui, melalui laluan sukar pada awal untuk menerbitkan buku alternatif atau idea olahannya sendiri bertajuk Sayap-Sayap Patah pada tahun 2011.
Jelasnya, apa yang biasa dialami oleh kebanyakan penerbit buku alternatif pada awalnya adalah masalah daripada aspek modal dan permintaan yang amat terhad.
"Dengan modal sebanyak RM200, saya mula mencetak 30 naskhah Sayap-Sayap Patah untuk dijual kepada rakan-rakan terdekat. Daripada titik permulaan itu, permintaan semakin galak dan saya mula menambah cetakan menjadi 50, seterusnya 100 dan sehingga kini buku-buku itu telah mendapat sambutan sehingga dicetak dalam kuantiti yang banyak.
"Pada awal pembabitan saya dalam industri penerbitan alternatif ini, setiap buku diterbitkan berdasarkan permintaan (print on demand). Lebih buruk pada masa itu penerbit-penerbit buku alternatif tidak diberi peluang untuk menyertai pesta-pesta buku," ujarnya yang aktif dalam kegiatan seni teater tanah air sejak tahun 2009.
Selut Press turut mempunyai beberapa cabang penulisan dalam penerbitan buku mereka iaitu Selut Puisi, Selut Cerpen, Selut Novel dan yang terbaharu ialah Selut Saku yang turut memperkenalkan buku bersaiz kecil.

BLOG merupakan satu cara Selut Press untuk mempromosikan buku alternatif.
Bagaimanapun menurut Nurul Asyikin, penerbitan buku alternatif turut mengundang persepsi negatif masyarakat mahupun golongan intelektual mengenai idea serta gaya penulisan santai yang diketengahkan oleh mereka.
"Ia sebenarnya seperti kitaran roda. Semua perkara baharu pasti mendapat kritikan. Apabila sesuatu perkara itu sudah lali dengan perkara itu, ia sudah menjadi sesuatu kebiasaan dan pada akhirnya ia akan diterima secara perlahan-lahan," jelasnya yang turut terlibat dalam projek filem pendek, Kontradiksi baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: