Monday, October 15, 2012

Cangkul penggali direka sendiri

PENGGALIAN lubang asas memakan masa mencecah dua hingga tiga jam.


SELAMA sembilan tahun, Mohammad Shadzri Kamarudzaman, 37, bergelumang dengan tanah kubur. Sepanjang tempoh itu juga, lelaki yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu menempuhi pelbagai pengalaman manis dan pahit.
Bergelar sebagai penggali kubur, Shadzri seronok dengan pekerjaannya. Sebelum berbakti di tanah perkuburan Islam KL-Karak, dia hanya melakukan pekerjaan kampung.
Memikul kepercayaan ahli keluarga si mati tidak mudah. Disebabkan itu, kerja-kerja menggali kubur perlu dilaksanakan dengan tertib. Tugasan yang lancar dan sempurna secara tidak langsung menjadi penawar kesedihan ahli keluarga si mati.
Apabila diminta mengganti abang iparnya yang ketika itu bekerja kontrak sebagai penggali kubur, Shadzri tidak menolak. Detik itu menjadi permulaan kariernya yang kini telah pun mendapat status sebagai pekerja tetap, di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
"Mula-mula saya memang tidak tahu apa-apa tentang ilmu menggali kubur. Maklumlah, tiada silibus jadi saya belajar daripada orang lama dalam bidang ini dan mengutip pengalaman sendiri.
"Lama-kelamaan, kemahiran itu datang sendiri terutamanya apabila melibatkan proses penggalian lubang lahad dan penyelesaian yang perlu dilakukan ketika berdepan masalah seperti tanah keras atau hujan lebat," cerita Shadzri yang baru selesai mengebumikan satu jenazah yang tidak dituntut di kawasan perkuburan awal KL-Karak.
Dalam sehari, secara purata Shadzri dan rakan sekerjanya menerima tiga jenazah. Itu merupakan jumlah minimum. Pengebumian paling tinggi dalam sehari setakat ini dikhabarkan melibatkan tujuh jenazah yang memerlukan Shadzri dan beberapa penggali kubur sukarelawan bekerja keras dari awal pagi sehingga lewat petang.
Gali lubang asas
"Pengebumian waktu malam pula kebiasaannya melibatkan kes-kes jenazah bedah siasat yang perlu ditanam segera. Pengurusannya tetap sama dan tiada perbezaan sama ada waktu siang atau malam.

SUFIAN telah menjadi penggali kubur dalam masa dua dekad.


"Setiap hari penggali kubur di sini ditugaskan untuk menggali dua lubang asas bagi memudahkan urusan pengebumian pada masa akan datang.
"Apabila pihak khairat kematian menghubungi kami dan memberi maklumat si mati, kami akan sampaikan kepada pejabat pengurusan dan menyediakan lubang lahad," terang Shadzri yang mengkategorikan kerjanya sebagai satu amanah terindah.
Difahamkan, sebuah lubang asas memakan masa antara dua hingga tiga jam untuk digali. Lubang lahad pula disediakan dalam tempoh satu hingga satu setengah jam. Bagaimanapun, ia bergantung kepada cuaca dan struktur tanah.
Mat Sufian Abd. Hamid, 48, menyatakan, sekiranya tanah itu berbatu, waktu diambil untuk menggali kubur boleh mencecah durasi empat jam setengah.
Peralatan yang sesuai juga penting dalam memastikan kelancaran proses penggalian. Menurut Sufian, cangkul yang digunakan kebanyakan penggali kubur dibuat mengikut acuan sendiri.
"Ia bagi membolehkan cangkul tahan lebih lama dan jika ia diguna secara kerap pun, sebatang cangkul mampu bertahan selama dua bulan," ujar Sufian yang telah berkhidmat di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara sejak dua dekad lalu.
Minatnya terhadap pekerjaan itu mungkin kedengaran pelik. Namun, hakikatnya, Sufian yang berasal dari Perak selesa dengan sumber rezeki tersebut. Hasil yang diperoleh diyakini halal biarpun ganjaran tidak sebesar pekerjaan lain.
"Sekitar tahun 1990-an, saya pernah mengebumikan sembilan jenazah dalam satu hari. Sewaktu itu ia dibuka untuk semua penduduk di Kuala Lumpur dan purata kubur yang kami gali adalah sebanyak lima hingga enam setiap hari.

SETIAP kubur mempunyai batu tanda yang bernombor bagi memudahkan urusan pencarian pusara oleh waris.


"Selepas kawasan ini dihadkan kepada penduduk bagi empat kariah masjid sekitar, jumlahnya berkurang kepada satu jenazah dalam tempoh dua minggu. Namun, jumlah itu tidak menentu," tambah Sufian yang turut melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan secara berkala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: