|
IRAMA lagu berentak perlahan berkumandang di segenap ruang The Studio@KL yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Lebih kurang 20 orang yang berusia antara 30 hingga 50 tahun sedang asyik melukis dalam ruang seluas kira-kira 139 meter persegi.
Pelbagai lukisan berasaskan cat minyak digantung bersebelahan antara satu sama lain. Bersaiz besar, ia menjadi latar dinding galeri itu. Umpama dunia yang berbeza, hiruk-pikuk orang ramai di luar premis tersebut pada petang itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada mereka.
Di salah satu sudut, Tutie Ismail sedang melukis gambar seekor kucing berwarna hitam. Ujarnya, ia merupakan ekspresi rasa sayang terhadap haiwan peliharaannya. Sambil memegang berus lukisan, sempat dia berbual dengan rakan di sebelahnya.
"Saint Elmo's Fire (nama kucing peliharaan) sangat nakal. Dia baru pecahkan pasu di rumah. Jadi, saya ubah warna menjadi hitam biarpun warna sebenar Elmo ialah oren," kata wanita yang berasal dari Bukit Jelutung, Shah Alam itu.
Bekerja dalam bidang perhubungan awam amat memenatkan Tutie. Mengadakan sesebuah acara daripada tiada apa-apa sehingga berjaya merupakan suatu kepuasan. Namun, tekanan kerja tetap ada walaupun ia merupakan kerja yang diminati.
Dahulu, dia akan ke gimnasium untuk bersenam atau melontarkan vokal sepuas hati di pusat-pusat karaoke bergantung pada tahap tekanan yang dialami.
Art Jamming
Walaupun bandar raya Kuala Lumpur semakin berkembang tetapi tempat untuk melepaskan tekanan akibat bebanan kerja amat kurang dan tiada pilihan. Jadi, wanita yang berusia 32 tahun itu menggunakan sumber yang ada.
Namun pada hari Sabtu hujung bulan Mei lalu, dia diperkenalkan oleh rakan-rakannya mengenai sebuah program yang dikenali sebagai Art Jamming di The Studio@KL.
Dia bersama rakan-rakan lain terus menyertai program tersebut dan hasilnya sebuah lukisan kucing direalisasi. Pada masa yang sama, Tutie dapat meluangkan masa dengan rakan-rakan wanitanya.
Art Jamming merupakan suatu bentuk pertemuan sosial bersama rakan-rakan yang berbeza jika dibandingkan dengan apa yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia.
Daripada duduk berbual-bual selama berjam-jam di restoran mamak atau menari di disko-disko atau kelab malam, mereka yang hadir ke Art Jamming dapat bermesra sesama sendiri sambil melukis.
Konsep bersosial sambil melukis bukan baharu di luar negara, bahkan ia cukup popular di beberapa buah negara seperti di Hong Kong, Dubai, Singapura, London dan Afrika Selatan.
Dalam laman web artjamming.com, pengalaman melukis sambil berkumpul dicipta oleh seorang pelukis tempatan, Betty Cheung apabila mengadakan acara Art Jam pada 4 Mac 2000 di Hong Kong.
Sejak itu, galeri lukisan milik Betty di Wellington Street terkenal dengan aktiviti yang mereka gelar sebagai paintertainment (hiburan melukis).
Art Jamming masuk ke Malaysia pada tahun lalu oleh The Studio@KL dan galeri tersebut menjadi perintis pada konsep itu di Malaysia.
Kata pemiliknya, Jonny Ishaque, 40, dalam masa lebih kurang tiga jam, mereka yang menyertai Art Jamming bebas melukis tanpa ada sekatan dan dibenarkan membawa makanan sendiri.
Bayaran yang dikenakan untuk setiap seorang ialah RM120. Jika datang secara berkumpulan seramai 11 orang, mereka hanya perlu membayar harga 10 orang. Setiap peserta diberi peralatan melukis seperti kanvas, bufet warna akrilik, struktur kuda-kuda (easel), apron dan berus pelbagai saiz.
Contoh lukisan
"Kami juga menyediakan beberapa contoh foto lukisan untuk dijadikan rujukan tetapi mereka bebas melukis dan tidak perlu meniru dengan tepat," kata Jonny yang berasal dari United Kingdom.
Antara lukisan yang kerap dilukis ialah pemandangan dan abstrak manakala pengunjung yang datang kebanyakan terdiri daripada ekspatriat serta penduduk tempatan di Kuala Lumpur.
Daripada mata kasar, Art Jamming kelihatan sama seperti kelas-kelas melukis lain tetapi kepada pencinta seni, Rajes Singam, 53, amat menyukai konsep yang terdapat di The Studio@KL itu.
"Saya tidak berbakat dalam seni tetapi sebab saya gemarkan bidang ini, jadi saya banyak menyertai kelas seni termasuk kelas lukisan dan penulisan kreatif," kata wanita yang bekerja sebagai jurulatih jualan dan perkhidmatan ini.
Sepanjang pengalaman menyertai kelas-kelas lukisan, dia terpaksa duduk di suatu tempat yang tetap. Interaksi antara pelajar sangat minimum dan hanya guru yang banyak bercakap.
Kadangkala ia memberi tekanan pula kepada pelajar apabila terpaksa mencapai standard yang ditetapkan seorang guru seni itu.
"Tetapi di sini, kami bebas melukis apa sahaja. Berbual sebentar dan kembali fokus pada lukisan. Bagi saya, seni lebih kepada kepuasan diri sendiri.
"Paling penting, kita bebas untuk datang pada waktu yang sesuai berbanding kelas lukisan biasa yang memiliki jadual tetap," kata wanita yang memiliki dua orang anak dan seorang cucu itu.
Di rumahnya yang terletak di USJ 16, Subang Jaya, Rajes banyak mengantung hasil karyanya yang dihasilkan sepanjang mengikut pelbagai kelas melukis.
Biarpun ia sebuah majlis sosial yang membolehkan orang ramai beramah mesra tetapi disebabkan terdapat aktiviti melukis, para peserta boleh kembali fokus kepada lukisan.
Ketelitian dan tumpuan yang diberikan untuk mendapatkan output yang dibayangkan di atas sekeping kanvas memberikan ketenangan kepada mereka yang menyertai Art Jamming.
Sepanjang sesi berlangsung, pemilik bersama The Studio@KL, Jennifer Tan yang merupakan seorang pelukis akan meninjau dan melihat-lihat mereka yang menyertai majlis sosial itu.
Jika terdapat peserta yang mahukan bantuan atau tunjuk ajar, Jennifer akan membantu. Wanita kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu mempunyai pengalaman dalam bidang seni lukisan di Hong Kong selama 25 tahun.
Merupakan seorang pelukis yang belajar sendiri, wanita berusia 46 tahun itu melukis untuk patron seni di Hong Kong yang membiayainya dengan cara membeli hasil karya Jennifer.
Beri inspirasi
Kata beliau, pelukis sememangnya memerlukan ruang yang boleh membantu memberi inspirasi terutama ketika melukis. Sehubungan itu, The Studio@KL pasti akan memainkan lagu-lagu yang boleh menaikkan perasaan seperti lagu lama sepanjang sesi.
"Paling penting, sebagai seorang pelukis, kita tidak boleh berasa takut terhadap apa yang dikritik oleh orang lain terhadap hasil seni kita," katanya sambil menambah tidak mungkin orang lain dapat menterjemah perasaan pelukis melalui lukisan.
Selain menjadi sebuah tempat untuk rakan-rakan berkumpul, aktiviti Art Jamming juga memberi peluang kepada keluarga berkumpul dan melakukan perkara yang sama.
Pada petang itu, bukan sahaja kumpulan Tutie dan Rajes berkumpul tetapi terdapat sebuah keluarga yang turut menyertai Art Jamming.
"Daripada berjalan di pusat beli-belah, lebih baik berkumpul di sini untuk melukis dan berbual," kata Chew Hock Poon, 50, yang datang bersama-sama isteri dan anak perempuannya.
Menetap di Kelana Jaya, isteri Hock Poon, Malarvilli, 42, melukis imej kepala burung merak manakala anaknya, Alexandra Shruty, 8, yang kadangkala memerlukan bantuan ibunya melukis seekor rama-rama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: