
TIDAK ramai wanita yang dapat mempelajari teknik menganyam rombong dengan lengkap.
ANYAMAN rombong merupakan seni kraf tangan terkenal di Melaka yang merujuk kepada penghasilan pelbagai jenis bakul yang diperbuat daripada mengkuang.
Dahulunya rombong digunakan untuk menyimpan pakaian dan barang kemas, namun pada hari ini ia masih digemari ramai yang menjadikannya sebagai hiasan hantaran perkahwinan dan bakul hamper.
Bakul rombong boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk seperti bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat. Selain itu, ia juga didatangkan dalam set susunan tiga atau lima pada bentuk yang sama, tetapi berlainan saiz dengan motif-motif berteraskan alam semula jadi.
Seni itu sangat terkenal pada suatu ketika dahulu dalam kalangan kaum wanita di Melaka. Namun difahamkan, pada masa ini tinggal beberapa orang wanita sahaja yang memiliki skil anyaman rombong.
Teknik menganyam yang sukar hinggakan seni kraf itu dikenali sebagai ‘anyaman gila’ adalah antara punca ia tidak digemari untuk dipelajari. Anyaman rombong memerlukan kemahiran tangan, kesabaran dan ilham yang tinggi.
Proses pembuatan bakul rombong tidak jauh berbeza daripada membuat tikar mengkuang. Bezanya terletak pada teknik anyaman tiga lapis berbanding anyaman rata pada tikar mengkuang.
Penyambung warisan
Amnah Abdulla, 53, mungkin ialah satu-satunya wanita paling mahir dalam anyaman rombong yang diketahui masih ada pada masa ini.
Perkara itu diakui sendiri Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) cawangan Melaka yang telah menjalankan usaha mengesan penganyam rombong di seluruh negeri bersejarah itu.
Amnah, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik, mula mempelajari seni anyaman rombong ketika berusia 12 tahun bagi membantu ibunya mencari rezeki selepas bapa beliau meninggal dunia
Hanya beliau dan seorang kakaknya yang mahir menghasilkan rombong di dalam keluarganya.
AMNAH bersama sebahagian daripada anyaman rombong yang dihasilkannya.
|
Bagaimanapun, seni anyaman itu berkubur hampir 35 tahun selepas Amnah mendirikan rumah tangga dengan seorang nelayan, Md. Jali Berahim kerana sibuk menguruskan keluarga dan kedai makan miliknya.
Namun kejadian pada kira-kira tiga tahun lepas membawa sinar harapan kepada seni kraf tangan yang semakin dilupakan itu.
Amnah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nah ketika itu sedang menggoreng ikan sebagai juadah bagi keluarga sebelum dipanggil suaminya untuk menonton sebuah dokumentari mengenai rombong di televisyen.
“Suami saya yang mengetahui saya pandai menganyam rombong kemudiannya begitu bersungguh-sungguh mencari daun mengkuang bagi dijadikan bakul rombong,” kata Amnah ketika ditemui di rumahnya di Batu 7 1/4 Balik Bukit, Tanjung Kling.
Teringat semula
Ketika memegang daun mengkuang berkenaan, teknik menganyam rombong seolah-olah terbentang kembali di kepala Amnah.
Amnah berkata, ketika asyik menghasilkan rombong keduanya selepas begitu lama meninggalkan seni itu, beliau didatangi Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim yang kebetulan berada di kampung berkenaan dan bertanyakan mengenai hasil kerja tangannya itu.
Beliau berkata, Ab. Rahaman yang tertarik dengan rombong itu memaklumkan akan membawa seni anyaman tersebut kepada pengetahuan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk dipelihara dan dikembangkan.

ANYAMAN rombong begitu unik kerana seseorang perlu menghasilkan tiga lapis anyaman pada satu permukaan.
“Tidak lama kemudian, Kraftangan Melaka menghubungi saya dan selepas itu, rombong mula diperkenalkan kembali kepada rakyat Melaka dan Malaysia,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Amnah kini mampu menarik nafas lega selepas berjaya meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan hasil jualan rombong yang kebanyakannya untuk dijadikan hantaran dan hadiah perkahwinan selain hamper.
Bakul rombong dijual pada harga antara RM2 hingga RM350 setiap satu bergantung kepada saiz.
Bentuk sukar
Rombong paling sukar untuk dihasilkan ialah rombong berbentuk empat segi yang berukuran 27x20 inci. Tempoh sebulan akan diperlukan untuk menyiapkannya bagi mereka yang kurang mahir.
Begitupun, Amnah mampu menghasilkannya dalam tempoh 10 hingga 15 hari.
Seni anyaman rombong yang memperlihatkan keindahan dan kehalusan seni khazanah Melayu sememangnya dikagumi dan diminati masyarakat setempat dan pelancong asing.
Tidak hairanlah rombong mendapat permintaan yang menggalakkan setiap tahun.
Pengarah Kraftangan cawangan Melaka, Aididah Ibrahim berkata, produk kraf tangan khususnya rombong sentiasa mendapat permintaan pasaran ekoran nilai estetiknya.
Beliau bagaimanapun memberitahu, permintaan tinggi terhadap hasil kraf tangan tersebut tidak mampu dipenuhi berikutan jumlah produk yang dihasilkan terlalu sedikit kerana kekurangan penganyam rombong.
Assalamualaikum. Maaf nak tanya, ada tak maklumat lebih lagi tentang puan Amnah? Saya berhajat untuk menemu bual beliau untuk mata kuliah Dokumentari saya.
ReplyDelete