JIKA berbicara tentang hidangan buffet stimbot, konsep masakannya boleh dikatakan sama saja di mana-mana, seleksi hidangan mentah seperti makanan laut yang direbus.
Namun, bezanya Restoran Kelip-kelip Steamboat, Grill & Cafe ini terletak kepada sos atau sambal pencicahnya yang merupakan buatan sendiri, bukannya yang telah dibeli siap seperti di restoran stimbot yang lain.
Menyediakan sehingga 20 jenis pilihan sos dan sambal untuk dicicah bersama stimbot, menurut pemilik restoran stimbot itu, Siti Nurhana Ibrahim, 28, ke semua sos tersebut merupakan ciptaan asli ibunya dan hanya dia yang mengetahui teknik menghasilkannya.
"Paling digemari ramai ialah sos ma oma yang diilhamkan daripada masakan orang Jawa dengan menggabungkan rasa pedas, masam dan manis.
"Sos dan sambal pencicah kami 100 peratus dibuat sendiri serta tidak menggunakan monosodium glutamate (MSG) dan yang paling penting ia dijamin halal," katanya.
Antara sos dan sambal yang direka oleh ibunya ialah sos ma oma, uwa uwa, mangga, cili manis, sambal hijau, cito, terasi dan bijan.
Menariknya lagi restoran yang terletak berhampiran dengan SMK Subang Bestari ini ialah boleh dikatakan pakej buffet stimbot restoran itu merupakan antara yang termurah iaitu RM21 untuk dewasa dan RM18 untuk kanak-kanak berketinggian 100 hingga 130 sentimeter.
Pakej buffet stimbot itu turut termasuk tiga jenis air minuman, seleksi aiskrim dan pilihan buffet masakan goreng seperti nasi goreng, wedges bermacam-macam lagi. Malah sup yang disediakan juga bukan sup kosong iaitu sup tomyam dan ayam.
Nurhana turut menekankan kesemua bahan mentahnya didapatkan daripada pembekal Islam sahaja bagi memastikan ia datang daripada sumber yang halal.
Pelbagai hidangan ala carte turut disediakan dari hidangan tempatan hingga hidangan Barat seperti Spaghetti Bolognese Sardin dan Chicken Cordon Cheese.
Cerita Nurhana, Spaghetti Bolognese Sardin berbeza dengan hidangan spageti lain kerana ia menggabungkan resipi spageti bolognese dengan sardin dan lebih sesuai dengan tekak orang tempatan.
Selain itu, Nurhana turut menyediakan perkhidmatan katering. Bagi mereka yang mahukan kelainan di kenduri di rumah mereka, apa kata dapatkan gerai stimbot yang dibawa khas ke rumah anda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: