PENGGAMBARAN klip video untuk runut bunyi filem Saya Amat Mencintaumu di Beijing, China.
Walau baru mencecah 19 tahun, anak bongsu Datuk Yusof Haslam cukup profesional melaksanakan tanggungjawabnya malah Anuar sendiri mengakui teruja untuk bekerja dengan orang muda sepertinya yang punya daya kreativiti tinggi.“Jujurnya saya suka mencuba sesuatu yang baru malah terharu apabila dua lagu terbaru ini meraih perhatian bagi melengkap buah tangan sulungnya. Saya agak terkejut apabila dihubungi pihak Skop dua bulan sebelum ini yang menyuarakan hasrat mereka.
Terdahulu, rombongan Skop Productions yang membariskan pelakon Gerak Khas, ahli keluarga produser terbabit serta wakil media lebih dulu ‘terbang’ ke Beijing dalam lawatan enam hari selain mengambil peluang menjalani penggambaran dua produk baru, Skuad Metro dan telefilem, Asmara Di Beijing.
Walau terlepas peluang merasai kedinginan salji yang gugur sehari sebelum kedatangannya, penyanyi berusia 42 tahun itu tidak ralat sebaliknya tetap mengagumi keindahan destinasi yang disebut jantung bagi China selain pembangunannya.
“Sebenarnya ketika masih bertugas di syarikat penerbangan, sudah empat kali saya ke sini cuma disebabkan kekangan masa saya tidak sempat menjelajah tempat menarik termasuk Tembok Besar yang disenaraikan sebagai benda ajaib dunia.
“Difahamkan lokasi di Beijing hanya beberapa babak kerana selepas pulang ke Kuala Lumpur, kerja penggambaran akan disambung semula,” katanya lagi yang bakal muncul di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, pada 8 April ini.
Sebelum ini lagu Anuar pernah melatari beberapa filem lain termasuk Perpisahan untuk filem Cinta, Andai (Bintang Hati), Sedetik Lebih (Merong Mahawangsa) selain duet bersama Erra Fazira dan Afdlin Shauki dalam Soal Hati.
Ditanya tidakkah berminat untuk berlakon selepas Soal Hati dan Bintang Hati, kata penghibur yang digilai ramai itu mungkin lakonan bukan jiwanya yang pada awal lagi ia sekadar menguji sejauh mana kemampuan.
“Biarlah saya tumpukan pada nyanyian kerana rasanya saya lebih sesuai dalam bidang ini berbanding lakonan. Takut nanti rosak filem orang,” katanya sambil tertawa kecil sambil menegaskan tidak sabar menanti tayangan filem SAM.
Bagi Syafiq yang turut bertanggungjawab menulis naskah skrip filem terbabit, sedari awal sememangnya dia memang teringin menggunakan lagu penghibur itu bagi buah tangan sulungnya.
“Saya semakin tertarik dengan nyanyian dan lagu abang Anuar sebaik mendengar lagu Sedetik Lebih di radio tahun lalu. Selepas itu saya mendapatkan albumnya yang lama. Bagi saya dua lagu baru ini cukup ‘kena’ dengan filem SAM yang menjurus kepada sebuah kisah thriller bersulam cinta.
“Apabila dia menyatakan persetujuan di atas kerjasama ini, saya terus menarik nafas lega. Walau punya nama besar, dia begitu senang memberikan kerjasama. Awalnya saya gementar namun sikap toleransi dan mudah mesranya membuatkan saya semakin selesa sepanjang di lokasi,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: