Thursday, March 29, 2012

Elak peminat bosan

Sara Ali
Sara Ali

BUKAN sombong atau jual mahal, sebaliknya pelakon muda berbakat besar Sara Ali mengaku lebih suka tiada publisiti mengenai dirinya di akhbar mahupun majalah daripada dikaitkan dengan gosip liar atau kontroversi yang menjejaskan nama baiknya.

Justeru, tidak hairanlah, tidak banyak cerita yang dilaporkan mengenai pelakon yang dikenali dalam drama Wasiat, filem Sesuatu Yang Tertinggal, Songlap, Penunggu Istana dan Nur Kasih The Movie, sejak kebelakangan ini. Merajukkah Sara dengan bidang seni?

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

“Saya akui memang jarang keluar di akhbar dan majalah kerana saya sendiri ingin bataskan publisiti. Saya menolak untuk kerap buat sesi fotografi sebelum ini kerana tidak mahu orang berasa bosan kerana wajah sering muncul di akhbar.

“Kalau tiada cerita baru, lebih baiklah saya berdiam diri dan berehat di rumah.Bukan cara saya nak nama cepat naik dengan gosip liar yang tidak membina minda.

“Biarlah nama naik perlahan-lahan daripada naik mendadak kerana saya ingin orang kenal saya dengan bakat yang dipertaruhkan. Saya juga ingin berjaya dalam bidang seni seperti pelakon Shaheizy Sam, Maya Karin dan Lisa Surihani yang sudah membina nama yang kukuh di persada seni tanah air.

“Apa yang penting, saya perlu menjaga nama baik keluarga yang memberi kepercayaan dan merestui minat dalam bidang seni,” katanya.

Terus terang, kata pemilik nama sebenar Siti Sarah Hairi Ali ini, dia memang tidak suka dengan gosip liar dan kontroversi, sejak dulu lagi. Contohnya, saya pernah digosipkan bercinta dengan Shaheizy Sam ketika kami sama-sama berlakon dalam filem Songlap dulu.

“Gosip itu melucukan dan kami berdua sama-sama ketawa bila mendengarnya. Saya tidak menafikan kami memang berkawan rapat sesama rakan artis tapi bukanlah bercinta. Saya suka berkawan dengan Sam kerana kami sering bercakap mengenai filem dan bidang seni yang diceburi,” katanya.

Terbaru, Sara yang ingin bekerja dengan lebih ramai pengarah filem yang bagus seperti Dain Said dan Mamat Khalid berkata, dia sudah bersedia buat ‘comeback’ kerana tampil dengan imej barunya iaitu berambut pendek separas bahu yang diwarnakan perang sejak dua minggu lalu.

“Ramai sangat artis wanita kita yang berambut panjang ketika ini. Saya juga sudah simpan rambut panjang selama tiga tahun dan hujungnya pun sudah rosak.

“Saya harap pengarah akan tawarkan saya berlakon dengan imej baru berambut pendek pula. Malah, saya ingin beri sesuatu yang berbeza pada 2012 ini,” katanya.

Berkongsi filem barunya pula iaitu genre komedi seram, Jangan Pandang Pandang arahan Ahmad Idham bergandingan dengan Zizan Raja Lawak, kata Sara, ia juga pengalaman baru buatnya bekerja dengan produksi Excellent Pictures itu.

“Ia kali pertama saya bekerja dengan Ahmad Idham, Zizan mahupun Miera Liyana yang turut berlakon dalam filem ini. Saya bawa watak Yaya dalam filem komedi pengembaraan ini dan watak seperti Yaya memang pernah dilakonkan, cuma kali ini saya beri elemen humor untuk menghidupkan lagi karakternya.

“Apa yang menarik, kami jayakan penggambaran atas ‘rumah bot’ di lokasi Gua Bewah, Tasik Kenyir. Selain Zizan beri lakonan yang bagus, semua pelakon dan kru filem ini juga memberi kerjasama yang baik,” katanya mengenai filem yang mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula hari ini (29 Mac).

Ditanya adakah dia merajuk atau kecewa dengan bidang seni hingga menolak publisiti sebelum ini. Sara juga menafikannya.

“Siapa kata saya merajuk? Sebenarnya, saya menyepi seketika dalam bidang seni kerana sibuk cari peluang buat kerja belakang tabir. Maklumlah, sampai bila saya akan terus berlakon kerana artis muncul bagaikan cendawan tumbuh dan artis baru muncul setiap hari.

“Saya mula berkecimpung dalam bidang seni pada usia 20 tahun dan sekarang usia sudah mencecah 22 tahun. Sebagai artis, saya perlu bijak merancang masa depan kerana perlu buat persediaan bila usia meningkat nanti. Saya memang minat dengan bidang pengarahan dan impian saya untuk bergelar pengarah pada usia 29 tahun.

“Justeru itu, setiap kali tidak terbabit dengan penggambaran, saya mengisi masa mencari ilmu belakang tabir bidang pengarahan,” katanya yang baru selesai penggambaran telefilem Alamak 7 Hari Lagi untuk TV3 dan Senyuman di Kuala Lumpur untuk saluran Astro.


Sara belum ada kekasih

APABILA digandingkan dengan artis lelaki dalam drama dan filem, setiap kali namanya digosipkan dengan pasangan itu. Sebelum ini, Sara pernah digosipkan hangat bercinta dengan Shaheizy Sam yang berpasangan dalam filem Songlap.
Hakikatnya, Sam cuma rakan kerja dalam filem itu.

“Saya masih belum mempunyai teman istimewa kerana saya melihat usia masih muda dan perjalanan seni pun masih jauh lagi. Keluarga saya pun tak kisah saya tiada teman lelaki buat masa sekarang.

“Saya pula memang tak suka mencari kerana percaya kalau kita sudah berjumpa lelaki yang tepat, masa itulah kita tahu dialah orangnya,” katanya.

Kata Sara, dia juga tidak mempunyai ramai kawan di kalangan artis kerana mungkin kerana dia kurang bersosial seperti orang lain.

“Selepas habis penggambaran, selalunya saya akan pulang ke rumah untuk bersama keluarga. Saya juga lebih suka ‘melepak’ di rumah daripada menghabiskan masa di luar. Saya juga tiada pembantu peribadi atau pengurus kerana setakat ini saya lebih suka menguruskan karier seni sendiri.

“Tapi saya memang suka menonton wayang, kalau tidak terbabit dengan penggambaran. Saya tak kisah pun tengok wayang seorang diri. Saya suka menonton wayang yang memaparkan cerita mengenai kehidupan dan ragam manusia.

“Jika artis lain menghabiskan masa di kelab, saya pula menganggap zaman muda bersosial seperti itu sudah berlalu kerana saya sudah laluinya pada usia 16 dan 17 tahun lagi,” katanya.



Trivia Sara

  • Kali terakhir anda menonton wayang...Filem John Carter

  • Filem yang meninggalkan kesan dalam diri...The King Speech – Sangat suka dengan lakonan Colin Firth sebagai raja gagap

  • Aktor Hollywood yang ingin jumpa...Christian Bale

  • Pengarah filem kegemaran...Christopher Nolan

  • Haiwan yang paling geli nak disentuh...Ular

  • Benda yang paling ditakuti...Badut

  • Sifat lelaki yang paling dibenci...Tidak suka dengan lelaki yang perasan bagus.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: