SHANGHAI - Percutian Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg di sini mencetuskan spekulasi di Internet bahawa Facebook mungkin kembali ke China.
Beberapa penulis blog yang teruja memuat naik gambar pengasas Facebook dan teman wanitanya itu di sebuah kedai Apple dan di galeri seni di Shanghai kelmarin.
Mereka melahirkan harapan ia mungkin bermakna akses ke laman sosial popular itu kembali ke China sejak ia disekat pada tahun 2009.
"Adakah ini bermakna... Facebook bersedia untuk tidak disekat?" kata seorang pengguna mikroblog, Sina Kelisisong.
Facebook memiliki lebih 800 juta pengguna seluruh dunia dan ia mendahului rangkaian sosial di kebanyakan negara kecuali enam buah negara termasuk Rusia dan China.
Pada bulan lalu, pihak Facebook yang berpangkalan di California menyatakan ia 'menilai untuk memasuki China' yang merupakan pasaran Internet terbesar dunia.
Beberapa penganalisis berkata, peluang Facebook untuk memasuki semula pasaran di negara yang memiliki setengah bilion pengguna Internet tipis.
Bagaimanapun, pengguna Internet China meramalkan Zuckerberg, 27, mungkin mahu menembusi pasaran China semasa berada di sini.
"China sentiasa menjadi pusat perhatian (kepada firma teknologi asing)," kata seorang penulis blog, Qimeng Luosong.
"Mungkin esok, apabila kita bangun pagi, kita akan boleh membuka Facebook," tambahnya.
Beijing cuba untuk menyekat kandungan yang dipercayai sensitif melalui sistem penapisan yang dikenali sebagai 'Great Firewall of China'.
Para pengguna Internet hanya boleh mengakses laman-laman yang disekat menerusi rangkaian persendirian.
Sebelum ini, Zuckerberg berkata, dia menghabiskan banyak masa mempelajari bahasa Cina dan melawat negara itu pada Disember 2010 bersama kekasihnya, Priscilla Chan, ketika bertemu ketua ejen carian terbesar di negara ini, Baidu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: