Wednesday, March 28, 2012

Koperasi mikro perlu bergabung

BANYAK PILIHAN...Ismail memegang santan Coop 1Malaysia selepas merasmikan kedai berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
BANYAK PILIHAN...Ismail memegang santan Coop 1Malaysia selepas merasmikan kedai berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

KERAJAAN menggesa syarikat koperasi mikro di negara ini bergabung bagi memperkasakan lagi sektor koperasi di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengerusi koperasi mikro perlu lebih bersikap terbuka terhadap idea penggabungan itu terutama dalam usaha merealisasikan sasaran 10 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) menjelang 2020.


Beliau berkata, setakat ini 85 peratus daripada koperasi di seluruh negara adalah koperasi mikro yang mempunyai pendapatan purata tahunan kurang daripada RM250,000 berbanding hanya 124 koperasi yang mencatat perolehan perniagaan RM5 juta setahun.

“Pihak kerajaan sentiasa peka akan keperluan rakyat terutama melalui gerakan koperasi yang menjadi sektor ketiga penting dalam pembangunan negara dan disebabkan itu, kita menggalakkan juga lebih banyak penubuhan Kedai Coop 1Malaysia,” katanya pada majlis perasmian Wisma Moccis dan Coop 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Koperasi Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis), Datuk Yusra Sabar dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md Yusof Samsudin.


Sementara itu, Yusra berkata pihaknya menyasarkan penambahan ahli Moccis iaitu daripada 8,600 kepada 10,000 orang menjelang akhir tahun ini dan jumlah itu dijangka dicapai berikutan pembukaan Coop 1Malaysia serta pemberian dividen kepada ahli Moccis.Beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya turut menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pendapatan kepada RM10 juta di sokong dengan penambahan pelbagai produk jualan di Coop 1Malaysia dan kerjasama strategik dengan koperasi lain seperti Kofama, Kobanas, Kotani serta Sistem Pengurusan Komputer Koperasi (SPKK).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: