Ellie

Protect & Gamble (P&G) dengan kerjasama rakan niaga pasar raya Giant dan farmasi kesihatan, Guardian mengambil inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) melalui kempen The Gift of Learning.

Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie berkata, kempen itu disasarkan untuk mengumpul dana sehingga RM150,000 sepanjang tiga bulan perlaksanaan seluruh negara.

Menurutnya, dana itu disalurkan kepada lapan pusat jagaan kanak-kanak istimewa seluruh negara sebagai penyediaan terapi dan latihan percuma kepada mereka.

“Sokongan menakjubkan daripada rakyat Malaysia dalam membantu kanak-kanak istimewa menjadi dorongan dan komitmen P&G dalam memperjuangkan matlamat selama 12 tahun di bawah program CSR Open Minds.

“Melalui pembelian produk P&G terpilih di semua gedung Giant dan farmasi Guardian di seluruh negara, orang ramai secara tidak langsung menyumbang kepada kanak-kanak istimewa,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu di Giant, Kota Damansara.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kumpulan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ian Cruddas berkata, sebagai rakan kerjasama dalam kempen tersebut, mereka gembira kerana pertumbuhan rangkaian pasar raya di lokasi strategik memainkan peranan penting bagi pengumpulan dana dan prihatin terhadap komuniti setempat.

“Bersempena dengan pelancaran kempen ini, aktiviti hypermarket sweep diadakan di mana wakil setiap media diberi peruntukan RM500 untuk membeli belah dan produk pilihan mereka akan disumbangkan kepada pusat jagaan,” katanya.