MANTAP...(dari kiri) Mikha, Najua, Taiyuddin, Kamal dan Mustaqim pelakon teater muzikal Gerimis Mengudang.
USIANYA masih muda, tapi si manis 18 yang juga bintang sinetron remaja, Mikha Tambayong ini cukup dikenali sama ada di Indonesia mahupun di negara ini. Semuanya kerana lakonannya yang meletup dalam siri Nada Cinta yang turut disiarkan di saluran Astro Ria itu.
Bersandarkan populariti yang dimilikinya, tawaran berlakon juga mencurah buat pelakon tinggi lampai dan pemilik nama sebenar, Moudy Mikha Maria Tambayong yang dilahirkan tanggal 15 September 1994 ini.
Justeru tidak hairanlah, anak saudara penyanyi terkenal Indonesia, Harvey Malaiholo ini menjadi pilihan penerbit pementasan teater muzikal Gerimis Mengundang untuk memegang watak utama bergandingan heronya yang juga pelakon tanah air, Kamal Adli.
Secara peribadi, Mikha yang pernah memiliki dua album, Cinta Pertama dan Bekas Pacar juga menganggap peluang beraksi dalam teater arahan Ahmad Idham itu sebagai platform buatnya melebarkan sayapnya di negara ini.“Saya sangat teruja untuk beraksi dalam pementasan ini kerana ia buat julung kalinya saya beraksi dalam projek teater. Justeru, bila ditawarkan buat projek ini, saya terus berbincang dengan mama yang pastinya memberi sokongan padu.
“Sukar saya menolak tawaran produksi muzikal ini kerana saya memang minat buat muzikal yang membabitkan tiga elemen iaitu nyanyian, tarian dan lakonan,” katanya.
Mikha juga melihat peluang berlakon dalam muzikal itu untuk mencari tapak dalam bidang lakonan dan membina namanya di Malaysia.
“Saya sangat gembira dan terharu bila dapat tahu lakonan dalam Nada Cinta diterima ramai peminat di Malaysia. Justeru, saya juga berharap lakonan dalam teater muzikal ini juga akan diterima dengan baik peminat teater muzikal di sini.
“Kami berharap pementasan ini akan mengukuhkan lagi hubungan baik kedua-dua negara kerana saya berharap pementasan ini turut dipentaskan di Indonesia selepas ini,” katanya.
Mikha ditemui ketika berkunjung ke Balai Berita dan menjayakan sesi fotografi baru-baru ini. Selain Mikha dan Kamal, barisan pelakon lain yang hadir ialah Kamal Adli, Taiyuddin Bakar, Najua Nasir dan Mustaqim Mohamed Zaki. Tidak ketinggalan, penerbitnya, Den Wahab dan isteri, Nora Bustamam.
Ditanya sama ada dia mengenali Kamal sebagai pelakon, kata Mikha yang hangat digosipkan bercinta dengan Randy Pangalila mengakui pada mulanya dia memang tidak tahu Kamal pelakon yang dikenali di Malaysia.
“Saya juga tidak tahu Kamal pernah digosipkan dengan seorang lagi artis Indonesia, Olivia dan pada masa sama, saya baru dapat tahu dia sudah ada teman istimewa yang juga pelakon Malaysia, Intan Ladyana.
“Pada pandangan saya, Kamal seorang pelakon yang kacak dan berbakat tapi ia bukan bermaksud saya akan jatuh cinta padanya kerana kami bekerja secara profesional dalam pementasan ini,” katanya.
Berkongsi pengalamannya berlatih dengan Kamal, kata Mikha, sebagai pelakon yang cukup berpengalaman, aktor itu banyak membantunya menjiwai watak Cinta dengan baik.
“Pada mulanya saya berasa kekok juga untuk menjiwai babak romantik Cinta dan Zamani tapi Kamal banyak membantu kami mendapat keserasian seperti dikehendaki pengarahnya.
“Maklumlah, teater muzikal dan lakonan adalah dua cabang berbeza dan ia berlaku secara langsung di hadapan penonton berbanding lakonan dalam sinetron.
“Saya akui memang berdebar menanti reaksi daripada peminat di sini. Apapun, saya gunakan ilmu lakonan sedia ada untuk memberikan yang terbaik pada pementasan ini,” katanya.
Bagi Kamal pula, dia memang berminat untuk terbabit dalam pementasan Gerimis Mengundang kerana ingin menyahut cabaran di pentas teater.
“Saya ada asas dalam bidang tarian kerana pernah terbabit dalam Impak Maksima The Musical dulu. Justeru, saya percaya mampu menjayakan pementasan ini sebaik mungkin.
“Saya akui ia memang mencabar kerana saya perlu menyanyi dan menari dalam muzikal ini tapi selepas berlatih, semuanya berjaya dilakukan dengan baik.
“Saya akui nyanyian saya memang tidak sehebat penyanyi di luar sana kerana saya bukannya penyanyi tapi selepas berlatih, saya percaya dapat menyanyi dengan baik seperti dikehendaki Ahmad Idham,” katanya.
Ditanya pandangannya mengenai Mikha pula, kata Kamal, bila dapat tahu mereka bakal digandingkan dalam pementasan itu, dia terus menonton Nada Cinta.
“Alhamdulillah, menjelang hari pementasan, kami sudah dapat keserasian seperti dikehendaki pengarah. Mikha juga beri kerjasama yang bagus sepanjang sebulan kami berlatih.
“Bagaimanapun, babak Cinta dan Zamani bercinta sedikit sangat kerana kami baru nak bercinta tapi sudah ada konflik dalam hubungan itu,” katanya.
Berkongsi perasaannya ketika ini, kata Kamal, dia berasa sangat gementar dan harap semuanya berjalan lancar dan berjaya. Insya-Allah, apa yang penting sekarang ialah kekuatan cerita muzikal ini yang mampu menarik penonton. Dari segi cabaran pula, paling besar sudah pasti saya perlu menyanyi, menari dan berlakon dalam satu masa,” katanya.
Pementasan Gerimis Mengundang membabitkan kerjasama antara Erama Creative, Excellent Pictures Sdn Bhd dan Global Networks Sdn Bhd ini mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula semalam (27 Mac) hingga 8 April nanti.
Teater muzikal yang diinspirasikan daripada filem Gerimis Mengundang juga arahan Ahmad Idham ini dijangka menemui penonton �di pawagam pada pertengahan tahun ini. Ia adalah prekuel filem Gerimis Mengundang yang mana penghujung cerita dalam pementasan ini adalah permulaan bagi versi filemnya.
TRIVIA MIKHA
TRIVIA KAMAL
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: