TAHNIAH kepada pasukan polis kita yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-205. Ia satu kejayaan besar yang menunjukkan usaha pasukan polis membantu mempertahankan keselamatan dan keamanan negara.
Bagaimanapun, sesuai dengan perubahan zaman, tentulah juga cabaran yang dihadapi oleh anggota polis juga kian mencabar, khususnya apabila berlakunya peningkatan jumlah penduduk dan pola perlakuan jenayah.
Di sebalik sumbangan yang dilakukan itu, bagaimanapun, ada sesekali terdapat kritikan terhadap anggota polis ketika mereka menjalankan tugas. Ini khususnya apabila berlaku salah laku atau kesilapan tertentu dalam menjalankan tugas tersebut.
Walaupun ada sesetengah kritikan tersebut mungkin dapat diterima, tetapi bukanlah pula bermakna kritikan yang dilontarkan itu selalunya betul. Ada ketikanya, ahli masyarakat juga membuat pertimbangan berasaskan kepada hujah emosi lebih dibandingkan dengan pertimbangan rasional.
Dalam kalangan masyarakat awam, tentu tidak ramai yang pernah mendengar mengenai istilah 'personaliti polis'.
Autoriti
Personaliti ini hanya spesifik dengan pekerjaan polis dan tidak ada dalam pekerjaan lain. Personaliti polis ini penting untuk diketahui oleh ahli masyarakat bagi membolehkan kita bersifat lebih adil apabila menilai prestasi anggota polis.
Personaliti polis merujuk kepada autoriti (patuh kepada arahan) dan bahaya (berasa tidak selamat). Kepatuhan kepada arahan ini penting kerana peranan polis itu sendiri sebagai penegak undang-undang.
Keduanya, mereka juga sentiasa berhadapan dengan bahaya dan perasaan tidak selamat. Ia bukan hanya pada waktu kerja. Di luar waktu kerja pun mereka berasa tidak selamat.
Bagi memenuhi sifat kerja itu (penegak undang-undang dan hidup dalam bahaya), mereka sentiasa menjadi manusia yang curiga (suspicious). Kecurigaan ini bukanlah hal tidak baik. Anggota polis yang cekap perlu sentiasa menjadi manusia yang curiga.
Kalau semua orang dilihat sebagai orang baik, sukar untuk mereka menegakkan undang-undang. Curiga juga merujuk kepada situasi dan tempat. Sifat suspicious ini mungkin tidak diperlukan dalam pekerjaan lain.
Selain curiga, polis juga dikatakan lebih autokratik, tidak terbuka dan konservatif. Mereka tidak mudah menerima pandangan orang lain. Ia mungkin logik.
Kalau semua anggota polis bertingkah laku seperti pekerja khidmat sosial yang hanya tersenyum berhadapan dengan orang ramai, tidak ada orang yang akan takut pada mereka. Bahkan, perompak juga akan menyamun setiap minit di hadapan mata.
Terkait dengan sifat curiga itu ialah cues atau isyarat bagi mengenal pasti orang yang bersalah. Bahasa tubuh biasanya diguna pakai oleh banyak anggota polis di seluruh dunia.
Ia banyak diguna pakai dalam penyiasatan. Di Amerika, anggota polis mengenal pasti pesalah dadah dengan menggunakan kaedah ini di jalan raya.
Bahasa tubuh ini juga digunakan oleh orang awam dalam menilai manusia. Bagaimanapun, kita mungkin tidak begitu terlatih.
Bertindak
Sebab itulah, kita dapati ada anggota polis bertindak secara melampau dalam menghadapi situasi tertentu. Ini kerana adakalanya dalam hal-hal tertentu, ada peristiwa atau individu yang telah melengkapkan kecurigaan tadi.
Beberapa tahun dulu, seorang pelajar lelaki telah ditembak anggota polis pada waktu dinihari, walaupun pelajar tersebut kemudiannya didapati bukan seorang penjenayah.
Pelajar tadi mungkin tidak mengalami pengalaman ngeri seperti itu kalau dia melalui jalan tersebut di siang hari.
Melalui kawasan yang dikatakan berlakunya banyak jenayah pada waktu dinihari pula, akan melengkapkan rasa curiga tadi. Peristiwa itu juga mungkin tidak berlaku kalau dia menaiki motosikal dan bukan kereta.
Begitu juga dalam kes-kes lain, misalnya menangani demonstrasi orang awam. Adakalanya ada anggota polis yang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan ahli masyarakat. Ada kemungkinannya mereka terdorong oleh rasa curiga dan perasaan tidak selamat tadi. Semuanya bertitik-tolak daripada personaliti unik yang dibentuk sepanjang mereka menjadi anggota polis.
Sebagai kakitangan awam yang diberikan kuasa dan senjata, mereka perlu lebih berhati-hati. Salah tanggap dalam menilai bahasa tubuh, atau mentafsir petunjuk (cues) boleh menyebabkan kejadian tidak diingini.
Sebagai orang awam pula, kita juga perlu lebih adil walaupun ada hal yang mungkin kita tidak setuju kerana kecurigaan itu merujuk juga kepada situasi, masa dan tempat. Adakalanya, polis sebagai manusia biasa, mungkin juga tersalah mengambil tindakan.
Ada petunjuk-petunjuk tertentu mungkin melengkapkan penafsiran bahawa seseorang itu mungkin seorang penjenayah, walaupun mereka mungkin tidak langsung berniat untuk melakukan yang lebih daripada yang sepatutnya.
Kita semua, polis dan ahli masyarakat mesti saling bekerjasama dan memahami antara satu sama lain.
Selamat Hari Polis kita ucapkan kepada semua anggota polis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: