|
UCAPAN yang berdurasi tidak sampai tiga minit oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, didengari dengan penuh tekun oleh Ban Ki-moon. Apabila muncul poin-poin bernas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan mengangguk-angguk kepalanya. Terserlah wajah kekaguman apabila beliau memberi tepukan dan berdiri selepas Tiong Lai mengakhiri ucapannya.
Tumpuan dan karakter yang ditonjolkan oleh Ki-moon ketika lawatannya ke Institut Perubatan Respiratori (IPR), Jalan Pahang, Kuala Lumpur sempena Hari Tibi Sedunia menyimpulkan betapa beliau menghargai setiap pemimpin yang dikunjunginya.
Ki-moon yang berusia 68 tahun pada tahun ini tidak datang berseorangan. Sebaliknya, beliau ditemani isterinya, Ban Soon-taek yang tampil elegan dengan busana berwarna putih dan berskaf.
Ki-moon bersama delegasi PBB baru-baru ini mengadakan lawatan selama dua hari ke Malaysia. Itu adalah kunjungan sulung diplomat Korea Selatan itu ke Malaysia sejak menyandang jawatan dalam badan dunia itu pada 1 Januari 2007.
Gerak-geri dan personaliti Ki-moon yang merupakan rakyat Korea Selatan pertama menawarkan diri sebagai Setiausaha Agung PBB memang sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Seperti komentar yang pernah diterbitkan oleh Korea Herald, Ki-moon Setiausaha PBB kelapan menggantikan Kofi Annan disifatkan sebagai seorang yang sopan, lemah-lembut dan menghormati tali persahabatan.
Dalam satu wawancara dengan media asing, Ki-moon pernah berkata: “Kadang-kadang saya seperti seorang pemimpin yang lemah dan lembik. Anda mungkin melihat saya seorang yang lemah-lembut, tetapi saya memiliki kekuatan dalaman dan inilah selalunya orang Asia salah beri pandangan.”
Walaupun sebahagian daripada hidupnya ditumpahkan di negara asing, sifat santun ketimurannya ketika berada di negara ini sangat terserlah.
Beliau seorang yang sederhana. Senyuman tidak pernah lekang daripada bibirnya. Tidak diapit dengan secara keterlaluan oleh pengawal peribadi, membolehkan Ki-moon bebas mendekati sesiapa mengikut kemahuannya.
Pemimpin yang berpegang kepada prinsip bahawa kerja melebihi kepentingan peribadinya juga tidak terlalu rigid. Buktinya, semasa melawat dua pesakit tibi di IPR, beliau memilih untuk tidak menggunakan topeng udara.
Graduan Ijazah Pentadbiran Awam, Universiti Harvard itu juga mencuri tumpuan hadirin apabila mengucapkan ‘Selamat Pagi’ dan ‘Terima Kasih’ dalam bahasa Melayu serta kerap memuji usaha institut perubatan Malaysia.
“Saya puji kerajaan Malaysia kerana membantu pesakit tibi. Kerajaan anda juga memberi perkhidmatan dan rawatan percuma kepada mereka dan ini sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika berdiri dengan postur yang tegap semasa menyampaikan ucapan balas.
Karakter
Bagaimanapun, imej lemah-lembut Ki-moon itu dikatakan melambangkan kegoyahan dirinya yang menjawat jawatan sebagai setiausaha agung dalam pertubuhan yang paling elit dan berkuasa di dunia itu. Pembawaan karakter itu juga disifatkan memudahkan beliau senang ‘dibuli’ oleh Amerika Syarikat (AS).
Ada pendapat menyatakan, tingkah laku Ki-moon sama seperti mantan setiausaha agung yang lain seperti Kofi Annan, Boutros Boutros Ghali dan U Thant.
Selain memerlukan seseorang yang memiliki ciri-ciri sebegitu, Majlis Keselamatan PBB yang berkuasa membuat pelantikan juga memerlukan seseorang yang tidak begitu popular, tidak lantang bersuara, pasif atau dalam erti kata lain, tidak radikal.
Bagaimanapun, peranan yang dimainkan oleh seorang setiausaha agung bukan calang-calang.
Menggalas jawatan paling elit dalam badan dunia itu, setiap pemimpin harus memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa, mentadbir operasi keamanan dan mengatur persidangan antarabangsa.
Di sebalik kemegahan posisi elit itu, seorang Setiausaha Agung PBB juga perlu bersiap siaga dengan ancaman keselamatan. Mereka juga tidak lari daripada berterusan dikecam oleh ahli anggota yang lain.
“Tugas itu bukan mudah,” kata Ki-moon kepada AP.
Memang benar seperti yang diungkapkannya. Setahun selepas dilantik, Ki-moon sudah tidak disenangi. Ketika mengambil bahagian dalam sidang media di Baghdad pada 22 Mac 2007, satu serangan mortar mengenai tempat yang berhampiran dengan kedudukan Ki-moon yang ketika itu sedang berdiri.
Insiden itu sememangnya menakutkannya. Bagaimana pun, beliau tidak serik apabila bersetuju untuk menjawat jawatan itu sekali lagi untuk penggal kedua yang berakhir pada 2016.
Telunjuk AS
PBB yang merupakan entiti yang signifikan untuk mendamaikan dunia dikatakan sudah tergelincir daripada landasannya. Dunia berpendapat, PBB tidak dapat menjalankan tugas itu jika sesuatu isu yang timbul melibatkan kepentingan AS dan sekutu kuatnya Israel.
Senario itu sangat bersangkut-paut dengan peranan seorang Setiausaha Agung PBB yang juga bertindak sebagai Ketua Sekretariat dalam badan eksekutif PBB.
Selaku orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian diplomatik, mereka dianggap lemah dan acapkali mengikut telunjuk AS.
Hak veto yang dipunyai oleh AS dan sikap berdiam diri negara kuasa veto yang lain menyebabkan segala resolusi yang diputuskan lebur begitu sahaja. Hal itu sekali gus memperlihatkan badan dunia itu sudah tidak berbisa lagi.
Pentadbiran Annan dan Ki-moon menyaksikan kedua-duanya berada dalam dunia selepas era perang dingin yang sebelum ini dunia terbahagi antara blok Barat dan komunis.
Bagaimanapun dengan keruntuhan Soviet Union, AS telah menjadi kuasa tunggal yang kini masih berdiri dan mencorakkan globalisasi.
Biarpun PBB telah wujud sejak 1946, banyak masalah dan konflik lama masih berterusan dan kini diwariskan kepada Setiausaha-Setiausaha Agung itu.
Yang paling ketara pastinya masalah seperti kemiskinan di benua Afrika, konflik di Palestin-Israel dan hubungan tegang antara India dan Pakistan termasuk masalah demokrasi di Myanmar.
Terkini, cabaran Ki-moon lebih besar apabila berlaku gelombang revolusi negara-negara Asia Barat yang berterusan hingga kini.
Tidak kira sama ada Annan atau Ki-moon, kedua-duanya dikatakan begitu lemah sekali membuat reaksi yang lebih tegas. Jadi, tidak hairanlah mereka sentiasa diselar dan dilabelkan sebagai boneka AS.
Sebagai rakyat Asia yang kaya dengan adab dan ketimuran, pendirian Ki-moon tentang golongan homeseksual baru-baru ini sangat mengecewakan masyarakat antarabangsa terutama orang Asia.
Beliau antara lain mengeluarkan kenyataan supaya pemerintah di rantau Afrika menghormati hak golongan itu.
Ya, memang benar impian Ki-moon untuk bergelar seorang diplomat selepas beliau berjumpa dengan mantan Presiden AS, John F. Kennedy di Rumah Putih pada 40 tahun yang lalu sudah menjadi kenyataan. Namun, beliau harus memikirkan semula formasi dirinya termasuk prinsipnya sebagai pemimpin.
Janjinya untuk melaksanakan perubahan dan memperbaiki imej PBB bagaikan hangat-hangat tahi ayam.
Bagaimana Ki-moon mahu generasi muda membesar dengan imej PBB jika beliau sendiri tidak berubah?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: