PENULIS bertolak dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) seawal 8 pagi. Hati berbaur antara takut dan teruja , antara kebimbangan dan keseronokan. Inilah kali pertama penulis dan teman menaiki Berjaya Air Malaysia.
Keadaan cuaca di Tioman yang hujan menyebabkan penerbangan terpaksa ditunda.
Itulah sebahagian kegelisahan yang terpaksa dilalui kami sebelum sampai ke Tioman, bahkan waktu menunggu mungkin lebih lama jika hujan tidak berhenti.
Namun dengan segala keindahan yang menanti, destinasi percutian di negeri Pahang itu tetap berbaloi untuk dikunjungi.
Pulau Tioman yang terletak di Pahang merupakan antara 10 buah pulau tercantik di dunia.
Ramai pelancong tertarik dengan pantainya yang putih bersih dan kejernihan air bak kristal.
Jika pelancong lain memilih destinasi untuk melihat keindahan dasar laut, penulis pula menyertai kumpulan sukarelawan membersihkan pantai Tioman anjuran Berjaya Hotels & Resorts.
Perjalanan dari lapangan terbang Tekek, Tioman hanya memakan masa 15 minit ke penginapan Berjaya Tioman Beach Golf & Spa Resort.
Keindahan hutanSetelah selesai makan dan pendaftaran bilik, kami tidak melepaskan peluang untuk menghayati keindahan hutan yang terletak berhadapan dengan resort.
Melewati hutan yang masih terjaga keindahannya memberikan pengalaman istimewa.
Hutan hijau di tengah-tengah kepulauan ini menyimpan khazanah hutan yang cantik seperti air terjun tanpa sedikit pencemaran.
Mungkin penggemar sukan menyelam skuba tidak pernah hampa kerana keindahan dasar laut Tioman tetapi bagi pencinta alam sekitar, meneroka hutannya juga memberi kepuasan.
Setelah agak lama tidak melakukan jungle tracking kaki memang terasa agak lenguh. Mujurlah ada kawan-kawan yang memberi semangat. Keadaan jalan yang berbukit membuatkan badan terasa keletihan.
Membersihkan pantaiKeesokan harinya, kumpulan sukarelawan termasuk 60 penyelam, 50 murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Tekek, Tioman memulakan tugas membersihkan pantai.
Tepat waktu dijanjikan, aktiviti kami bermula.
Nampak mudah tetapi perjalanan merentasi pantai yang panjang agak menyukarkan pergerakan.
Sekali-sekali hembusan angin laut menyamankan.
Walaupun hujan mulai turun, namun kesungguhan kanak-kanak ini membakar semangat sukarelawan lain.
Murid-murid sekolah yang ditemui semuanya peramah, justeru mudah bagi kami mendapatkan kerjasama. Senyuman dan keramahan mereka adalah penawar untuk segala kepenatan pada hari tersebut.
Dasar lautTidak lengkap jika anda melancong ke Pulau Tioman dengar sekadar duduk menghabiskan masa di darat.
Untuk menikmati keindahan dasar lautnya, pengunjung perlu menyelam skuba atau pada yang mahu 'ringan-ringan', cukup sekadar snorkeling.
Peralatan boleh disewa dari banyak hotel, calet atau pengusaha aktiviti rekreasi persendirian di pulau tersebut.
Tidak perlu bimbang jika anda bukan seorang yang mahir kerana mereka mempunyai tenaga terlatih untuk memberi panduan selok-belok asas kedua-dua aktiviti rekreasi laut itu.
Buah tanganSebelum memulakan perjalanan balik ke Kuala Lumpur pada hari ketiga di Tioman, kami mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti penduduk kampung di sepanjang laluan ke lapangan terbang.
Kebanyakannya masih lagi mencari rezeki sebagai nelayan dan pengusaha chalet.
Melalui deretan kedai ke Kampung Tekek, kami tidak melepaskan peluang membeli cenderamata di kedai bebas cukai sebagai buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan yang tidak mengikuti percutian ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: