Pelakon jelita, Hanez Suraya,

Semakin hari industri lakonan negara diwarnai kedatangan bakat baru yang tumbuh bagaikan cendawan.

Perkembangan positif ini dapat memeriahkan industri hiburan tanah air, namun tidak dinafikan pertambahan pendatang baru juga memberi saingan kepada pelakon lain.

Pelakon jelita, Hanez Suraya, yang mula berlakon sejak 2003 mengakui kewujudan pendatang baru memberi persaingan buatnya.

Bagaimanapun, pelakon jelita ini tidak mudah berputus asa malah menganggap persaingan perkara positif.

“Saya akui dan tidak menafikan persaingan yang wujud dalam industri ini. Bagaimanapun, saya tidak pernah mengalah dan sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi seorang pelakon yang memiliki personaliti tersendiri.

“Bakat dan kualiti lakonan penting kerana dari situlah kita dinilai seterusnya diterima penerbit, pengarah dan penonton,” katanya.

Wanita tinggi lampai ini juga mengatakan rupa paras kini tidak lagi menjamin seseorang pelakon untuk terus bertahan dalam industri.

Apabila ditanya popularitinya yang kurang menyerlah, pelakon berkulit gebu ini menjawab dia percaya satu hari nanti bakatnya pasti diterima dan diingati penonton.


Seksi tarik perhatian

Menyentuh mengenai penampilan seksi di awal kemunculannya, Hanez menafikan imejnya sebelum ini bertujuan menarik perhatian untuk lebih dikenali.

“Saya tidak pernah terfikir menonjolkan diri dengan imej itu. Saya akui ketika itu mungkin saya masih muda dan terlalu mahu mengikut peredaran zaman.

“Keadaan itu berubah kerana kini saya semakin matang dan mahu menjaga imej supaya tidak mengganggu karier sebagai pelakon,” jelasnya.

Kerap diberi watak perempuan ‘gedik’ dan jahat dapat membantu dirinya lebih dikenali.

“Sebelum ini saya banyak diberi watak jahat seperti dalam lakonan dalam drama Bunga April yang memberi kesan kepada peminat terus mengingati saya.

“Kalau diberi peluang, saya mahu cuba watak lain yang menguji kemampuan saya,” katanya.


Syukur rezeki ada

Walaupun tidak begitu menyerlah dalam bidang lakonan, Hanez bersyukur rezeki dalam lakonan.

“Setakat ini tawaran saya terima tidak pernah putus.

“Saya mahu berikan yang terbaik memandangkan ada pihak hargai bakat dan kebolehan saya,” katanya.