Friday, March 30, 2012

Anggap Tidak Adil, Malique Selar Pihak Haramkan 'Bawaku Pergi'

image

Malique (Too Phat)

PETALING JAYA: Penulis lagu Bawaku Pergi iaitu Malique menganggap tindakan mengharamkan lagu itu sebagai keputusan yang tidak adil serta menidakkan kebebasannya untuk bersuara.

Malique berkata, lirik lagu itu tiada kena mengena untuk mengajak remaja lari daripada rumah sebaliknya ia mengenai imaginasi dirinya untuk bercuti bersama isteri, Melissa Maureen Rizal ke Bali, Indonesia.

“Tanpa ruang untuk saya membela diri, tindakan (mengharamkan lagu) itu adalah tidak adil yang dilakukan oleh pihak tertentu yang berkepentingan politik,” katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Warner Music di sini, petang Jumaat.

Pada Khamis akhbar Utusan Malaysia melaporkan rungutan Presiden Majlis Pemuafakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan yang meminta lagu tersebut diharamkan kerana membawa unsur negatif serta boleh mendorong remaja lari dari rumah.

Lagu nyanyian Zizan Razak dan Kaka itu diterbitkan oleh syarikat rakaman Warner Music dan telah dipasarkan pada Februari lalu.

Berikutan rungutan itu, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menentukan sama ada lagu tersebut wajar diharamkan ataupun sebaliknya.

Malique berkata pihak berkenaan gagal mentafsir bait lagu tersebut iaitu menceritakan keinginan penulisnya yang mengidam untuk pergi ke Indo-China melalui jalan darat iaitu “pergi lebih lama, pergi lebih jauh”.

“Saya tiada masa untuk meletakkan diri saya dalam fikiran seorang remaja kerana zaman itu telah lama saya tinggalkan. Saya menulis sebagai seorang dewasa dan jika pihak yang kurang matang yang mendengar lagu saya bertindak bodoh, itu bukan hal saya.

“Saya gemar mengembara, dunia ini ada 196 negara dan sempadan dunia saya tidak berakhir di Siam,” katanya.

Tambahnya lagu Bawaku Pergi itu adalah lagu nyanyian Ella bersama Malique tetapi telah ditukar kepada Kaka dan Zizan atas permintaan pelawak itu sendiri. Ia tiada niat lain seperti mana yang dibangkitkan.

Katanya lagi, bukan semua perkara dalam dunia ini mempunyai niat yang tidak baik dan tindakan mengharamkan lagu tersebut seumpama bertujuan menutup periuk nasinya.

“Yang patut diharamkan ialah orang yang mengusul perkara ini,” katanya.

1 comment:

  1. Kau tu yg bodo malek, jgn bilang papa jgn bilang mama tu apa kejadahnya. Bercuti jgn bagitau org la ye? Dah sah sah lirik ajak anak dara org lari pi indonesia. Puihh

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: