KOTA BHARU 28 Mac - Majlis Konvokesyen Jubli Perak Ke-25 Politeknik Kota Bharu (PKB) semalam, memberi seribu makna buat seorang ibu tunggal Maimunah Sulaiman, 64, apabila anak lelakinya Muhamad Zulkarnain Muhamad, 21, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah.
Kehilangan dua anggota keluarga tersayang, iaitu adik bongsu ketika berusia sembilan tahun dan arwah ayahnya empat tahun lalu, ternyata bukan halangan buat Muhamad Zulkarnain mencipta kejayaan dalam pelajaran.
Kejayaan Zulkarnian menamatkan pengajian Sijil Elektrik dan Elektronik dengan gred purata terkumpul (CGPA) 3.79 bukan sahaja ditangisi oleh ibu dan abangnya, malah seluruh graduan terpaku apabila menonton tayangan video menceritakan faktor kejayaan pelajar tersebut.
Bagi Zulkarnain, anugerah tertinggi pada konvokesyen tersebut mahu dihadiahkan kepada ibu tersayang dan ahli keluarga lain yang telah banyak memberikan sokongan.
"Walaupun dua kali diuji dengan kesedihan, namun sokongan daripada keluarga menguatkan lagi semangat saya untuk mengubah nasib keluarga yang sebelum ini hidup dalam kemiskinan," katanya yang merupakan anak kesembilan daripada 10 adik-beradik.
Zulkarnain berkata, ibunya sering berpesan agar terus belajar bersungguh-sungguh dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup.
"Saya akan melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Mekatronik di sini (politeknik) dan mengharap dapat mencapai cita-cita sebagai jurutera apabila tamat belajar nanti," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah terbabit, Wan Aqilah Wan Ahmad Husaini, 21, berkata, resipi kejayaannya adalah sentiasa fokus dan mengulangkaji pelajaran.
"Alhamdulillah berkat usaha dan doa, saya berjaya dalam pelajaran dan mendapat anugerah ini, sesungguhnya inilah hadiah istimewa buat ibu dan bapa saya.
"Sekarang saya menyambung pelajaran di Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dalam Ijazah Komunikasi Wayarles dan insya-Allah saya akan terus berusaha mencapai kejayaan," jelasnya.
Anugerah disampaikan oleh Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Datuk Zulkifli Ab. Rahman. Turut hadir Pengarah PKB, Noor Azhan Othman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: