PETALING JAYA: Pelakon Azhan Rani bersyukur diberikan banyak watak jahat kerana perkara itu membuatkan dirinya lebih dikenali.
Azhan mengakui, sejak berkecimpung dalam dunia lakonan pada tahun 2006, dia kurang didedahkan kepada publisiti media tetapi gembira setiap kerja lakonannya berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.
"Alhamdullilah, selama lima tahun bergelar pelakon, saya tak pernah mengharapkan publisiti.
"Apa yang saya lakukan hanya berlakon sebanyak yang mungkin dan diakui saya mula dikenali kerana watak-watak jahat yang saya lakonkan," katanya.
Tambah Azhan dia tidak kisah jika tidak ramai pihak media yang memberikan publisiti kerana dengan cara itu lebih mudah untuknya melihat sejauh manakah tarikan lakonannya terhadap penonton.
Dalam pada itu, menceritakan mengenai kekerapannya yang membawa watak jahat termasuklah drama Amukan Pocong yang sedang disiarkan di TV3, adakalanya dia tidak faham dengan pilihan penerbit yang sering menawarkannya watak antagonis.
"Saya percaya, pastinya ada yang bosan dengan lakonan saya yang jahat itu. Tetapi, mahu atau tidak, kerjaya lakonan adalah punca rezeki saya dan apabila ditawarkan sesebuah watak, saya perlu menerimanya sebagai pendapatan tetap.
"Bagaimanapun, saya gembira kerana keterbukaan stesen televisyen pada masa kini memberikan peluang kepada saya untuk meneroka watak-watak lain, kalau tidak, asalkan watak jahat sahaja, mesti muka saya," selorohnya.
Mengenai perkembangan terbaru, Azhan akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat ini bagi filem terbitan KL Zombie, terbitan Grand Brilliance dan Cinta Dalam Hati (RTM).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: