Zarina-Anjouli

Siapa tidak mengenali ratu kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah. Apa sahaja kisah yang berkisar mengenai dirinya, pasti menjadi bualan.

Terkenal dengan sikapnya yang lantang bersuara, Zarina pernah mencetuskan kontroversi ekoran gambar seksi di majalah Indonesia pada tahun lalu.

Seakan tidak serik dengan kontroversi yang ada, Zarina sekali lagi mencipta kontroversi baru apabila gambar mesranya bersama penyanyi, Aliff Aziz, dijadikan bahan tohmahan masyarakat.

Namun, sebagai manusia biasa, Zarina tidak pernah menjadikan cerita yang kurang enak itu sebagai halangan dan menganggap itu semua adalah lumrah sebagai selebriti.

Ingin tampil secara terbuka dan mendedahkan perkara sebenar kepada masyarakat mengenai kontroversi demi kontroversi yang melandanya sebelum ini, Zarina menerima tawaran daripada pihak televisyen swasta, NTV7, bagi merungkai kisah peribadinya menerusi rancangan terbaru, Bilik 7.

Jelas Zarina, Bilik 7 adalah platform paling sesuai yang mampu membersihkan namanya yang pernah menjadi tohmahan segelintir pihak.

“Saya memang menunggu saat memberi pendedahan mengenai perkara itu. Ia bukan membuka pekung setiap artis, tetapi di sini kita bakal lihat keikhlasan selebriti yang sanggup mengakui kesilapan secara rela.

"Saya tidak kisah apa orang kata mengenai diri saya. Saya tidak pernah berniat jual tubuh kerana ia adalah sebahagian daripada kerjaya saya.

“Bezanya, semasa fotografi di Indonesia, saya dibayar sedangkan di sini saya tidak menerima apa-apa bayaran. Lebih baik saya menerima bayaran daripada tidak dapat apa-apa langsung,” katanya yang turut menerima bayaran besar dari pihak NTV7 untuk rancangan soal siasat itu.

Kata Zarina, secara tidak langsung, Bilik 7 memberi ruang kepada artis yang dilanda kontroversi hebat untuk membela diri dan masyarakat boleh mendengar sendiri kenyataan daripada mulut artis itu sendiri.

Dikendalikan hos terkenal, Richie Rachman, Bilik 7, bakal bersiaran setiap Khamis, jam 9 malam, mulai 5 April ini,

Rancangan 13 episod ini juga menampilkan barisan selebriti terkenal dengan segala jenis kontroversi seperti Azwan Ali, Pian Cecupak, Radhi OAG, Raja Azmi Raja Sulaiman, Lisdawati, Mawi. Melia Aimelia, Natasha Hudson, Ayu Damit, Johan Asari dan Gambit Saifullah.


Tunda kahwin, bakal bermadu

Baru-baru ini, berita mengenai Zarina yang bakal menamatkan zaman bujangnya turut mendapat perhatian masyarakat.

Namun, ketika tampil di sidang media Bilik 7, di Sri Pentas Bandar Utama, Zarina memberitahu bahawa hasratnya melangsungkan perkahwinan bulan ini terpaksa ditunda.

“Memang saya ingin segera kahwin, tapi banyak perkara yang tidak dapat dielakkan. Jadi, kami sepakat menundakan tarikh tersebut.

“Jadi, tarikh yang jelas masih belum diperoleh sehingga kami sama-sama berbincang menetapkan tarikh sesuai. Saya berharap, perkara ini tidak perlu dikontroversikan kerana memang kami akan berkahwin tidak lama lagi.

“Saya berharap, perkahwinan ini sedikit sebanyak dapat mengelakkan daripada timbulnya cerita lain yang kurang enak lagi. Jangan kaitkan saya dengan mana-mana lelaki lagi selepas ini,” katanya yang mengakui bakal bermadu.

Enggan mendedahkan gerangan bakal suaminya, Zarina berkata, lebih baik sekiranya orang ramai tidak mengetahui siapa yang bakal menjadi suami nanti untuk me­ngelakkan sebarang masalah.

“Biarlah ia menjadi satu rahsia buat masa sekarang kerana saya ingin mengelakkan lebih banyak kontroversi lain,” katanya.