Thursday, March 29, 2012

Beijing lokasi pilihan



SELAMA 27 tahun terbabit dalam industri penerbitan filem dan drama tempatan, Skop Production yang dimiliki penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, buat pertama kalinya menjalani penggambaran beberapa produksi terbitannya selama enam hari di luar negara iaitu di Beijing, China pada pertengahan Mac lalu.

Antara tempat bersejarah yang menjadi lokasi penggambaran termasuklah Tembok Besar China, Kota Larangan, Istana Musim Panas dan juga Dataran Tiananmen.

Tujuan asal Yusuf ke situ adalah untuk bercuti bersama keluarga dan sebagai tanda penghargaan buat para pelakon drama Gerak Khas yang masih diminati meskipun telah diterbitkan selama 13 tahun serta meraikan pihak media yang sentiasa memberikan sokongan terhadap karya terbitan syarikatnya.

Bagaimanapun, tidak mahu membazirkan peluang dan pemandangan indah di Beijing, Yusof menggunakan peluang yang ada untuk melakukan penggambaran telemovie berjudul Asmara Beijing, beberapa adegan untuk drama siri Metro Skuad dan juga dua buah muzik video penyanyi terkenal Anuar Zain untuk lagu tema filem terbaharu terbitan Skop Production yang berjudul S.A.M.

“Sebenarnya tujuan asal memang ingin bercuti tetapi alang-alang sudah sampai ke Beijing, fikiran saya sebagai seorang penerbit sudah tentu tidak mahu membazirkan peluang yang ada kerana beberapa orang pelakon turut serta dalam percutian ini.

“Saya sudah banyak kali ke luar negara tetapi ini kali pertama menjejakkan kaki ke Beijing. Pemandangannya cantik, jadi rugi kalau tidak melakukan penggambaran,” ujarnya yang sudah lama merancang percutian di Beijing itu.

Justeru, adakah dengan melakukan penggambaran di luar negara menjamin sesebuah produksi itu meraih rating yang tinggi?

Tegas Yusof: “Lokasi penggambaran bukanlah penentu kejayaan sesebuah drama atau filem kerana apa yang paling utama adalah jalan cerita dan keberkesanan lakonan para pelakon.

“Namun, lokasi menarik juga antara faktor daya tarikan buat penonton untuk menonton sesebuah drama kerana ia lebih kelihatan eksklusif, berbeza dengan pemandangan sedia ada di Malaysia, tetapi yang utama tetap jalan cerita dan pelakon,” balasnya.

Jika melakukan penggambaran di negara sendiri juga menghadapi pelbagai masalah, apatah lagi di luar negara seperti di Beijing dengan suhu sejuk mencapai sehingga -2 darjah celcius.

“Cabaran utama adalah kos penerbitan yang tinggi kerana kita harus membayar tiket kapal terbang dan menanggung segala perbelanjaan ketika penggambaran berlangsung di luar negara tetapi saya bertuah kerana tenaga kerja yang datang ke Beijing adalah untuk bercuti sambil bekerja.


SERIUS. Yusof Haslam (dua dari kiri) sedang berbincang bersama karyawan beberapa produksi syarikat filem dan dramanya yang menjalani penggambaran di Beijing termasuk Norman Hakim (tengah).


“Kalau mahu melakukan penggambaran semata-mata di luar negara tanpa ada tujuan yang lain memang agak rugi. Kemudian kita menghadapi masalah untuk mencari lokasi penggambaran yang sesuai.

“Beijing bukannya Kuala Lumpur, saya dan kru penggambaran juga tidak biasa dengan lokasi serta suasana di negara orang, memang agak mencabar untuk mencari lokasi yang sesuai.

“Masa juga amat terhad kerana dalam masa enam hari, kita ada penggambaran telemovie, drama dan juga dua muzik video. Jadi, saya kena menggunakan sebaiknya semua peluang dan ruang yang ada,” jelasnya.

Akui Yusof lagi, sebenarnya dia sudah lama menyimpan hasrat untuk ke negara China dan berasa amat bertuah kerana ketika berkunjung ke Beijing buat pertama kali dalam hidupnya, dia berpeluang melihat salji.

“Saya dan keluarga selalu juga melancong ke Eropah tetapi tidak pernah pula jumpa salji. Kebetulan datang ke Beijing ada pula salji walaupun hanya turun sehari.

“Kalau ikut kata orang di sini (China), hujan sudah tidak turun selama tiga bulan, elok-elok kami datang hujan turun, keesokan harinya salji pula turun walaupun hakikat sebenarnya sudah mahu masuk ke musim bunga. Justeru, kami semua memang amat bertuah,” ucapnya yang merancang untuk melakukan penggambaran beberapa buah drama di Perth, Australia pada bulan Oktober tahun ini.

Memey, Norman kembali ke Beijing

Aktres jelita, Memey Suhaiza Suhaimi yang turut ke Beijing bersama suaminya, aktor Norman Hakim mengakui melalui pengalaman berbeza ketika bercuti sambil bekerja di Beijing.

Membawakan watak sebagai Lily dalam telemovie Asmara Beijing yang diterajui Salina Saibi, Norman Hakim dan Syamsul Yusof itu, Memey bagaimanapun tidak mahu melepaskan peluang apabila tawaran diberikan oleh Skop Production.

“Bukan semua babak dilakukan di Beijing, hanya 30 hingga 40 peratus sahaja, selebihnya dilakukan di Kuala Lumpur. Pengalaman memang menarik sebab budaya, cuaca dan suasananya amat berbeza dengan negara kita.

“Sebelum ini saya pernah melakukan penggambaran di luar negara juga iaitu di Indonesia tetapi cara hidup serta suasananya lebih kurang sama sahaja dengan Malaysia, tidak seperti di Beijing ini,” katanya.


GELAGAT lucu (dari kiri), Norman, Zambri, Deen dan A. Galak yang berpelukan kerana kesejukan di Beijing.


Memey, 23, memberitahu, cabaran utamanya adalah cuaca yang sangat sejuk sehingga menyukarkan dirinya dan pelakon yang lain untuk berlakon sambil menahan sejuk.

Perkara itu turut diakui oleh Norman yang memegang watak Imran dalam telemovie tersebut. Katanya, sebagai pelakon dia mempunyai tanggungjawab untuk memberi lakonan yang terbaik. Namun, pergerakan serta reaksi wajah mereka agak terbatas kerana cuaca.

“Saya kena berlakon dan memberi pelbagai reaksi wajah mengikut kehendak pengarah tetapi pada masa yang sama saya sebenarnya dalam kesejukan.

“Penonton mungkin nampak saya berjalan seperti biasa tetapi mereka tidak tahu betapa sejuknya cuaca di sana terutamanya penggambaran yang dilakukan pada waktu malam,” ujar bapa kepada tiga orang anak itu lagi.

Tertarik dengan pemandangan indah di Beijing, Norman bercadang untuk membawa seluruh keluarganya termasuk tiga orang anaknya ke Beijing pada musim bunga tahun hadapan.

“Saya dan isteri pun tidak pernah lihat salji, jadi apabila dapat main salji di Beijing, lantas terbayang alangkah seronoknya kalau dapat bawa anak-anak sekali.

“Apabila kami pulang ke Malaysia, mereka lihat gambar kami di Beijing, mereka pun seronok. Jadi, saya ingat saya ingin kembali ke Beijing bersama keluarga saya pada musim bunga, cuacanya tidak berapa sejuk dan pemandangannya lebih cantik,” luahnya.

Salina Saibi tinggalkan anak

Aktres yang pernah merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bohsia pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM 22), Salina Saibi yang juga dikenali dengan watak polis menerusi drama Gerak Khas dan Metro Skuad turut menyertai rombongan Skop Production bercuti sambil bekerja di Beijing itu.


KEGEMBIRAAN jelas terbayang pada wajah pelakon dan wakil media yang pertama kali melihat salji turun ketika mengunjungi Tembok Besar China.


Bagaimanapun, antara barisan pelakon yang hadir, Salina, 30, merupakan pelakon paling sibuk bekerja kerana dia harus melakukan penggambaran telemovie Asmara Beijing dan Metro Skuad secara serentak.

“Memang agak penat tetapi seronok sebab dapat tengok negara orang dan suasana baharu. Sama seperti orang lain, cuaca sejuk memang cabaran utama sebab kita rakyat Malaysia tidak biasa dengan cuaca empat musim.

“Ketika mahu melontarkan dialog rasa susah sebab mulut menggigil kesejukan, tangan kebas dan rasa cepat lapar,” cerita Salina yang tidak dapat lupakan pemandangan indah di Tembok Besar China.

Kata Salina, disebabkan penggambaran itu adalah di Beijing, maka buat pertama kalinya, dia berjauhan dengan anak tunggalnya Farah Syakira yang berusia tiga tahun.

“Agak sedih sebab sejak anak saya lahir, saya tidak pernah berpisah dengannya, setiap hari dia akan tidur dengan saya. Jadi bila berjauhan rasa sangat rindu, tambahan dia masih menyusu badan dengan saya,” katanya yang memegang watak Dira dalam telemovie Asmara Beijing.

Selain Memey, Norman Hakim dan Salina Saibi, pelakon lain yang turut serta dalam rombongan ke Beijing adalah barisan pelakon drama Gerak Khas seperti A. Galak, Zambri Ibrahim dan juga Deen Maidin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: