Wednesday, March 14, 2012

Rumah 4 musim gamit pengunjung


RUANG laluan pengunjung disediakan untuk memberi peluang kepada mereka menikmari pemandangan dan merakam foto.


DAHULU, ia dikenali sebagai Bukit Cerakah sebelum namanya ditukar kepada Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam pada tahun 1991.

Tahun lalu, namanya diubah lagi menjadi Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) bagi tujuan penjenamaan dan memberi imej lebih segar.

Tidak kira apa juga namanya, sesuatu yang pasti terlintas di fikiran apabila menyebut tentang pusat rekreasi pertanian itu adalah Rumah Iklim Sederhana Empat Musim (RISEM).

Rumah ‘ajaib’ tersebut sebenarnya telah dibuka sejak lebih 20 tahun lalu ketika taman botani berkonsepkan perhutanan itu dilancar sekitar tahun 1986.

Namun, disebabkan kekurangan promosi dan pendedahan, kehadiran RISEM dilihat semakin tenggelam dan ramai yang menganggap rumah tersebut sudah menghentikan operasinya.

Justeru, menerusi inisiatif penjenamaan yang dilaksanakan oleh TBNSA, rumah berkenaan bakal diberi nafas baru untuk menawarkan pengunjung pengalaman lebih menarik dan seronok.

Sebuah syarikat kontraktor, AF Mutiara Holdings (M) Sdn. Bhd. juga telah dilantik untuk menyelenggara dan menambah baik RISEM bermula April tahun lalu.

Secara asasnya, RISEM menawarkan persekitaran iklim menyerupai negara-negara sekitar Eropah seperti musim panas, musim bunga, musim luruh dan musim sejuk.

Ketika ini sehingga Mei ini, pengunjung RISEM bakal menikmati pengalaman berada dalam iklim musim bunga dengan suhu antara tujuh hingga 12 darjah Celcius.

Jadi, bersempena cuti sekolah sekarang, ibu bapa boleh mengambil kesempatan membawa anak-anak mereka berkunjung ke RISEM bagi menikmati keindahan pelbagai jenis bunga segar dan berwarna warni.

Menurut Pembantu Eksekutif AF Mutiara Holdings (M) Sdn. Bhd., Raizatul Dalila Md. Dan, ketika musim bunga, lebih 7,000 kuntum bunga terdiri daripada pelbagai spesies seperti Tulip, Narcissus, Hyacinth dan Dianthus akan menghiasi RISEM.

‘‘Selepas mengalami ketandusan pada musim sejuk, pokok-pokok yang kering akan mula bertunas dan mengeluarkan daun-daun menghijau untuk memberi suasana riang, segar dan nyaman.

‘‘Untuk bunga-bunga yang ditanam pula, kesemuanya diimport terus daripada pembekal di Belanda dengan setiap spesies mempunyai teknik penjagaan yang khusus dan komprehensif.

‘‘Apa yang menarik lagi, RISEM turut mempunyai lebih 55 batang pokok kekal daripada 20 spesies yang mampu bertahan dan bertindakbalas terhadap kesemua empat iklim di sini,’’ katanya ketika ditemui di RISEM baru-baru ini.

Bercerita mengenai proses penyelenggaraan RISEM, Raizatul memberitahu, rumah tersebut dikendalikan oleh seramai 15 orang kakitangan daripada tiga bahagian operasi iaitu bangunan, elektrik dan hortikultur.

Untuk bahagian bangunan dan elektrik, mereka akan memantau sebarang kerosakan pada premis RISEM selain menyelenggara dan mengawal pancaran lampu, suhu penyaman udara dan mesin salji.

Bahagian hortikultur pula akan memberi tumpuan kepada aktiviti membina landskap, menanam pokok, membaja, meracun, menyiram, penanaman semula dan melakukan kerja-kerja pembersihan setiap kali tamat satu-satu musim.

‘‘Sebenarnya, aktiviti bahagian-bahagian ini termasuk kawalan lampu memainkan peranan yang sangat penting dalam menstabilkan suhu RISEM supaya menyamai suhu sebenar.

‘‘Ini kerana, ia memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan pokok-pokok di sini secara natural.

‘‘Biasanya, penyelenggaraan pada musim bunga akan menelan kos paling tinggi berbanding musim-musim lain untuk membeli tumbuhan hiasan, bunga-bungaan dan juga baja,’’ jelasnya.

Mengenai cabaran pula, bahagian hortikultur perlu memastikan pokok-pokok kembali berputik selepas ‘mati’ pada musim sejuk selain mengurus bunga-bunga yang baru ditanam mengikut kesesuaian, kelembapan dan ketahanan setiap spesies.

Bagi tujuan sama, mereka juga akan menjalankan proses membaiki medium tanah seperti penambahan zat mineral dan penstabilan kadar pH.

Menurut Raizatul Dalila lagi, pengunjung sangat menggemari musim bunga dan juga musim sejuk kerana mereka merasai pengalaman bermain salji dan menikmati pemandangan bunga-bungaan cukup menarik.

‘‘Ketika musim sejuk sebelum ini, RISEM telah menerima lebih 3,000 pengunjung sehari pada hujung minggu.

‘‘Untuk menghasilkan salji, RISEM menggunakan mesin khas yang mengkombinasikan tekanan air dan angin pada suhu tertentu sebelum disembur sebagai salji dengan suhu serendah -10 darjah Celcius menggunakan nozel halus,’’ jelasnya.

RISEM dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Untuk tempoh peralihan iklim antara musim luruh ke musim sejuk dan musim sejuk ke musim bunga pula, ia akan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: