Friday, March 30, 2012

The Wombats cabar diri


THE WOMBATS menghasilkan sendiri kesemua lirik lagu-lagu dendangan mereka.


SEMPENA perlumbaan Formula One (F1) di Malaysia yang telah berlangsung baru-baru ini, banyak konsert yang menampilkan artis-artis luar negara telah diadakan sebagai menyambut kedatangan acara sukan motor berprestij tersebut.

Salah satunya merupakan konsert yang diberi nama Future Music Festival Asia dan ia merupakan konsert rasmi yang pertama berlangsung sebelum tibanya minggu perlumbaan F1 Malaysia. Malaysia merupakan lokasi pertama berlangsung festival ini di luar Australia.

Sebanyak 60 kumpulan artis tempatan dan antarabangsa hadir ke konsert yang dibanjiri oleh hampir 30,000 penduduk tempatan dan luar negara yang bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Festival ini diadakan selama 12 jam dan antara persembahan yang dinantikan merupakan dari artis hip hop terkenal, Flo Rida.

Antara artis lain yang turut hadir merupakan The Chemical Brothers, Tinie Tempah, The Wombats, Grandmaster Flash dan ramai lagi yang dipersembahkan atas empat pentas yang berbeza iaitu Flamingo, Future, Las Venus dan Gnome.

The Wombats merupakan sebuah kumpulan rock yang terdiri dari tiga orang anak muda iaitu Matthew Murphy, Dan Haggis dan Tord Overland-Knudsen yang berasal dari Liverpool, England.

“Kami sangat gembira dapat hadir ke Malaysia dan festival ini untuk membuat persembahan. Sebelum ke sini, kami baru pulang dari Tokyo untuk mengadakan persembahan.

“Kami telah bersama selama lebih kurang sembilan tahun dan untuk jelaskan genre muzik kami sedikit sukar kerana muzik kami ialah indie dan keistimewaan kami adalah kerana kami semua boleh bermain alat muzik dan kami juga menyanyi,” jelas salah seorang ahli kumpulan The Wombats iaitu Matthew atau lebih mesra disapa sebagai Matt.

Bagi mereka, sering mencabar diri merupakan terapi yang sering dilakukan untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Kesemua lirik dalam lagu-lagu mereka juga seratus peratus adalah hasil nukilan dari tiga orang anak muda ini.

“Setakat ini, lirik kesemuanya dihasilkan oleh kami sendiri dan ia banyak berdasarkan pengalaman kami sendiri. Selalunya lirik kami mengenai perasaan, mengenai wanita serta kehidupan.

“Sembilan tahun bukan masa yang singkat dan memang banyak cabaran yang ditempuhi. Bukan senang untuk bertahan, dan tidak dinafikan pertengkaran ialah perkara biasa.

“Namun, ia perkara biasa kerana kami memang rapat dan tinggal bersama juga,” jelas Matt yang mengatakan mereka mengibaratkannya seperti berkahwin dan sentiasa bersama.

Tutur Tord pula, mereka sangat bertuah kerana dapat bertahan hingga kini. Mungkin juga muzik yang mereka mainkan adalah berbeza dan mungkin itu yang menyebabkan mereka mampu bertahan.

Selain itu, mereka juga berterima kasih kerana mempunyai peminat yang menghormati karya seni mereka.

“Kami tidak sangka akan menjadi sukses sebegini. Bagi kami, sebelum ini, kami hanya praktis muzik-muzik kami di dalam sebuah bilik di Liverpool. Namun kini, kami membuat persembahan di festival muzik Kuala Lumpur.

Ia merupakan perkara besar buat kami dan kami seperti tidak percaya dengan jemputan persembahan di sini. Kami sangat gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh kumpulan kami. ramai peminat juga yang memberi komen bagaimana mereka menghargai muzik kami,” akhiri Tord.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: