Thursday, March 29, 2012

Kepentingan sumber AIR


SERAMAI 38 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2 menyertai program kesedaran air ini sempena Hari Air Sedunia.


Namun, perubahan iklim yang melanda dunia hari ini sehingga mengakibatkan cuaca tidak menentu, glasier cair dan peningkatan paras laut bagaimanapun dilihat akan menyukarkan pengumpulan sumber air bersih.

Bagaimanapun, kita bertuah kerana di bumi Malaysia bekalan air masih boleh diperoleh dengan mudah tanpa perlu berhempas pulas mendapatkan sumber asli berkenaan.

Sumber asli yang menjadi ‘nadi’ survival kehidupan manusia tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan penggunaan berhemah agar tidak berdepan masalah pada kemudian hari.

Menyedari kepentingan sumber air kepada manusia, syarikat Salcon Berhad. baru-baru ini mengadakan program Kesedaran Pendidikan Sungai dan Air di Taman Rekreasi Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Program yang bermula seawal 8 pagi itu, berjaya mengumpulkan seramai 38 pelajar dan lapan guru Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2. Ia dianjurkan bersama Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang dan Malaysian Water Partnership (MyWP).

Pengurus Kanan Korporat Salcon Berhad, Chern Meng Gaik berkata, program berkenaan diadakan sempena Hari Air Dunia yang jatuh pada 22 Mac lalu.

“Kami ingin memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan memelihara dan memulihara sungai serta air melalui program ini.

“Ini kerana bekalan air yang bersih dapat memberi impak positif kepada kesihatan, perniagaan dan meningkatkan kualiti kehidupan manusia,” katanya.

Dia memberitahu, terdapat beberapa aktiviti yang diatur dalam program berkenaan seperti ujian biologi air, ujian kualiti air, ujian kimia air dan membersih sungai.


ANTARA ujian yang dilakukan pada program tersebut ialah ujian biologi air, ujian kualiti air dan ujian kimia air.


SUMBER air merupakan medium penting yang memberi impak kepada ekosistem dunia.

Katanya, program yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut diharap dapat memberi pendedahan mengenai kepentingan sungai dan air di peringkat akar umbi.

Pembaziran air

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, Prof. Dr. Chan Ngai Weng, memberitahu bekalan air perlu digunakan dengan cara berhemah di negara ini.

Sekiranya tidak dilakukan dengan efektif, dia khuatir negara akan mengalami kekurangan bekalan air dalam tempoh beberapa tahun lagi terutamanya di Lembah Klang.

“Terdapat pelbagai cara boleh diguna pakai dalam penggunaan air secara berhemah.

“Ia termasuk memastikan tandas-tandas awam dilengkapi pili automatik, menggunakan pam tandas mempunyai dua pengepam dan banyak lagi,” ujarnya.

Dia memberitahu, tarif air yang agak murah di negara ini disebabkan subsidi membuatkan sesetengah orang tidak menghargai air dan melakukan pembaziran.

Katanya, jika ia agak mahal sudah pasti orang ramai akan lebih berhati-hati dalam penggunaan sumber air.

Sementara itu, salah seorang peserta program, Alya Nabihah Mohd. Mungsea, 11, pula memberitahu, melalui program berkenaan dia dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai kepentingan air kepada manusia.


DUNIA kini diancam kekurangan air bersih lantaran perubahan drastik fenomena cuaca akibat pemanasan global. - Gambar hiasan.


“Bahkan, penjimatan air amat penting dalam memastikan sumber asli tersebut dapat berkekalan untuk jangka masa yang lebih lama,” katanya.

Pelajar berusia 11 tahun, Harris Hakimi Hisham pula berkata, dia dapat mengenali beberapa spesies yang terdapat di dalam sungai apabila menyertai program berkenaan.

“Ia sesuatu menarik dan mengujakan apabila diberi pendedahan mengenai pelbagai jenis spesies yang terdapat di dalam air sungai.

“Kita juga boleh mengetahui air sungai ini bersih melalui kehadiran spesies-spesies serangga di dalam air,” katanya yang pertama kali mengambil bahagian dalam program tersebut.

Dalam pada itu, Nik Abdul Nik Hisham, 12, berkata, dia berasa bertuah kerana dapat turut serta mengikuti program berkenaan.

“Melalui program ini, pelajar dipupuk mengenai kepentingan sumber air seperti sungai.

“Kita dapat mengetahui bahawa kebersihan sungai amat penting dalam memastikan survival ekosistem kehidupan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: