Friday, March 16, 2012

Sokong demi bakat, karisma

AHLI YSF bersatu hati menyokong karier seni pelakon yang popular dengan watak Wawa Semput ini.
AHLI YSF bersatu hati menyokong karier seni pelakon yang popular dengan watak Wawa Semput ini.
YSF eratkan hubungan Yana bersama peminat

TATKALA insan lain meraikan ambang malam tahun baru dengan aneka agenda, sekumpulan anak muda tekun mengisi borang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) hingga jam mencecah 3 pagi, semata-mata mahu menyokong artis kesayangan mereka, Yana Samsudin.Peminat yang menggelarkan diri sebagai Yana SuperFriends (YSF) mengakui, bakat, ketulusan serta keperibadian pelakon dan pengarah berusia 28 tahun itu membuatkan mereka membulatkan tekad menubuhkan kelab peminat.
Walau baru dua tahun bergerak, pengasasnya, Mohd Razali Razak, 30, berkata banyak aktiviti dikelolakan termasuk perlawanan boling, majlis berbuka puasa, sambutan rumah terbuka selain merancang terbabit dalam program amal bagi membantu golongan memerlukan.

“Asalnya saya bersama dengan dua lagi teman baik mula mengikuti perkembangan Yana sejak awal dulu dan sudah nampak bakatnya sebelum dia diberi tanggungjawab mengarahkan filem sulung, Selamat Pagi Cinta, kira-kira lima tahun lalu.

“Walau belum kenal, ketika terserempak di beberapa majlis, dia ramah berbual bagai kawan lama dan boleh ingat wajah kami. Lama kelamaan, kami menjadi kenalan. Hanya dua tahun kebelakangan ini kami serius menubuhkan YSF,” katanya yang rancak mengatur program untuk lebih 600 ahli di seluruh negara.

Kebiasaannya, jika bukan acara di luar, kediaman Razali akan menjadi ‘port’ ahli di ibu negara berhimpun, tambahan pula sejak musim pengundian ABPBH2011 bermula, kerana pada waktu ini gerak gempur undian dilipatgandakan.

Ketika kunjungan Hip, 10 tunjang YSL rancak menanda dan menyusun borang undian, malah di suatu sudut kelihatan setimbun akhbar Berita Harian yang masih perlu digunting serta ditanda sebelum diserahkan kepada penganjur.

Di pintu masuk pula terpampang dua gegantung promosi mengingatkan peminat Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin mengundi, sekali gus membuktikan seluruh jentera gerak gempurnya sudah sedia beraksi.

Jika tahun lalu mereka kecewa apabila nama pelakon Adnan Sempit itu tercicir daripada menduduki kerusi finalis, kali ini wajah puas dapat dilihat apabila selebriti yang sudah menjadi sebahagian daripada mereka berada dalam senarai Pelakon Filem Wanita Popular, sebaris dengan Diana Danielle, Eja, Lisa Surihani dan Maya Karin.

“Mungkin pada ABPBH musim lalu Yana masih menggunakan Norliana, membuatkan ramai peminat tidak perasan namanya. Agak menyedihkan kerana bagi kami Yana punya aura serta karisma yang menampakkan lakonannya begitu hidup,” katanya sambil tangan ligat mengisi borang undian.

Jika dihitung, sudah banyak wang dilaburkan untuk membeli Berita Harian malah sejak pusingan awal mereka yang mengakui bukan daripada kalangan golongan berada menganggap sokongan tidak berbelah bagi itu sebagai lambang keikhlasan terhadap kejayaan artis kesayangan.

“Setiap orang ada tugasan dan kepakaran masing-masing. Macam bunting, lencana dan risalah, ia turut mendapat sentuhan ahli YSF. Di kalangan kami juga ada yang menggerakkan promosi, pemasaran dan perhubungan.

“YSF juga medan pengerat termasuk ahli di luar Kuala Lumpur. Macam sekarang, kebanyakan ahli menyumbang untuk membeli akhbar. Sebenarnya, pengundian ini juga lebih kepada permuafakatan dan hingga kini lebih lapan kali kami menghantar borang,” katanya yang membelanjakan lebih RM1,000 setiap kali membeli akhbar.

Biar acara kecil - makan sambil mengisi borang diadakan di lokasi tertutup - mereka hadir mengenakan lencana simbol nama Yana, selain memakai bingkai spek mata tanpa cermin yang menjadi identiti Yana sekali gus menjadi lambang YSF.
Bagi memudahkan proses mengisi borang pula, mereka sanggup menempah cop khas.

Yana yang turut hadir dalam majlis berkenaan turut meluahkan rasa terharu di atas sokongan yang diterima, malah sebagai individu, dia melihat mereka lebih daripada peminat sebaliknya teman suka duka.

Menyentuh mengenai pemilihannya sebagai finalis, dia mengakui keringat dan kesungguhan sepanjang hampir sedekad dalam bidang seni berbaloi apabila buat kali pertama berada di kerusi panas itu. Namun dia tetap menyerahkan segala-galanya kepada pengundi.

Paling membanggakannya apabila bersaing dengan pelakon yang pernah membawa pulang trofi dan punya aura tersendiri.

“Berada di kelompok finalis adalah sesuatu yang tidak pernah saya jangka, tetapi ia menyuntik semangat saya supaya sentiasa menunjukkan hasil kerja berkualiti tanpa mengharapkan sebarang pulangan,” katanya yang sedang menjalani penggambaran filem Wawa Semput.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: