Thursday, March 22, 2012

Sofiah bangga berbakti di negara sendiri


Siapa menyangka di sebalik kehebatan jenama Harrods Malaysia adalah hasil usaha seorang wanita.


WANITA mahupun anak gadis yang sedang berusaha mengejar kedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing, pasti akan mencemburui dengan apa yang dimiliki oleh wanita kacukan Melayu- Inggeris ini.

Apa tidaknya, beliau bukan setakat mencapai kemuncak tertinggi dalam kerjaya tetapi lebih penting berpeluang menerajui satu jenama yang cukup gah di seluruh dunia.

Sebagai Pengarah Urusan Tradewinds Premium Goods Sdn. Bhd., pemegang francais Harrods Malaysia, Sofiah Rahman memikul tanggungjawab membangunkan jenama yang cukup sinonim dengan gedung membeli-belah mewah dan eksklusif di kota London itu, di negara ini.

Begitupun berdampingan dengan jenama-jenama terkenal antarabangsa bukan sesuatu yang baru bagi Sofiah.

Malah ketika menjadi pengarah di salah sebuah anak syarikat Pernas, beliau telah menguruskan produk fesyen berjenama seperti Salvatore Ferragamo, Valentino dan sebagainya.

“Dunia fesyen merupakan minat pertama saya. Malah selepas habis pengajian saya sengaja tinggal lebih lama di London dan berpeluang bekerja di beberapa butik dan rumah fesyen terkenal di kota itu,” katanya yang menetap di United Kingdom (UK) sejak usia remaja lagi bagi menyambung pengajian A Level.

Puas menimba pengalaman di tanah kelahiran ibunya, sekitar tahun 1980-an Sofiah memutuskan untuk mencuba pasaran kerja di Malaysia.

Segera pengalaman berharganya itu dihidu oleh pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal Metro Jaya Bhd. (Metrojaya) yang melantiknya sebagai pengurus operasi sebelum beliau beralih ke Pernas.

Biarpun ketika ditawarkan untuk mengetuai Harrods Malaysia, tugas Sofiah bukan lagi berkaitan dengan dunia fesyen yang selama ini menjadi ‘kekuatannya’, ia bukan sesuatu yang menggusarkan.

“Sebenarnya tidak jauh beza. Ia masih berkaitan dengan soal ‘menjual jenama’. Cuma di Harrods mungkin sedikit mencabar kerana ia sesuatu yang baru dan kita tidak pasti penerimaan masyarakat di sini.

“Dalam hal ini kegagalan bukan satu pilihan untuk saya kerana saya membawa satu jenama besar yang amat menjaga soal prestij dan kualiti.

“Perkara pertama yang saya lakukan ialah memberi lebih banyak pendedahan tentang Harrods Malaysia terutama kepada pelanggan-pelanggan baru.

“Syukur selepas pertama kali di bukan di KLCC pada 11 April 2009, Harrods mendapat maklum balas amat memberangsangkan sehingga mendorong kami untuk membuka satu lagi kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA),” katanya yang berbangga dapat berbakti di negara sendiri.

Menurut Sofia, kedai di KLCC dikenali sebagai Harrods World Signature Shop and Tea Salon menawarkan produk-produk berjenama Harrods yang didatangkan khas dari London.

Antaranya seperti teh, biskut, manisan beg tangan, permainan lembut (soft toys) seperti patung beruang Harrods dan sebagainya.

Wanita yang ramah dan tidak lokek senyuman ini mengakui, orang ramai yang belum begitu mengenali dan ‘takut’ dengan jenama tersebut mungkin beranggapan barangan yang dijual di luar kemampuan biarpun sebenarnya sangat berpatutan.

“Saya dapati ramai pelanggan yang datang ke sini tidak kisah harga yang ditawarkan kerana walaupun mereka hanya membeli barangan kecil tetapi kepuasan dalam memiliki jenama Harrods itu sendiri,” katanya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata iaitu Kara Eniez, 21, dan Aidan Kamil, 19, ini mengakui sejak mula terlibat dalam dunia korporat banyak perkara baru yang dipelajari.

Apa pun pengalaman bekerja yang memerlukan beliau berjumpa dan berkomunikasi dengan orang ramai telah diaplikasikan dalam dunia korporat yang ditempuhi sekarang.

“Bagi saya untuk berjaya perlu ada rasa keterujaan mendalam terhadap kerja yang dilakukan selain sentiasa terbuka untuk belajar perkara baru walaupun sudah berada kedudukan yang tinggi.

“Saya sering mengamalkan dan berpesan kepada pekerja di sini supaya belajar dan mendalami sesuatu produk itu sebelum mahu menjualnya kepada pelanggan.

“Sebagai ‘penjual’ kalau kita sendiri tidak faham dan yakin dengan produk yang ingin dijual bagaimana kita mahu menyakinkan pelanggan?

“Justeru tidak ada salahnya kita buka minda dan belajar walaupun pada perkara-perkara yang kita rasa remeh,” katanya bersungguh.

Sementara itu, ditanya tentang cabaran sebagai ‘bos wanita’, Sofiah merasakan beliau antara yang bernasib baik kerana mempunyai kakitangan yang banyak menyokongnya.

“Bagi saya tiada perbezaan jika wanita atau lelaki yang menjadi bos kerana apa yang penting rasa hormat menghormati antara satu sama lain dan sentiasa menyokong bagi kejayaan bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, keterbatasan masa sebagai wanita berkerjaya membuatkan beliau perlu bijak mengurus antara kerja dan rumah tangga.

“Pengurusan masa perlu seimbang antara keluarga dan kerjaya. Begitupun kita tidak perlulah menjadi super women melakukan segala-galanya.

“Tidak ada salahnya kita mendapatkan bantuan contohnya daripada pembantu rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Sofiah mengakui banyak waktunya kini dihabiskan untuk kerja memandangkan beliau kini tinggal berdua bersama suami kerana kedua-dua anaknya menyambung pelajaran di luar negara.

“Keadaan sudah berubah, kalau dahulu balik rumah bising dengan suara anak-anak, tetapi sekarang rasa sunyi dan kosong sejak mereka tiada.

“Walaupun berjauhan dengan mereka, hampir setiap hari kami berhubung sama ada melalui telefon mahu pun emel.

“Sekurang-kurangnya bertanya khabar dan berkongsi cerita aktiviti harian masing-masing,” jelasnya.

Tambah Sofiah, jika ada waktu kelapangan beliau juga gemar memasak terutama pada hujung minggu walaupun hanya tinggal berdua di rumah.

“Selain itu, jika anak-anak pulang bercuti kami akan memperuntukkan masa bersama-sama seperti melancong dan menonton wayang.

“Tidak susah untuk habiskan masa bersama-sama keluarga walaupun saya sibuk dengan kerja. Apa yang penting perancangan untuk bercuti bersama-sama dilakukan pada waktu yang sesuai,” ujarnya.

Ditanya mengenai rahsia mengekalkan kecantikannya, beliau berkata, perkara yang sentiasa menjadi keutamaannya ialah perlu sentiasa seronok dengan setiap pekerjaan yang dilakukan.

“Saya sentiasa bersemangat dan ghairah dengan pekerjaan yang dilakukan lebih-lebih apabila ia memerlukan saya bercakap dan berjumpa orang ramai.

“Selain itu, untuk menjaga penampilan diri selain senaman, pengambilan makanan seimbang juga penting untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat dan bertenaga,” katanya.

Mengimbas zaman kanak-kanaknya, Sofiah mengakui bertuah kerana lahir dan membesar dalam dua budaya yang berbeza.

“Ayah seorang tentera dan sering berpindah-randah kerana pekerjaannya, daripada tinggal di bandar besar di Kuala Lumpur hinggalah di pinggir hutan di Pahang.

“Daripada situ ia menguatkan jati diri saya sebagai wanita Timur. Sebab itu walaupun pernah tinggal lama di UK saya tak pernah lupa asal-usul.

“Malah dari kecil hingga sekarang tidak sah rasanya makan kalau tidak ada sambal belacan,” ujarnya tersenyum mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: