Thursday, March 22, 2012

IFF martabatkan busana Islam di mata dunia


Rekaan busana pengantin hasil Syaiful Baharim.


SEMUANYA bermula pada tarikh 11 September 2001 di mana Islam telah menjadi musuh nombor satu dunia dan dianggap sebagai pengganas. Apa sahaja yang melibatkan Islam dan golongan Muslim, dari mana mereka datang, siapa mereka dan bagaimana mereka pakai menimbulkan satu keraguan, bahkan menjadi mangsa keadaan dan persepsi buruk.

Sehubungan itu, bagi mengubah perspektif negatif dan prejudis terhadap Islam, maka Festival Fesyen Islam (IFF) telah dilancarkan sebagai wadah mengubah fikiran Islamophobia. Inilah antara jalan untuk merapatkan jurang negara Islam dan Barat kerana ia secara tidak langsung dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dunia terhadap keindahan budaya Islam serta fesyen Islam yang selama ini dianggap taboo oleh Barat.

Maka, bermula 2006 dengan lokasi pertamanya di Kuala Lumpur, IFF dengan rasmi dilancarkan dengan Datuk Raja Rezza Shah sebagai pengerusinya.

Menurut Raja Rezza, penjelajahan merentas dunia untuk mempromosikan busana Muslim mampu mengubah persepsi terhadap dunia Islam.

"Salah satu objektif terbesar IFF adalah menyatukan budaya dan negara untuk memberitahu bahawa melalui fesyen kita merangsang pemahaman dan rasa hormat antara masyarakat yang berbeza agama dan kepercayaan.

"Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi," katanya.

"Di samping itu, melalui IFF, menunjukkan kepada Barat khususnya bahawa umat Islam menghargai kecantikan dan Islam adalah agama yang toleran tanpa sebarang sekatan terhadap pemakaian terutamanya bagi wanita, asalkan ia menutup aurat," katanya.

Membuka kalendar 2012, Manila, Filipina terpilih menjadi lokasi pertama bagi tahun ini dalam edisi penganjuran IFF yang ke-20 dengan tema Discover the Beauty of Modesty di Hotel Intercontinental, Makati.

Pemilihan Manila untuk pertunjukkan IFF kali ini mempunyai signifikan kerana ia merupakan kota fesyen bagi penduduk Filipina bahkan negara ini mempunyai penduduk Islam kedua teramai. Maka permintaan terhadap fesyen Islam begitu tinggi oleh masyarakat negara ini terutama mereka yang tercari-cari pakaian yang menutup aurat, dalam masa yang sama sofistikated dan glamor.

Di Manila, jaringan pereka-pereka dari Malaysia, Indonesia dan Filipina adalah gambaran unik dalam menggabungkan idea menerusi kepelbagaian agama dan budaya para peserta.

Pada siri penjelajahan kali ini, Malaysia diwakili Datuk Tom Abang Saufi mempersembahkan rekaan bertemakan Love yang bercirikan warisan budaya tanah kelahirannya, Sarawak serta bunga-bunga mawar yang bercorak besar dengan warna-warna terang.

Begitu juga dengan pereka muda, Syaiful Baharim yang membawa tema Rabi'a yang diilhamkan daripada pegangan sufisme, mistik, cinta, kesucian dan kehormatan diri seorang pengantin. Menggunakan pelbagai jenis fabrik seperti les, satin dan sutera.

Melinda Looi turut mengkagumkan hadirin dengan tema The Paradise Within, diilhamkan daripada keindahan pantai-pantai di Malaysia. Melinda menggunakan sutera sifon sebagai menggambarkan ombak-ombak kecil dan warna hijau zamrud manifestasi kejernihan air laut. Koleksi ini juga menampilkan keindahan seni batik dengan elemen sulaman.

"Semasa saya pertama kali mereka pakaian Islam, ia suatu yang mencabar walaupun saya dilahirkan di Malaysia, namun bukan Muslim. Bagaimanapun saya belajar cara pakaian serta peraturan bagi wanita Islam.

"Saya berbincang dengan pelanggan dan memahami budaya mereka. Ia bukan sesuatu yang sukar, tetapi kita perlu tahu peraturannya, Selepas mempelajarinya dan melihat bagaimana mereka berpakaian dan serta mengetahui budaya mereka, rekaan menjadi mudah," jelasnya.

Sementara itu, empat pereka jemputan termasuk Milo Migliavacca dari Bali, Indonesia membawa tema Mystery of the Orient. Milo banyak mendapat ilham daripada filem Avatar. Beliau mereka cetakan haiwan moden dijalinkan dengan batik Indonesia. Begitu juga dengan sulaman dan manik-manik bagi menyerlahkan lagi gaya elegan dan glamor.

Tidak ketinggalan tiga pereka fesyen dari Filipina turut diundang iaitu JC Buendia mengangkat tema First Lady. Beliau mendapat ilham daripada ikon stail Jackie Kennedy dan Puteri Diana. Rekaan sut seluar, dres, jaket warna-warna kosong serta penggunaan mutiara pada jaket adalah simbol kepada kemewahan.

"Saya rasa ini adalah medan yang terbaik dalam mengetengahkan fesyen yang berkonsepkan Islam di mata dunia. Walaupun agak terkejut ketika diminta untuk mereka fesyen sebegini, namun saya anggap ia satu cabaran bagi seorang pereka.

"Bahkan apabila diteliti, ia bukannya sukar jika kita mengikut peraturan yang ada dalam konsep menutup aurat bagi orang Islam. Cuma kita perlu pandai untuk mengubahsuaikan supaya ia tidak terlalu seksi atau menonjol bagi menjaga kesopanan wanita Islam," katanya.

Tidak kurang hebatnya, seorang lagi, pemilik butik di Cebu, Jun Escario dengan tema Glam banyak menampilkan gaun labuh dan bermain dengan warna hitam dan putih. Menggunakan fabrik spandex yang melekat di tubuh namun masih mengekalkan kesopanan.

Pereka muda Filipina yang pernah dianugerahkan Top Young Fashion Designer pada Fashion Asia Awards 2011, Veejay Floresca menampilkan tema Mixed Media. Rekaannya banyak diilhamkan daripada hasil seni dan lukisan di V&A Museum di London. Menggunakan warna dan imej yang berbeza, Veejay merealisasikan ke dalam pakaian. Beliau juga menggunakan pelbagai jenis fabrik bagi mencipta kepelbagaian rekaan kepada pakaiannya.

"Ini merupakan cabaran bagi saya kerana tidak pernah membuat rekaan yang bersangkutan dengan agama. Ini kerana kali ini berkonsepkan konservatif, dalam masa yang sama berfesyen dan sofistikated.

"Kebanyakan rekaan saya dibuat untuk mereka yang berumur 18 hingga 30 tahun," katanya.

Sementara itu, Raja Rezza bangga dengan sifat keterbukaan dan penerimaan masyarakat Filipina dan hadirin mengenai rekaan busana muslim yang ditampilkan.

"Ramai yang memuji dan terkejut dengan perkembangan rekaan fesyen Muslim yang pada fikiran mereka berburqa atau bertutup litup seperti wanita Arab. Menerusi IFF inilah pemahaman masyarakat dunia mengenai Islam terbuka bukan sahaja dari soal pemakaian tetapi kesopanan, keindahan dalam kehidupan, malah pasaran pakaian Muslim dapat diperluaskan," katanya.

Penganjuran fesyen berprestij tidak berhenti di Manila tetapi akan terus mengembangkan sayapnya ke London, Bali, Paris dan Jeddah pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: