
BMW Malaysia Sdn. Bhd. (BMW Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan dua varian baharu roadster Z4 iaitu sDrive20i dan sDrive28i M Sport. Kedua-dua model itu dilengkapi enjin petrol empat silinder baharu dengan teknologi BMW TwinPower Turbo.
Enjin turbo bersesaran 1,997cc itu dilengkapi pengawal injap boleh ubah VALVETRONIC cas turbo skrol berkembar dan kawalan aci sesondol boleh ubah Double-Vanos.
Antara keistimewaan enjin empat silinder BMW adalah tawaran keyakinan dan kecekapan pemanduan pada pusingan enjin rendah. Ciri itu membantu mengurangkan penggunaan bahan bakar dan kesan bunyi enjin.
BMW turut mengetengahkan transmisi automatik sport lapan kelajuan dengan kawalan pedal pada stereng sport. Sebelum ini, model-model Z4 hanya dilengkapi kotak gear enam kelajuan.
Kotak engkol aluminium ringan dan pengenaan gandar depan yang lebih ringan pada varian baharu membantu meningkatkan ketangkasan dan pemanduan Z4 berbanding model-model sebelumnya.
![]() |
| ENJIN petrol empat silinder dengan BMW TwinPower Turbo baharu dipasang kepada kedua-dua varian Z4. |
Hasilnya, BMW Z4 sDrive20i berupaya menjana kuasa kuda dan tork maksimum masing-masing sebanyak 184hp dan 270Nm. Varian sDrive28i M Sport mampu meledakkan sebanyak 245hp dan tork 350 Nm.
Pengeluar Jerman itu menawarkan sistem Brake Energy Regeneration sebagai ciri standard dalam kedua-dua varian Z4 sejajar dengan visi Efficient Dynamics BMW.
Harga jualan atas jalan tanpa insurans bagi Z4 sDrive20i ialah sebanyak RM358,800 seunit. Model sDrive28i M Sports pula dijual pada harga RM488,800 sebuah. Ia turut meliputi pakej servis dan pembaikpulihan BMW.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: