Saturday, March 24, 2012

Kompak mesra alam Honda



SENARIO segmen kenderaan hibrid Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif sejak dua tahun kebelakangan ini. Pendorong utama di sebalik kemunculan kereta hibrid atas jalan raya tempatan berkait rapat dengan tindakan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai import dan eksais sehingga 31 Disember 2013.

Insentif yang diperkenalkan sejak bajet 2009 menjadikan harga kenderaan hibrid diimport sepenuhnya (CBU) menjadi lebih murah. Faedah itu dinikmati oleh dua kelompok utama industri automotif iaitu pengeluar kenderaan dan pengguna Malaysia. Secara tidak langsung, ia menjadikan pasaran kereta hibrid di Malaysia lebih unik jika dibandingkan dengan negara lain.

“Di negara-negara lain, kenderaan hibrid secara umumnya lebih mahal jika dibandingkan dengan model petrol. Hanya di Malaysia, situasinya berbeza. Kenderaan hibrid adalah lebih murah,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia), Yoichiro Ueno pada majlis pelancaran model Jazz Hybrid di Kepong, Selangor baru-baru ini.

Statistik kenderaan hibrid di Malaysia merekodkan jualan kira-kira 300 unit pada 2009. Bilangan jualan itu kemudiannya melonjak kepada 8,400 buah tahun lalu. Selain pengenalan model baharu oleh pengeluar-pengeluar kenderaan jenama Jepun, sentimen pasaran dan kesedaran pengguna terhadap penjagaan alam sekitar turut menyumbang kepada pertumbuhan segmen berkenaan.

Tahun lalu, pasaran kereta hibrid didominasi oleh Honda Malaysia menerusi model Insight dengan pegangan sebanyak 54 peratus. Selain Insight, satu lagi taruhan syarikat iaitu hibrid Honda CR-Z turut mencetuskan fenomena dalam pasaran. Dalam tempoh empat bulan sahaja, Honda Malaysia sudah menerima tempahan lebih kurang 1,000 unit CR-Z.

Hibrid ketiga


WARNA latar belakang panel meter berubah menjadi biru menandakan cara pemanduan tidak ekonomikal.


Baru-baru ini, Honda Malaysia memperkenalkan model Jazz Hybrid. Kereta kompak lima pintu tersebut ditawarkan pada harga atas jalan sebanyak RM94,800 seunit termasuk insurans. Ternyata harga itu lebih murah iaitu sebanyak RM2,200 jika dibandingkan dengan model pesaing terdekatnya, Toyota Prius c.

Meskipun Jazz Hybrid berjaya merangkul semula harga hibrid paling murah di negara ini, ia tidak semestinya menjejaskan pasaran Prius c. Ini kerana masing-masing ada peminat dan setiap model memiliki kelebihan tersendiri.

Jazz Hybrid dilengkapi enjin petrol 1.3L i-VTEC dan diintegrasi dengan sistem IMA (Intergrated Motor Assist) hibrid. Ia sama seperti yang dipasang pada model Insight. Jika dibandingkan dengan varian Jazz petrol 1.5L, versi hibrid menawarkan kadar penggunaan petrol yang lebih rendah.

Kadar peratusannya adalah antara 25 peratus hingga 30 peratus. Ia berupaya mencecah jarak perjalanan sejauh 21.3 kilometer (km) dengan setiap liter petrol. Berhubung kadar emisi karbon pula, ia hanyalah sebanyak 107 gram bagi setiap km.

Pujian harus diberikan kepada jurutera-jurutera Honda kerana berjaya merealisasikan dua perkara penting sewaktu pembangunan model hibrid Jazz. Pertama mengekalkan ruang kargo jentera hibrid yang menyamai varian petrol. Kedua, menyempurnakan faktor aerodinamiknya.

Ruangan kargo kereta mesra alam itu seluas 300 liter. Ia boleh ditingkatkan kepada 846 liter dengan melipat kerusi tempat duduk belakangnya. Harus diketahui bahawa kerusi belakang model ini ialah ultra seat. Ia boleh dilipat dalam keadaan menegak.

Kekemasan rekaan


JAZZ Hybrid dilengkapi enjin 1.3 liter dan Intergrated Motor Assist.


Berhubung rahsia pemasangan sistem hibrid tanpa mengorbankan ruang kabin Jazz, Pemimpin Projek Jazz Hybrid, Honda Research & Development Co. Ltd., Shingo Nagamine berkata, pek bateri dan unit kawalan kuasa diintegrasi di kawasan bawah lantai but.

Ini bermaksud ruang simpanan tayar ganti terpaksa ditiadakan. Pendek kata, pembeli Jazz Hybrid tidak diberikan tayar ganti. Sebagai pengganti, kit pembaik pulih tayar bocor akan diberikan kepada para pembeli.

Pek bateri yang dipasang di antara kedua-dua tayar belakang mengelakkan ia mengalami kerosakan sekiranya terjadinya pelanggaran dari arah belakang. Kata Nagamine, tayar kenderaan itu berperanan sebagai penyerap impak jika berlaku kemalangan.

Ciri aerodinamik diserahkan kepada tiga komponen utama Jazz Hybrid iaitu bampar hadapan dan belakang serta gril krom baharu. Ketiga-tiga komponen itu direka untuk meningkatkan kecekapan seretan udara sebanyak tiga peratus jika dibandingkan dengan varian Jazz petrol.

Melangkah masuk ruang kabinnya, kelihatan beberapa pembaharuan kecil dilakukan. Papan pemuka model hibrid itu dipasang meter laju dengan tiga mod warna pencahayaan.

Ia berperanan untuk memaklumkan kepada pemandu mengenai cara pemanduan efisien dan ekonomikal. Meter laju akan menunjukkan warna biru jika pemanduan tidak ekonomikal. Warna biru hijau untuk keefisienan bahan bakar tahap sederhana manakala hijau untuk pemanduan efisien.

Penambahan lain meliputi pemasangan skrin paparan pelbagai maklumat (MID), meter Charge Assist Indicator, butang mod pemanduan ECON, fungsi Eco Assist, paddle shifter dan butang kawalan pada stereng.


RUANG kargo 300 liter sedia ada boleh dikembangkan seluas 846 liter dengan hanya menurunkan kerusi barisan belakang.


Model tersebut juga sarat dengan pelbagai ciri keselamatan. Antaranya termasuklah enam buah beg udara, VSA, ABS, EBD, BA, Hill Start Assist, G-Force Control Technology dan banyak lagi.

Setakat ini, hanya Honda dan Toyota benar-benar aktif membawa masuk model-model hibrid ke Malaysia. Satu lagi jenama Jepun iaitu Nissan sudah memaklumkan kesediaan melaksanakan program perintis bagi model kenderaan elektrik, Nissan Leaf sebelum akhir tahun ini.

Semoga pengeluar-pengeluar kenderaan lain di negara ini mengikut rentak gergasi automotif Jepun untuk memperkenalkan lebih banyak model hibrid dan mengoptimumkan peluang yang disediakan kerajaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: