
Kalau mengikut rekod peribadi pertama kali saya ‘main’ kereta, mungkin tarikhnya sekitar tahun 1997. Saya memiliki sebuah Proton Satria 1.3 karburetor. Waktu itu punyalah hebat sehinggakan jika naik tiga orang terpaksa mengular ketika hendak melalui bumper, walaupun bonggolnya tidaklah setinggi mana.
Rendahnya jangan kiralah. Kalau boleh hendak rendah macam kereta Lotus. Pasa masa itu mana ada pegas gegelung untuk merendahkan kereta (spring lowered) yang berharga RM200 hingga RM300. Semuanya berharga beribu-ribu ringgit.
Pada zaman itu, bank masih belum menawarkan pinjaman selama sembilan tahun dengan kadar faedah cuma 2.8 peratus. Itu adalah masa pinjaman hanya terhad kepada lima tahun sahaja. Faedah yang dikenakan pun lima peratus ke atas. Malah, kalau hendak membeli kereta terpakai faedah pinjaman adalah di antara enam hingga tujuh peratus.
Sekali fikir, bagus juga kalau ia dikekalkan sehingga ke hari ini. Tidaklah timbul masalah kereta bertimbun di atas jalan dan satu keluarga memiliki dua atau tiga buah kereta. Situasi itulah yang menyumbang kepada kesesakan, sama ada di jalan raya mahupun di tempat parkir kereta.
Zaman sekarang membeli sebuah kereta sudah cukup mudah. Kalau hendak beli Honda Civic baharu sekali pun, bayaran bulanannya mungkin sama sahaja dengan model Civic EK tahun 1997. Namun, bukan semua yang mampu kerana walaupun sudah berbelas-belas tahun berlalu, kereta dan barang-barang makin mahal, malangnya pendapatan kita sebenarnya statik.
Jadi, jika hendak menambah pendapatan dan tidak mahu rasa rugi sangat apabila melakukan modifikasi kereta jadilah seperti pemilik Honda Civic FD ini. Dia cukup rajin berniaga barang-barang Type R dan Honda.

Dunia FD ni memang berkisar tentang Type R sahaja. Maka, tidak hairanlah jika banyak juga modifikasi yang dibuat oleh segelintir pemiliknya memang tidak betul. Untuk menjadi bagus seperti model Direeza kuning ini, banyak komponen yang perlu ditukar.
Bukan setakat tukar side step ada lampu buatan Taiwan dan rim 18 inci buatan China. Ia memerlukan ketelitian melihat bahagian-bahagian kereta yang ditukar supaya rupanya dekat dengan Type R.
Apabila hendak menjadi begitu mirip kepada Type-R, sudah tentulah kena kumpulkan aksesorinya terlebih dahulu. Memang ada orang yang cukup gila beli Civic FD lokal kemudian salin semuanya kepada Type R.
Kalau kira balik, baik beli Type R terus sebab half-cut je sudah berapa ringgit? Memang tidak berbaloi langsung. Tetapi rutinnya kalau sudah suka ubahsuai, beli FD2R hendak ubahsuai bagaimana lagi kalau bukan Type-R?
Kereta ini memulakan hayatnya sebagai model 2.0 liter. Pemiliknya mula menyalin barang-barang Type-R sejak setahun lalu. Semuanya bermula dengan bahagian luar melibatkan penggantian FD2R yang terdiri daripada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler, bampar belakang dan lampu belakang. Selain lips hadapan replika J'S Racing dan Replika Mugen Grill.
Sambil-sambil menyalin bahagian luar, ruang kabinnya sudah 99 peratus Type-R. Semuanya ada di sana, bermula dari tempat duduk, karpet, kemasan pintu, papan pemuka, pemijak pada bahagian pintu (door step), hendal, brek tangan dan bootgear asli yang membalut kawasan boot gear asal.
![]() |
| TONA merah hitam mirip gaya Type-R dijadikan padanan dalam ruangan kabin. |
Nampak macam transmisi manual, sedangkan model K20 ini masih mengekalkan kotak gear automatiknya. Aksesori terakhir sistem audio ialah Head unit JVC, Stellar sub 12 inci, Power amp Mohican dan Pegasus Midbass. Di samping unit Blitz E-Throttle Controller.
Perkara yang membezakan antara model FD2 jadian yang serius ialah brek. Untuk mengelirukan orang awam, pemilik jentera ini memasang brek Type-R Brembo 4 pot dengan rotor 320mm, cukup besar apabila dipadankan dengan rim 17 inci.
Rim hadapannya ialah daripada Work Emotion CR Kai 17X9 dengan offset ET38. Sementara roda belakangnya pula menggunakan rim Advan RS 17X9 dengan offset ET35. Walaupun badan kereta dibalut dengan tema Direzza, tayar kereta ini lain sedikit namanya, Goodyear Revspec bersaiz 145/40/17. Boleh tahan lebarnya. Tengok dari belakang, kereta ini nampak lebih garang daripada sebuah Type-R original.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: