Monday, March 5, 2012

Resipi segar di Willow Tree


Udang bersama sos Marie Ros 'Willow Tree'.


SEKALI pandang, tiada ada yang membezakannya dengan restoran-restoran lain yang menyediakan hidangan Mediterranean di ibu kota.

Selain menggunakan bahan asli, segar dan terpilih dalam setiap hidangan, cara penyediaan, layanan mesra dan hiasan dalaman yang menambat hati pelanggan antara perkara yang pasti menjadi keutamaan.

Namun bagi yang suka mencuba kelainan berganda, pasti anda sependapat jika berkunjung ke Willow Tree Bistro yang terletak di Lot 22, Wisma Rapid, Jalan 30/70a, di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Ini kerana hampir kesemua hidangan disediakan sendiri pemiliknya, Chef El Hadi, 46, yang begitu cintakan dunia masakan pada setiap hari.

Idea dan kreativiti Chef El Hadi dalam menyediakan resipi tidak pernah terbatas, sebaliknya sentiasa tercetus melalui pemerhatian, kajian dan pengalaman dalam kehidupan hariannya di negara ini.

Ini dibuktikan apabila setiap resipi dan hidangan yang disediakan, beliau cuba menggabungkan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan seperti kacang panjang, bayam dan lain-lain.

Berkongsi cerita, anak kelahiran Nador, di bahagian utara Maghribi ini mengakui keputusannya untuk ke Malaysia hujung tahun lalu semata-mata ingin berkongsi minat dan bakatnya dengan masyarakat di negara ini.

Katanya, walaupun dia telah mencipta nama di kota London lebih sedekad dalam bidang masakan, entah mengapa hati kecilnya begitu terpanggil untuk mencuba nasib di sini.

''Saya melihat Malaysia adalah destinasi terbaik untuk saya berkongsi pengalaman yang sedia ada. Saya jatuh cinta dengan keindahan alam semulajadi, keramahan masyarakat dan kepelbagaian sumber alam di sini,'' ujarnya yang menganggap pelawaan dua rakan kongsinya untuk membuka restoran di negara ini tahun lalu diibaratkan sebagai bulan jatuh ke riba.

Willow Tree Bistro yang dibuka sejak lebih dua bulan lalu menyediakan lebih 20 jenis hidangan berkhasiat bermula daripada pembuka selera, salad, hidangan utama, pencuci mulut dan minuman untuk pelanggan yang ingin merasai pengalaman menjamu selera.

Pelanggan boleh memulakan hidangan dengan sembilan jenis pilihan pembuka selera, antaranya tat krim cendawan bawang putih bersama keju di hidang di salad dan kek ikan salmon buatan sendiri yang dihidangkan bersama tomato, bawang besar dan herba salsa.

Selain pembuka selera itu, Willow Tree menyediakan pelbagai jenis salad seperti udang bersama sos Marie Ros 'Willow Tree'.

Untuk makanan utama , Chef El Hadi mencadangkan kaki kambing New Zealand dengan cendawan dan tomato kering yang dihidang bersama kentang dauphinoise.

Jika mahu menguji sejauh mana usaha Chef El Hadi untuk mengenali budaya negara ini, anda harus mencuba teatarik pie yang resipinya diilhamkan melalui minuman teh tarik kegemaran masyarakat tempatan.

Khusus golongan si kecil, Willow Tree tidak pernah melupakan dengan turut menyediakan set untuk mereka.

Dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, kunjungan anda ke sini tentu memberi makna tersendiri kerana tugas Chef El Hadi tidak terhad di dapur sahaja, tetapi sedia bertemu dengan pelanggan bila-bila masa untuk mendapatkan maklum balas setiap apa yang dihidangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: