MENANAM tebu di bibir... Ungkapan yang sering dikaitkan dengan lelaki yang bijak menggoda dan 'mengayat' gadis untuk jatuh cinta kepada mereka.
Pun begitu tidak semua cinta perlu 'diayat' malah ada juga cinta yang terbit dari hati yang ikhlas untuk dicintai dan mencintai.
Lantaran itu setiap gadis atau wanita perlu berhati-hati apabila digoda lelaki - bimbang cinta yang datang tidak telus dan ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya.
Begitu kisah yang dikirim oleh Fifi (bukan nama sebenar) kepada saya untuk dikongsi dengan pembaca.
Kata Fifi, apa yang dia alami menjadi pengajaran penting dalam hidupnya agar tidak mudah terpedaya dengan cinta lelaki.
Ingin tahu apa yang terjadi kepada Fifi, kita ikuti kisah ini.
"Saya berusia 24 tahun, seorang eksekutif di sebuah bank. Setahun lalu saya berkenalan dengan seorang lelaki berusia awal 30-an, Iqbal (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat iklan.
"Hubungan kami mendapat restu keluarga dan kerana cinta saya yang mendalam terhadapnya, saya menerima lamarannya untuk menjadikan saya suri hidupnya.
"Dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan mengambil berat. Keluarga amat menyukainya kerana kebaikan dan kesopanannya itu terutama apabila bertemu dengan orang tua.
"Tempoh pertunangan adalah setahun, maknanya kami sepatutnya bernikah bulan Jun akan datang. Saya telah membuat persiapan ke arah itu sedikit demi sedikit kerana tidak mahu kelam- kabut di saat-saat akhir.
"Pada masa yang sama saya cuba mengenal hati budinya secara mendalam, tentang apa kesukaannya, sikapnya dan keluarganya yang menerima saya sebagai ahli keluarga mereka.
"Sepanjang tempoh kami bertunang saya tidak nampak dia curang terhadap saya. Setiap hujung minggu kami berjumpa, keluar bersama menonton, makan-makan dan sesekali balik ke kampung saya.
"Pendek kata saya tidak nampak kelemahannya sebagai tunang dan saya yakin dia adalah calon suami yang terbaik Allah berikan kepada saya.
"Tapi takdir Allah tidak siapa dapat menolak. Suatu hari saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri kepada Iqbal. Katanya dia membuat panggilan dari selatan tanah air.
"Saya amat terkejut dengan panggilan daripada wanita itu tetapi saya tidak terus percaya kerana saya yakin wanita itu tersalah orang.
"Kami tetapkan temu janji untuk bertemu di satu tempat. Dia berjanji akan membawa bukti yang tunang saya adalah suaminya.
"Selepas meletak telefon saya menangis sepuas hati mengenangkan apa yang telah berlaku. Saya jadi keliru, perlukah saya beritahu tunang saya atau saya diamkan dulu perkara tersebut.
"Setelah berfikir saya mengajak teman baik saya untuk menemani saya bertemu wanita yang mendakwa dia isteri Iqbal. Tapi saya minta teman saya itu tidak datang bersama saya sebaliknya duduk berhampiran tempat kami bertemu.
"Pada hari dijanji saya pergi ke tempat yang ditentukan. Alhamdulillah saya dapat mengawal perasaan dalam pertemuan itu kerana wanita itu juga datang secara damai.
"Orangnya kecil molek, manis dipandang dan menjaga penampilan. Kami bersalaman dengan mesra. Saya tidak tahu kenapa saya tidak ada rasa marah kepadanya. Dia menghulurkan gambar perkahwinannya dengan Iqbal sebaik saya memulakan isu yang hendak kami selesaikan.
"Terketar-ketar saya dibuatnya kala menatap gambar itu. Memang sah itu Iqbal yang sekarang menjadi tunang saya.
"Menurut Mira (bukan nama sebenar) mereka sudah bernikah setahun lalu, Iqbal tinggal di sini dan dia di selatan sebab tidak dapat bertukar ke sini.
"Kata Mira lagi dia mendapat khabar tentang pertunangan kami daripada anak saudara Iqbal yang tidak sampai hati melihat Iqbal menipu saya dan dia.
"Mira juga mempelawa saya mengunjungi rumahnya kerana Iqbal akan pulang sebulan sekali ke sana. Lalu saya teringat, Iqbal selalu memberi alasan tidak dapat keluar dengan saya hujung bulan kerana terpaksa balik kampung untuk bertemu keluarganya.
"Saya setuju dengan pelawaan itu kerana saya mahu membuat perhitungan dengan Iqbal mengenai masa depan kami. Khabar yang dibawa oleh Mira menghancurkan hati saya.
"Pulang ke rumah saya maklumkan berita itu kepada ayah dan mak serta keluarga. Saya tidak mahu bersembunyi apa-apa daripada mereka kerana ini soal masa depan saya.
"Walaupun kecewa saya reda jika jodoh saya tidak ada dengan Iqbal. Saya tidak mahu menghancurkan hati Mira yang ternyata seorang isteri dan wanita yang baik. Berdosa saya jika menyakiti hatinya.
"Ayah dan mak terkejut yang amat sangat. Abang mengamuk dan mahu bertemu Iqbal untuk selesaikan masalah itu, tapi ayah mahu ikut cara saya, biar ada bukti dan kita selesaikan mengikut adat.
"Saat yang ditunggu akhirnya tiba. Di rumah Iqbal, ayah menyelesaikan segala masalah yang timbul. Iqbal mengaku dia menipu kerana dia amat mencintai saya dan mahu mengahwini saya dengan cara baik.
"Ayah membantah. Hati saya juga sudah tawar. Akhirnya bersaksikan keluarga kedua-dua pihak, ayah memulangkan cincin pertunangan saya kepada keluarga Iqbal.
"Semua tergamam dan terkejut macam mana rahsia tunang saya suami orang boleh terbongkar. Tapi saya dan Mira hanya mendiamkan diri. Keluarga saya kecewa dan malu.
"Saya langsung hilang kata-kata dan hanya air mata menjadi teman setia. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya kesal dengan apa yang terjadi. Saya kecewa sebab Iqbal dan keluarganya menipu keluarga saya. Mereka tidak ikhlas dan bersubahat untuk melamar saya sedangkan mereka tahu Iqbal sudah ada isteri.
"Apa pun saya ambil iktibar atas kejadian ini. Biarlah malu sekarang daripada malu dan menanggung derita sepanjang hayat. Saya berdoa saya akan pulih dari kejutan ini secepat mungkin dan membina hidup baru.
"Kata mak, Allah menguji saya kerana mahu memberi lelaki yang lebih baik untuk saya. Pesanan mak adalah satu doa, mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya dan mak!
"Kepada anda di luar sana, hati-hati apabila memberi hati kepada lelaki. Periksa latar belakang mereka terlebih dahulu supaya tidak menjadi seperti saya," pinta Fifi menamatkan cerita.
Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Fifi. Sikap Fifi dalam menangani masalah ini amat saya kagum. Inilah sikap yang harus ada pada semua wanita yang dilanda masalah.
Bangkit dan teruskan kehidupan secara positif. Terima semua yang berlaku dengan hati terbuka kerana ujian itu mengajar kita menjadi lebih cekal untuk terus hidup.
Fifi patut bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan. Mudah-mudahan Fifi akan dilindungi dan diberkati hidup dunia dan akhirat.
Menamatkan catatan, pesanan saya, cinta tidak semestinya sampai ke jenjang pelamin, kerana ada juga cinta yang sekadar singgah untuk menguji kesabaran manusia dalam menilai erti kejujuran dan ketelusan dalam sebuah perhubungan.
Salam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: