Saturday, March 10, 2012

Prius c mobiliti urban



KISAH di sebalik pengenalan model hibrid Toyota Prius c di peringkat global sebenarnya amat bermakna kepada pengeluarnya, Toyota Motor Corporation (TMC).

Prius c membuktikan keupayaan sebenar TMC untuk kembali bangkit selepas Negara Matahari Terbit itu dilanda bencana gempa bumi dan tsunami pada Mac tahun lalu.

“Kawasan yang menempatkan kilang TMC tidak terdedah kepada tsunami. Tetapi ia tetap menerima kesan gempa bumi. Ekoran itu, operasi kilang pengeluaran terpaksa ditangguhkan buat sementara.

“Malah Panasonic yang menghasilkan bateri hibrid untuk kenderaan di kawasan sama juga terjejas,” demikian cerita Naib Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota), Takashi Hibi.

Malapetaka itu melumpuhkan industri automotif Jepun. TMC yang turut terjejas berhadapan dengan kemungkinan gagal menepati jadual asal pelancaran Prius c. Namun, gergasi automotif Jepun itu berjaya memulihkan operasi pengeluarannya pada Disember lalu.

“Jadi, ia (Prius c) adalah simbol pemulihan kami kerana berjaya dilancarkan tepat pada masanya,” tambah Hibi. Kejayaan yang dikecapi bukan setakat itu sahaja, Prius c yang dikenali sebagai Aqua di Jepun nyata menerima sambutan luar biasa.

Timbalan Ketua Jurutera Kumpulan Perancangan Produk TMC, Hiroshi Hatada berkata, tempahan yang diterima untuk kenderaan hibrid itu meningkat sepuluh kali ganda berbanding unjuran awal.

Pada awalnya, TMC menjangkakan jualan sebanyak 12,000 unit sebulan, tetapi pada Januari lalu, tempahan yang diterima sudah mencecah 120,000 unit.

Baru-baru ini, Prius c diperkenalkan ke pasaran tempatan oleh UMW Toyota dengan satu pengumuman menarik. Apa lagi kalau bukan harga sebenar Prius c.


PRIUS c disasarkan kepada golongan eksekutif muda urban dan mereka yang mementingkan alam sekitar.


Ahli terbaharu dalam keluarga Toyota Prius itu dijual pada harga RM97,000 termasuk insurans. Ia jauh berbeza dengan harga anggaran awal iaitu RM103,990 yang dinyatakan UMW Toyota dalam laman webnya.

Kejutan tersebut pasti mencetuskan saingan sengit kepada pendahulu segmen hibrid tempatan iaitu Honda Insight. Prius c dianggarkan RM3,000 lebih murah jika dibandingkan dengan Insight.

Istilah 'c' pada namanya merujuk kepada maksud compact (kompak), clean (bersih), clever (pintar) dan city (bandar). Empat definisi itu sudah cukup untuk memberi gambaran mengenai karakter jentera lima pintu tersebut.

“Pengenalan Prius c bertujuan menjadikan kenderaan hibrid Toyota lebih mampu dimiliki. Kami mahu memberikan para pelanggan satu lagi peluang untuk menikmati inovasi terkini dalam teknologi hibrid,” jelas Presiden UMW Toyota, Ismet Suki.

Ismet memberitahu, sejak Januari lalu, pihaknya sudah menerima tempahan sebanyak 600 unit untuk model hibrid berkenaan. Tempoh menunggu untuk mendapatkannya adalah di antara dua hingga tiga bulan.

Ruang kabin futuristik

Kereta kompak sepanjang 3,995 milimeter itu dipasang bampar aerocorner untuk kesempurnaan aliran udara. Selain itu, penggunaan gril radiator trapezoid mengoptimumkan aspek aerodinamik dan penyejukan.


ENJIN bersesaran 1.5 liter pada Prius c sesuai untuk kegunaan dalam bandar.


Kerangka Prius c diperbuat daripada keluli regangan tinggi yang ringan dan berperanan mengurangkan berat kenderaan. Ia juga menambah baik tahap pengunaan bahan api dan meningkatkan keselamatan pemandu serta penumpangnya.

Bahagian dalaman mempersembahkan ruang kabin futuristik dengan tona hitam, kelabu dan biru. Soal keselesaan turut ditekankan meskipun ruangnya kompak. Papan pemuka menempatkan paparan informatif menerusi skrin warna sesentuh TFT 3.5 inci MID (multi information display).

Stereng kereta itu pula dilengkapi butang kawalan jenis sesentuh yang membolehkan pemandu mengawal ketetapan pendingin hawa atau sistem audio. Prius c dilengkapi fungsi kawal jelajah (cruise control), di samping ciri Smart Entry & Start System.

Sistem Hybrid Synergy Drive (HSD) Prius c adalah 42 kilogram lebih ringan berbanding model Prius. Ia mampu menjana kuasa maksimum sehingga 74kw. Tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Eco dan EV (elektrik).

Prius dan Prius Luxury

Turut mengiringi pengenalan Prius c ialah dua varian baharu iaitu Prius dan Prius Luxury. Enjin dan HSD yang digunakan pada dua jentera itu bagaimanapun sama seperti model Prius yang diperkenalkan pada 2009.


PEMBAHARUAN pada ruang kabin melibatkan penyempurnaan komponen tertentu, misalnya butang fungsi pada stereng.


Transformasi dilakukan pada bahagian hadapan. Ia membabitkan penggunaan lampu LED DRL (daytime running lights), bampar dan gril radiator baharu. Sementara lampu kabus ditempatkan pada bahagian bawah gril.

Set lampu belakang diberi rekaan baharu. Lampu brek kini diletakkan di dalam perumah berwarna merah. Untuk cermin sisi, ia kini boleh dilipat secara automatik.

Rekaan dalaman diubah dengan skim warna hitam bersama kemasan metalik pada komponen tertentu. Misalnya, tekstur yang lebih terang digunakan pada papan pemuka dan pemegang cawan di antara tempat duduk hadapan. Bagi varian Luxury, ia dipasang lampu projektor LED dan tempat duduknya dibalut material kulit.

“Kami berhasrat menjual sebanyak 1,500 unit Prius dan 2,500 unit Prius c,” kata Ismet yang memberitahu rekod jualan Prius pada tahun lalu adalah sebanyak 2,707 unit.

Prius dan Prius Luxury ditawarkan pada harga RM139,900 dan RM145,500 seunit. Ia termasuk insurans dan diberi jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km.

Menerusi pengenalan rangkaian model-model hibrid baharu khususnya Prius c, tidak mustahil UMW Toyota mampu berada di tangga pertama dalam segmen hibrid tempatan. Namun, saingan pastinya semakin sengit kerana sudah ada ura-ura mengatakan bahawa Honda bakal memperkenalkan satu lagi jentera hibridnya pada harga cukup menarik. Sama-sama kita nantikan!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: