|
LIRIK syahdu Gerimis Mengundang nyanyian Zamani Slam satu ketika dahulu sudah menjadi lagu malar segar kepada peminat muzik hari ini. Meminjam aura Gerimis Mengundang yang diterbitkan lebih 10 tahun lalu itu, Kamal Adli dan pasangan pentasnya, Mikha Tambayong bakal mengadun kemanisan cinta mereka buat julung-julung kalinya secara langsung.
Dua jiwa berbeza budaya itu dipertemukan dalam sebuah teater bertajuk Gerimis Mengundang. Ia sekali gus menjadi sebuah idea pementasan yang diadaptasikan semula sebagai prekuel kepada sebuah filem dengan judul yang sama arahan Ahmad Idham. Dalam versi filem, bezanya Kamal bermain cinta dengan seorang lagi gadis seberang bernama Olivia Jensen Lubis.
"Ketika diberitahu bahawa saya akan berpasangan dengan Mikha, saya jadi takut. Saya takut kerana terbayangkan jangka waktu latihan yang pendek, kira-kira 19 hari sahaja. Kalau dengan Olivia, kami tentu tidak memerlukan lebih masa untuk memperoleh keserasian sebab kami sudah bersama-sama dalam filem dahulu. Saya juga takut, kalau-kalau nanti penonton akan nampak kejanggalan kami," katanya mengurai kusut wajah.
Semakin matang
Sedikit berjambang dan menampakkan kesibukan rutin latihan berlakon, menari dan menyanyi yang dilalui, Kamal sebenarnya tampak matang. Dia seperti meninggalkan sisi keremajaan yang banyak terserlah dalam kemunculan sebelum ini.
"Berlakon teater memang macam pergi sekolah. Sebelum ini saya pernah terlibat dengan pementasan teater Impak Maksima The Musical, tetapi teater kali ini fokusnya lebih kepada saya dan Mikha kerana kami jadi hero serta heroin.
"Kali ini, kepuasannya mungkin lebih sedikit. Mungkin penonton akan dapat melihat Kamal yang berbeza berbanding apa yang pernah dilihat sebelum ini. Saya sendiri dapat rasakan perbezaan itu sebab sebelum ini tak pernah melakonkan watak pemuda kaki perempuan," ujar pemain watak Zamani, seorang juruterbang yang jatuh hati terhadap Cinta, seorang pelajar universiti lakonan Mikha.
Pementasan Gerimis Mengundang di Istana Budaya selama 13 hari bermula 27 Mac ini diterbitkan oleh Excellent Pictures, Erama Creative dan Global Network.
Harapan seorang pelakon dan kru produksi adalah mahu karya dilihat seramai mungkin penonton. Sama juga dengan Kamal. Dia tidak mahu konsep kepiluan dan lirik sedih dalam Gerimis Mengundang itu akan membunuh kemahuan ramai untuk menyaksikan teater berkenaan.
"Lagu dan tajuk Gerimis Mengundang seolah-olah teater yang sedih, drama air mata yang mendayu-dayu sahaja. Sebenarnya tidak begitu.
"Saya boleh jamin bahawa Gerimis Mengundang akan jadi sebuah teater muzikal yang menyeronokkan. Ada tarian, nyanyian serta adegan romantik yang manis. Saya sendiri akan menyanyi dan menari dalam sembilan hingga 10 buah lagu.
|
|
"Cuma pada akhir-akhir cerita sahaja barulah penonton dihadapkan dengan emosi dan tragedi. Lagu Gerimis Mengundang itu sendiri akan beri kuasa aksi saya dan Mikha nanti. Awak kena tengok, kalau tak datang tengok, kita putus kawan," ujarnya berseloroh memecah keseriusan.
Mikha tebus kebosanan
Melihatkan usianya yang bakal genap 18 tahun pada 15 September nanti, pelakon sinetron remaja popular Indonesia, Mikha Tambayong ternyata masih terlalu mentah untuk bergelar ratu panggung di Malaysia.
Memandangkan tuntutan wataknya sebagai pelajar universiti dari Indonesia, maka tertulislah watak Cinta menjadi milik Mikha. Lebih daripada itu, pihak penerbit awal-awal lagi sudah membayangkan pentas seterusnya buat Gerimis Mengundang iaitu bakal ke Espalanade di Singapura pada masa hadapan.
Di bahu pelakon yang popular dengan sinetron Nada Cinta itu tersandang satu tugasan penting untuk langkah sulungnya di Kuala Lumpur.
"Saya ingin keluar dari Jakarta, sudah terlalu bosan dengan sinetron. Setiap judul harus diselesaikan sehingga lebih 300 episod. Saya ingin cuba sesuatu yang baharu," katanya jujur.
Komitmen Gerimis Mengundang menuntut Mikha berada di ibu negara sejak 8 Mac lalu sehingga pementasan tamat pada 8 April nanti. Menjadi percubaan pertamanya ke pentas teater apatah lagi di daerah asing, Mikha mendakwa dia berdepan sedikit masalah.
"Paling besar tentunya masalah komunikasi, saya tidak begitu faham bahasa Melayu, tapi kalau bicaranya dalam bahasa Indonesia atau Inggeris, saya cepat faham. Nasib baik, watak Cinta itu orang Indonesia, maka bicaranya juga dalam bahasa Indonesia, saya beruntung. Saya sukakan babak romantis dalam teater itu," getusnya.
Kali pertama bersemuka, Mikha bukan pelakon seberang yang lokek bercerita. Jauh sekali bersikap dingin, gadis Virgo itu ternyata lebih bijak daripada yang disangka. Biarpun ada kisah liarnya yang digembar-gemburkan, dia bijak memberikan jawapan.
"Saya langsung tidak ambil pusing dengan cerita liar begitu. Hakikatnya saya tidak gemar berfoya-foya dan lebih gemar belajar jika punya waktu santai. Saya tidak faham bagaimana cerita merokok atau bersosial di kelab malam boleh timbul," katanya tenang.
Berbalik semula kepada lakonan, jika dalam sinetron dia tidak serius memikirkan terlalu banyak penilaian penonton, berlakon teater beri sedikit gambaran berbeza.
"Kalau dalam sinetron, pelakon dan penonton tidak perlu terlalu berfikir untuk memahaminya. Tapi saya gemarkan sesuatu yang lebih bermakna. Kalau tidak banyak, biarlah lakonan saya dalam teater itu beri nilai yang baik.
|
|
"Kalau dalam soal lakonan, saya jenis yang kurang cerewet, ikut sahaja apa kata pengarah kecuali dalam nyanyian. Dalam nyanyian, saya jadi sangat idealistik," katanya yang lebih cenderung menyanyi berbanding berlakon.
Bermain piano sejak berusia empat tahun dan mula berlakon pada usia 15 tahun, dia banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran. Lantaran jadual lakonan bertindih waktu persekolahan, Mikha menghabiskan persekolahan di rumah. Dia bagaimanapun masih lulus cemerlang setahun lebih awal dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang.
Saat ditanya tokoh yang banyak memberi inspirasi buatnya, pantas nama Harvey Malaiholo berbutir daripada bibir pelakon yang pernah punya debut album berjudul Bekas Pacar itu.
"Harvey Malaiholo, dialah orangnya. saya mahu jadi sepertinya. Pencapaiannya buat saya kagum, dia juga dikenali peminat di Malaysia dan saya bangga menjadi keponakan (anak saudara) Harvey," kata Mikha yang mahu fokus menyambung pelajaran ke kolej pada tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: