Sunday, March 25, 2012

Idham kecewa dengan Astro




TIDAK lama dahulu, aktiviti jualan CD dan DVD cetak rompak dibanteras dengan serbuan berkala ke atas penjualan terbuka namun mutakhir ini barah lama dunia seni tempatan itu kembali menular terhadap filem tempatan.

Pengarah popular yang juga Pengarah Urusan Excellent Pictures Sdn. Bhd., Ahmad Idham Ahmad Nadzri secara berani dan lantang menuding kepada saluran berbayar Astro First sebagai medium paling 'berjaya' menyumbang kepada berleluasanya kegiatan cetak rompak terhadap filem tempatan.

"Industri filem tempatan akan hancur kerana masyarakat tidak akan berminat untuk menonton wayang. Bayangkan, selepas dua minggu tayangannya di panggung, ia dengan mudah boleh didapati menerusi Astro First.

"Bukan itu sahaja, industri cetak rompak juga semakin ligat merakam filem-filem yang disiarkan itu. Sebab itu kita dapati karya-karya tempatan dengan cepat berada di laman YouTube," tegas Idham selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara stesen televisyen TV3 dan syarikatnya, Excellent Pictures di Bandar Utama, Khamis lepas.

Idham juga melabelkan Astro First sebagai satu medium yang beri kelebihan jangka masa singkat kepada penonton yang tidak gemar ke pawagam tetapi ia akan menjadi virus secara perlahan melumpuhkan industri filem Malaysia.

"Saya risau bila produk saya berada di Astro First. Dulu cetak rompak diperangi habis-habisan, sekarang isu itu kembali membiak.

"Tambahan, dengan adanya banyak media baharu, orang akan mudah muat turun filem dan menontonnya di mana-mana saja. Melalui pemantauan, saya berpendapat pihak berkenaan (Astro) tak mengawal cetak rompak.

"Contohnya filem Hantu Bonceng, satu malam saja sudah boleh mencapai 500,000 tontonan di YouTube. Bayangkan jika keadaan ini berlarutan, orang kita sudah tak mahu ke panggung untuk menonton wayang sebab mereka dah boleh menonton selepas dua minggu filem tersebut ditayangkan di pawagam. Ia kemudian dimuat turun dan dimuat naik pula ke YouTube," ujarnya kesal.

Bercerita lanjut tentang konsep Astro First yang konon-kononnya menguntungkan penerbit filem serta peminat selepas habis tempoh sesebuah filem tayangan di pawagam, Idham kecewa kerana pihak berkenaan tidak menunjukkan inisiatif untuk mengawal hak eksklusif sesuatu produk.

"Saya sendiri pernah berulang kali mengajukan perkara ini kepada mereka (pihak pengurusan Astro), namun mereka cakap ini bukan tugas mereka. Saya sangat kecewa, mereka tiada inisiatif untuk mengawal perkara itu," katanya yakin kolaborasi dengan Media Prima sedikit sebanyak membantu menaikkan kembali industri perfileman negara.

Ekoran perjanjian yang dibina, Excellent Pictures akan bertindak sebagai pembekal eksklusif kesemua filem terbitannya kepada saluran televisyen Media Prima selama dua tahun. Media Prima diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Izham Omar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: