Monday, March 26, 2012

Kafe comel Jepun di Malaysia


PELANGGAN boleh meminta pelayan kafe menghiaskan hidangan Japanese Omurice dengan kartun kegemaran seperti kucing ataupun arnab.


SEBAIK sahaja anda melangkah masuk ke Tenshi No Cafe, pasti terasa bagaikan berada di dalam filem animasi Jepun.

Pelayan-pelayan comel sedia menyambut mesra pengunjung kafe yang seperti istana berwarna putih dan merah jambu, lengkap berpakaian seperti butler dan pembantu rumah Perancis.

Pelanggan kemudian akan disajikan dengan pelbagai hidangan Jepun yang menyelerakan dan dibentuk seperti haiwan comel.

Turut menggamit tumpuan, nasi kari mangga yang dihidangkan dalam pinggan berbentuk hati dengan pes kari yang diimport khas dari Jepun.

Gabungan unik masam mangga dengan pedas kari pasti membuatkan pelanggan jatuh hati dengannya.

Jangan lupa memesan pencuci mulut seperti ais flos mangga atau strawberi yang menggunakan ramuan asli.

Sambil menunggu hidangan unik Jepun seperti set Charaben iaitu menu sihat yang dihias comel di dalam bekas makanan seperti nasi yang dikepal menyerupai orang salji, pelanggan boleh bermain permainan video bersama pelayan pilihan malah disuap mesra oleh mereka dengan syarat-syarat tertentu.

Sebaik sahaja hidangan yang dipesan sampai, pelanggan perlu menyertai pelayan kafe 'menjampi' makanan dengan gaya comel dalam bahasa Jepun bagi mengenakkan lagi makanan tersebut.

Memang pelik dan unik pengalaman tersebut!

Menurut pengurus kafe, Jason Chu, ia diinspirasikan dari kafe di Akihabara, Jepun iaitu Meidokiisa yang bermaksud kafe pembantu rumah.

"Konsep sebegini memang terkenal di Jepun dan ia sebenarnya menekankan layanan tersendiri yang hanya boleh didapati di sini.

"Pelanggan akan berasa santai bagai berada di rumah sambil mereka boleh berbual mesra atau mengambil gambar bersama pelayan asalkan mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Menu kami pula lebih kepada makanan tempatan Jepun yang boleh diklasifikasikan makanan sihat seperti Charaben dan Donburi tetapi disesuaikan sedikit dengan lidah rakyat Malaysia," katanya yang sering ke Jepun dan mendapat kerjasama daripada kafe pembantu rumah di sana.

Menurut Chu, setiap pelayan mempunyai karakter tersendiri seperti ada yang berperwatakan pemalu, ceria bagaikan kakak sulung dan ada yang sering membawa anak patung merata-rata.

Antara peraturan yang ditetapkan kepada pelanggan adalah tidak boleh memegang, mengekori atau meminta nombor telefon mereka.

Di Tenshi No Cafe, pelanggan turut boleh merancang untuk mengadakan majlis istimewa.

Setiap perayaan di Jepun juga disambut di kafe ini bagi memberi peluang rakyat Malaysia menikmati budaya negara matahari terbit itu yang menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: